VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 September 2014 / 28 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 12/09/2004

Acara penuh adat istiadat dan gilang-gemilang - Perkahwinan Putera Mahkota Brunei

(Bandar Seri Begawan, Brunei)
Dayangku Sarah Pengiran Salleh Ab. Rahman tentunya mempunyai kelebihan tersendiri sehingga disunting oleh seorang putera raja di negara yang kaya dengan sumber minyak dan gas asli di dunia.

Gadis berusia 17 tahun dan anak kepada pasangan Pengiran Salleh Ab. Rahman Pengiran Damit serta Rinawaty Abdullah itu kini menjadi gadis yang paling muda menjadi isteri kepada Putera Mahkota di dunia.

Beliau memiliki wajah yang jelita selain berdarah campuran Melayu dan Switzerland (di sebelah ibunya) dan pastinya dalam sekelip mata kehidupan Dayangku Sarah akan berubah.

Pada usia yang masih muda itu, Dayangku Sarah yang kini bergelar Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah akan memegang tanggungjawab yang besar sebagai isteri Putera Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah setelah pasangan itu melangsungkan perkahwinan pada 9 September lalu.

Perkahwinan mereka berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang di Istana Nurul Iman dengan dihadiri oleh tetamu kenamaan dari serata dunia termasuk Putera Mahkota Jepun, Putera Naruhito, Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Endon Mahmood, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo.

Selain itu, turut hadir ialah Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud.

Perkahwinan tersebut juga menjadi agenda penting yang ditunggu-tunggu oleh lebih 300,000 rakyatnya semenjak mereka melangsungkan pertunangan Ogos lalu.

Sesuai dengan status perkahwinan diraja, majlis tersebut dijalankan mengikut peringkat iaitu dimulakan dengan istiadat Bersuruh Diraja iaitu proses merisik dan disusuli dengan istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga yang mengumumkan mengenai permulaan majlis perkahwinan.

Ia kemudian disusuli dengan istiadat Menghantar Tanda Diraja yang mana pihak pengantin lelaki akan membawa hantaran ke rumah pengantin perempuan dan selepas itu istiadat pertunangan dijalankan.

Selesai istiadat pertunangan, majlis akad nikah diadakan dan kemudiannya majlis berbedak atau tepung tawar dilakukan diikuti dengan istiadat berinai dan kemuncaknya ialah istiadat persandingan.

Pada majlis persandingan itu, barangan kemas yang diperbuat daripada emas seperti kuas, azimat, mudapun, gelang geroncong, puntu, panding, gelang penguluan, gagatar, kancing, bunga goyang dan serbang menjadi hiasan Dayangku Sarah.

Sementara pengantin lelaki pula mengenakan pakaian tradisional yang dilengkapi dengan kopiah berpisnin, serbang, puntu, gimat, gelang geroncong, kain jong sarat, panding, gimat dan sigup berbujung.

Di sepanjang jalan di negara ini pula dipenuhi dengan gambar pengantin tersebut dan Bandar Seri Begawan pula bermandikan cahaya lampu malahan setiap rumah dan bangunan mengibarkan bendera sebagai tanda penghormatan kepada kedua-duanya.

Bersempena perkahwinan itu juga, kerajaan Brunei mengisytiharkan cuti umum untuk membolehkan rakyatnya turut sama memeriahkan majlis yang dipenuhi dengan pertunjukan kebudayaan dan bunga api.

Pada hari perkahwinan, iaitu selepas majlis persandingan, kedua-dua mempelai `glamor' tersebut diarak di seluruh Bandar Seri Begawan sejauh lapan kilometer dengan diiringi oleh 103 buah kenderaan kerabat diraja.

Stesen televisyen di Brunei pula menyiarkan siaran secara langsung majlis tersebut dan selain itu setem dan sampul surat yang memaparkan gambar kedua-duanya telah dicetak untuk dijual kepada orang ramai.

Dayangku Sarah merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan dilahirkan pada 9 April 1987 dan memulakan pengajian awal di Sekolah St. Andrew, kemudiannya lulus Primary Certificate Of Education dengan keputusan cemerlang.

Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan lulus Penilaian Menengah Bawah pada 2001 serta Brunei Cambridge General Certificate Of Education pada 2003.

Ketika ini Dayangku Sarah masih menuntut di maktab berkenaan dengan mengikuti pengajian prauniversiti.

Selain bijak dalam pelajaran, Dayangku Sarah yang berasal daripada keturunan diraja Brunei itu juga aktif dalam sukan dan bergiat aktif dalam bola jaring.

Sesuai dengan usia remajanya, Dayangku Sarah sering mengikuti aktiviti perkhemahan dan pernah mengikut keluarganya dalam Ekspedisi Antarabangsa Pacuan Empat Roda ke China dan Mongolia pada 2003.

Bagi pasangannya pula, Putera Mahkota bukan calang-calang orang dan mempunyai kelulusan pengajian diplomatik dari Universiti Oxford, United Kingdom.

Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah ditabalkan sebagai Putera Mahkota pada 10 Ogos 1998 dan kini telah mula menjalankan tugas-tugas rasmi seperti lawatan ke luar negara dan menemui pemimpin dunia.

Sesuai dengan pepatah Melayu `melentur buluh biarlah dari rebung', Putera Mahkota telah didedahkan dengan urusan pentadbiran dengan mendalami pengetahuan serta pengurusan sesebuah kementerian.

Antara yang dilakukannya ialah memantau projek pembangunan serta kemajuan sesebuah kementerian dengan mengadakan lawatan ke jabatan kerajaan, mukim, pusat pengajian tinggi dan mendekati rakyat dengan melawat kampung mereka.

Selain menumpukan perhatian terhadap pentadbiran, Putera Mahkota juga aktif dalam bidang sukan dan pernah mewakili negara berkenaan dalam snuker di Sukan Sea yang dianjurkan di Kuala Lumpur pada 2001.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.