VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 September 2014 / 23 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 26/09/2004

Jangan pinggirkan penagih dadah

KISAH yang dibentangkan minggu ini memang lain daripada apa yang pernah anda baca dan ikuti dalam ruangan DI Celah-Celah Kehidupan (DCCK) ini. Bermula dari panggilan telefon dari seorang teman sepersekolahan SAB yang kini berkhidmat di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, katanya dia berasa lebih gembira jika ruangan saya ini turut memuatkan cerita-cerita kejayaan bekas-bekas penagih dadah yang telah pulih seratus peratus.

Katanya, ramai orang berpendapat seseorang penagih dadah, kalau pulih pun dia akan tetap kembali ke lubuknya. Namun ada juga yang benar-benar telah berjaya. Pihak akhbar dan majalah sering menyiarkan cerita-cerita negatif tentang penagih dadah ini, dan amat jarang sekali menceritakan kejayaan bekas-bekas penagih yang benar-benar berjaya dipulihkan. Mungkin bukan seratus peratus kalangan mereka berjaya dipulihkan, tetapi kalau sudah sepuluh peratus benar-benar berjaya menjalani kehidupan biasa, itu satu kejayaan.

Jadi, katanya mengapa tidak ruangan yang popular ini, membuat amal jariah dengan menceritakan kejayaan bekas penagih yang berjaya membebaskan diri mereka daripada penagihan dadah selama lebih sepuluh tahun. Paling tidak DCCK boleh memberi sedikit cahaya keyakinan serta semangat kepada penagih untuk berhenti menagih.

``Saya bukan bercakap setakat 10 atau 100 orang, tetapi sudah ribuan bekas-bekas penagih dadah telah berjaya dipulihkan, dan kejayaan mereka patut diketengahkan supaya menjadi contoh kepada penagih-penagih lain, terutama kepada kaum keluarga mereka supaya tidak putus asa memulihkan anak-anak mereka yang berjebak,'' kata Datuk Hamzah Abdullah, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan bersungguh-sungguh kerana golongan ini memerlukan kumpulan sokongan yang kuat untuk pulih.

Seperti kata beliau lagi, tidak ada penagih dadah yang mahu terus menagih, mereka pun mahu menjalani hidup macam orang lain, tetapi mereka tidak mempunyai kumpulan sokongan yang boleh memberikan semangat bila keadaan memerlukan.

Atas bantuan dan cabaran beliau, saya berjaya berbual dengan seorang bekas penagih yang sudah lebih 10 tahun berjaya dipulihkan kini berkhidmat secara sukarela dengan JKM dalam pasukan aktiviti kanak-kanak bermasalah.

Kata Arfifa dia terlibat dengan dadah pada tahun 1978 akibat daripada salah pilih kawan, waktu itu beliau bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran. Bermula dengan ganja selepas itu beliau menagih heroin, pil khayal dan sebagainya. Bagaimanapun ketagihannya tidaklah berterusan, dia cuba berhenti, tetapi gagal.

Beliau pernah berkahwin dua kali juga dengan bekas penagih dadah, tetapi kedua-duanyaŹ telah meninggal dunia. Kami bersungguh-sungguh untuk memulihkan diri masing-masing tetapi tak berjaya, kerana kawan-kawan yang kami temui bukan memberi sokongan menasihatkan kami supaya berhenti, sebaliknya galakkan kami menagih lagi.

``Akibat daripada ketagihan itu saya pernah dipenjara tiga kali. Bukan kerana mencuri, tetapi kerana dadah. Zaman dulu tidak ada pusat serenti untuk wanita, untuk lelaki adalah. Jadi kami yang wanita ini terpaksalah masuk penjara. Akhirnya saya dihantar ke pusat serenti di Kemumin. Di sanalah saya berusaha untuk memulihkan diri saya daripada dadah, saya melakukan banyak kerja amal, jadi sukarelawan dan apa sahaja kerja berbentuk sukarela dengan tujuan memulihkan diri saya.

``Bagaimanapun bukan saya tidak pernah berusaha untuk pulih, saya pernah lakukan sendiri, saya pergi jauh ke negeri-negeri lain, tak mahu jumpa kawan-kawan, saya pergi ke pulau-pulau untuk memulihkan diri saya, tetapi tetap gagal, kerana di mana saja saya pergi saya tetap menemui kumpulan penagih yang secara tidak langsung mencabar daya tahan saya daripada memulihkan diri daripada menagih dadah.

``Pulau mana saya tak pergi untuk menyepikan diri, tetapi setelah pulih sebulan dua, bila balik KL saya pasti terjebak dengan kawan-kawan yang menagih yang sentiasa menambat kaki saya mengikut mereka. Di sinilah saya rasa orang seperti saya perlukan kumpulan sokongan. Dan kalau kita mahu memulihkan diri kita, kita mesti lakukan secara berkumpulan bukan sendirian.

``Peranan keluarga juga amat penting, untuk memberi sokongan dan semangat supaya kita berjaya memulihkan diri. Saya tak nafikan mana ada adik-beradik dan ibu bapa yang tak marah bila anak mereka sudah tersilap langkah jadi penagih dadah. Namun bantulah mereka pulihkan diri. Saya jamin tidak ada penagih dadah yang tidak mahu pulih, tetapi mereka tidak ada kumpulan sokongan semangat yang boleh membantu mereka.

``Pengalaman pahit saya semasa jadi penagih dulu ialah saya tidak dapat melihat ayah saya semasa dia meninggal dunia, saya amat kesal kerana tidak dapat jumpa ayah. Begitu juga arwah suami saya, beliau meninggal dunia semasa saya dalam penjara. Inilah antara kekesalan yang membuatkan saya berusaha keras untuk pulih daripada menjadi penagih.

``Arwah suami saya juga penagih, waktu itu kami berjanji akan berusaha untuk berhenti menagih, dia berjaya berhenti, tetapi saya gagal hinggalah saya dibawa ke penjara. Tetapi beliau meninggal dunia kerana penyakit radang paru-paru yang dihidapinya.

``Kekesalan demi kekesalan saya lalui kerana jadi penagih dan saya sentiasa berusaha untuk pulihkan diri hingga saya masuk Pusat Serenti Kemumin. Saya rasa saya mendapat sokongan yang baik ditambah pula kekuatan semangat saya untuk pulih setelah 16 tahun menjadi penagih. Saya sudah bosan menagih. Tetapi bukanlah mudah untuk membebaskan diri daripada menjadi penagih.

``Nasihat saya kepada ibu bapa, kalau boleh dampingilah anak-anak anda selalu, jangan biarkan mereka sendirian dan berkawan dengan kumpulan yang kita tidak kenal. Kala kita selalu berbual, berdamping, bertanya khabar dan menjadi sahabat baik mereka, pasti mereka tidak memerlukan ramai kawan di luar sana.

``Kalau boleh jangan biarkan mereka berada terlalu lama di luar rumah, bertanyalah kenapa mereka pulang lewat, kenal kawan-kawan mereka, selalu perhatikan gerak-geri mereka, perbualan dan tingkah laku mereka. Jangan cepat mengecap dan membenci anak-anak anda atau pilih-pilih kasih, kerana kealpaan anda akan menyebabkan anda kehilangan mereka mungkin untuk selama-lamanya.

``Lihat tanda-tanda awal kelainan anak-anak anda, cuba perhatikan cara mereka makan, kalau mereka kuat makan (pelahap) sampaikan kerak nasi pun mereka sapu, itu tandanya dia sudah ada tanda ketagihan ganja.

``Kalau mereka tak lalu makan, nasi beriani atau ayam panggang pun mereka tak minat nak makan itu tandanya mereka sudah ada tanda ketagihan dadah. Kepada yang dah berkahwin, seks pun mereka dah tak minat itu juga tanda awal ketagihan dadah, dan kalau boleh jangan biarkan mereka sendirian.

``Ibu-ibu juga boleh perhatikan mata anak-anak anda, kalau mata merah itu pun tanda jelas ketagihan sudah bermula, layan anak-anak anda berbual, dampingi dia selalu dan anda akan dapat perhatikan tingkah lakunya yang sudah berubah.

``Jangan fikir bila anak anda tak tidur empat atau lima hari konon mereka rajin belajar waktu malam. Itu semua adalah bohong, mana boleh orang tak tidur begitu lama . Mungkin juga betul mereka belajar, tetapi mereka sudah mengamalkan sejenis dadah yang orang pantai timur panggil shabu, sementara orang KL panggil ice baby. Dadah jenis ini membuatkan pengamalnya tak boleh tidur.

``Kepada anak-anak jangan amalkan benda ini, ia amat berbahaya, mungkin awalnya anda diberitahu senang nak belajar tak payah tidur, tetapi kalau sudah jadi amalan, tidak mustahil satu hari nanti anda jadi penagih dadah jenis ini. Jadi elakkan berkawan dengan kawan-kawan yang mengamalkan perbuatan ini.

``Kepada ibu bapa kalau pada peringkat awal anda dapat mendampingi anak-anak, mungkin mereka tidak terjebak dalam dadah. Tetapi sayangnya, ada ibu bapa kerana terlalu sayangkan anak-anak mereka biarkan anak-anak bebas seperti pulang lewat malam, banyak kawan, beri duit poket yang banyak ada juga bagi kereta dan motor. Akhirnya mereka tidak berdaya nasihatkan anak-anak jangan pulang lewat malam.

``Bagaimanapun sebagai ibu bapa anda jangan alpa atau terlepas pandang kepada aktiviti luar anak-anak tak kiralah perempuan atau lelaki, kerana kalau anda alpa ia akan membawa kerugian seumur hidup terutama jika mereka terlibat dengan dadah.

``Kalau mereka sudah terlibat, jangan ketepikan mereka, galakkan mereka masuk pusat-pusat serenti, kalau mereka tak mahu galakkan mereka sertai kumpulan-kumpulan sokongan yang banyak ditubuhkan oleh NGO, mungkin dengan cara berkumpulan mereka boleh berhenti secara sukarela. Namun yang paling utama mereka mesti kuat semangat, sementara ibu bapa pula perlu banyak bersabar dan berdoa. Kerana pulihkan golongan penagih bukan boleh dibuat dalam sekelip mata, semuanya memakan masa, perlu berusaha, sabar dan yakin dengan diri sendiri.

``Dari pengalaman saya, saya tak pernah putus asa berusaha untuk pulihkan diri, bila gagal memang ramai saudara-mara yang mencemek, mengutuk, mengejek dan memarahi saya, tetapi apa yang boleh saya lakukan selain berusaha dan berusaha. Dalam hati saya tidak pernah penat berusaha cuma saya tak ada kumpulan sokongan waktu itu, tak seperti sekarang banyak kumpulan sokongan ditubuhkan oleh individu tertentu, dampingilah mereka lambat-laun anda akan pulih tetapi kena sabar dan terus berusaha.

``Azam saya kuat untuk pulih dahulu bila mengingatkan saya banyak berdosa kepada emak dan ayah juga saudara mara. Jadi saya mulakan langkah dengan aktif dalam kerja-kerja kebajikan, dan jadi pekerja sukarela, dengan cara inilah sahaja saya rasa saya dapat menebus dosa. Saya mula aktif pada tahun 1994 dengan cara berdikit-dikit, waktu itu saya dah berani mendakwa diri saya dah pulih dari ketagihan dadah.

``Saya mula aktif dalam Pink Triangle kerana dalam persatuan ini ada enam komuniti yang banyak memberi bantuan dalam kerja-kerja amal, menasihat dan sebagainya. Selama empat tahun saya berkerja secara sukarela menasihat mereka yang terlibat dalam kegiatan seks sesama wanita, pelacur, HIV, seks sesama lelaki, pondan dan sebagainya. Melalui kerja-kerja kebajikan inilah akhirnya saya diminta bekerja dengan Pasukan Aktiviti Kanak-Kanak Kebajikan Masyarakat mulai tahun 2000.

``Sejak tahun 1994 saya tidak menoleh kebelakang lagi sebaliknya saya terus berusaha untuk memulihkan diri saya seratus peratus, saya mahu kembali kepada keluarga saya, saya mahu disayangi, dan diterima seperti biasa. Dan saya bersyukur hasrat saya tercapai, kini saya sudah pun dianugerahkan bebas daripada dadah oleh kerajaan baru-baru ini. Dan saya amat gembira bukan saya seorang yang berjaya, malah ramai lagi. Inilah kejayaan besar kami. Kami pun nak jadi manusia yang tidak ditakuti dan dibenci masyarakat.''

Demikian luahan hati Arfifa yang kurang lebih 15 tahun menjadi penagih dadah, kini beliau telah diisytiharkan bebas daripada dadah berkat usahanya yang tidak pernah kenal penat dan kini beliau melakukan banyak kerja-kerja amal dan kemasyarakatan dengan harapan beliau dapat menebus dosa-dosa yang dilakukannya selama menjadi penagih dadah.

Pengakuan berterus terang beliau tidak mahu mati sebagai penagih dadah, sebaliknya mahu jadi anggota masyarakat berguna amat menambat hati, dan yang paling menyentuh jiwa katanya, tidak ada penagih dadah yang tidak mahu pulih. Kini sudikah anda bantu mereka menjadi anggota kumpulan sokongan yang berkhidmat secara sukarela? - Maimunah.

dcckmonaum@hotmail.com

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.