VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Julai 2014 / 25 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
LAPORAN KHAS

ARKIB : 01/09/2004

Pengguna lestari


EVOLUSI tahap kepenggunaan negara sememangnya lebih banyak bergantung kepada pola ekonomi negara yang dipengaruhi dan dibentuk oleh kuasa Barat yang pernah menjajah kita beratus-ratus tahun sebelum merdeka.

Sehinggalah Tanah Melayu dibebaskan daripada cengkaman penjajah secara rasminya pada 31 Ogos 1957 iaitu 47 tahun lalu, Barat telah pun mencorakkan pola ekonomi negara ini dengan memberikan tumpuan kepada konsep dengan memaksimumkan eksport bagi menambah pendapatan negara.

Barat sebelum ini dengan sewenang-wenangnya mengeksploitasi sumber asli negara tanpa memberikan perhatian kepada tujuan pemuliharaan untuk masa hadapan.

Justeru, keadaan itu memberikan cabaran kepada penduduk negara ini bagi pembangunan lestari.

Dalam masa yang sama, urutan penggunaan di Malaysia turut berubah bersama peredaran zaman.

Ia adalah kesan daripada kedudukan pendapatan yang meningkat serta perubahan dalam struktur sosial, zon perbandaran dan strategi ekonomi negara.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, sememangnya perubahan pola kepenggunaan negara banyak berlaku khususnya selepas tahun 1980-an.

Bagaimanapun, katanya, perkembangan yang berlaku sangat mendukacitakan, dengan kata lain, banyak perkara yang perlu dilakukan oleh semua pihak di setiap peringkat bagi menangani isu kepenggunaan negara.

Apa pun, katanya, isu kepenggunaan sememangnya banyak dipengaruhi oleh perkembangan semasa seperti globalisasi, sistem pasaran terbuka, kecanggihan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT).

Sebagai contoh, selepas merdeka, pengguna tidak banyak mempunyai pilihan sama ada produk atau perkhidmatan kerana penawarannya terbatas.

Tetapi kini, pengguna ditawarkan dengan pelbagai pilihan dan menjadi hak mereka untuk memilih.

Namun dalam keadaan kurang sedar, pengguna sebenarnya diperdaya dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Kata, Dr. Maamor, dulu `lihat dan percaya' tetapi sekarang `lihat dan banyak tipu daya'.

``Memang pengguna kini boleh memilih tetapi tahap kesedaran pengguna kita masih rendah dan sangat menyedihkan,'' katanya.

Pada tahun 1970, kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tujuan utama dasar ini diperkenalkan adalah untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

DEB juga berhasrat untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut aktiviti ekonomi, sekali gus DEB ingin meningkatkan penglibatan kaum bumiputera dalam pemilikan ekuiti ekonomi negara.

Rakyat Malaysia berjaya diubah daripada gaya hidup masyarakat negara sedang membangun, kepada gaya hidup negara membangun.

Dari segi makro, beberapa petunjuk tertentu menunjukkan bahawa Malaysia telah berjaya membangun dengan pesatnya sejak 1970 hingga 1990 hasil kesan DEB.

Sebagai contoh, di bawah tempoh DEB itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), secara purata, telah tumbuh pada kadar 6.7 peratus setahun manakala di bawah tempoh Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pula ekonomi negara telah meningkat, secara purata, 6.5 peratus setahun.

Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita pula telah melonjak lebih 5 kali ganda antara tahun 1970 dan 1990 apabila ia meningkat dari RM1,126 kepada RM6,285.

Ia terus melambung hampir 100 peratus antara tahun 1990 dan 1997 apabila nilainya mencapai RM12,310.

Selaras dengan kenaikan PNK per kapita, kerajaan telah berjaya dalam usahanya untuk meningkatkan pendapatan isi rumah bagi semua kaum. Sebagai contoh, pendapatan tersebut telah melebar 123% (+RM1,438), daripada RM1,169 pada tahun 1990 kepada RM2,607 pada tahun 1997.

Pendapatan isi rumah bumiputera telah naik sehingga 117 peratus (+RM1,098) dalam tempoh tersebut, daripada RM940 kepada RM2,038.

Pada tempoh yang sama, pendapatan bukan bumiputera pula telah melonjak lebih tinggi lagi (+130 peratus atau RM1,980), dari RM1,513 kepada RM3,493.

Secara mudahnya, DEB telah berjaya menurunkan paras kemiskinan dengan cepatnya sebagai contoh, pada tahun 1970, separuh daripada isi rumah di negara ini dikategorikan sebagai miskin, namun pada tahun 1999, paras ini telah berkurangan kepada 7.5 peratus.

Peningkatan pendapatan per kapita, perubahan demografik dan gaya hidup itu telah mempengaruhi cara perbelanjaan isi rumah dan individu.

Sebagai contoh, pada tahun 1973, perbelanjaan bulanan puratanya sebanyak RM412. Perbelanjaan ini telah meningkat kepada RM1,161 pada tahun 1994 dan RM1,631 pada tahun 1999.

Ini berdasarkan Kajian Perbelanjaan Isi Rumah pada tahun 1998-1999. Menurut kajian tersebut juga, secara puratanya isi rumah kawasan bandar berbelanja sebulan sebanyak 1.5 kali ganda berbanding isi rumah kawasan luar bandar, iaitu RM1,943 bagi isi rumah kawasan bandar dan RM1,270 bagi isi rumah kawasan luar bandar.

Perubahan kepada tabiat pengguna ini turut disebabkan oleh persaingan, inovasi teknologi, aliran kewangan, serta polisi dalam sektor awam dan swasta.

Bagaimanapun, sejak 30 tahun yang lalu, pola penggunaan di kalangan pengguna tempatan tidak lagi bersifat lestari. Ini jelas melalui indikator seperti pertambahan yang besar dari segi pembaziran seperti pembaziran air dan tenaga.

Pertambahan pesat golongan kelas pertengahan (yang merupakan 40 peratus daripada tenaga kerja dalam kategori golongan pendapatan pertengahan) merupakan faktor penyumbang lain yang menyebabkan berlakunya perubahan pola penggunaan ini.

Permintaan yang berlebih-lebihan, gaya hidup yang tidak lestari, pola pembelian bersifat individu, keutamaan kepada pemprosesan dan pembungkusan barangan, serta peningkatan kepada pemilikan peralatan rumah telah memberikan kesan yang amat besar kepada alam sekitar.

Demikian juga peranan iklan yang memberikan pengaruh yang amat berkesan kepada tabiat penggunaan di kalangan anggota masyarakat pusat bandar, juga memberikan impak kepada masyarakat luar bandar.

Pancaran televisyen dan radio kini meliputi seluruh pelosok di negara ini.

Dalam hal ini, Dr. Maamor mengajak pengguna merenung kembali situasi nyata yang ada sekarang.

Katanya, memang benar pendapatan isu rumah telah naik, maka apabila pendapatan meningkat maka kuasa beli sepatutnya meningkat.

Jelasnya, tetapi apa yang berlaku ialah harga dan produk yang ditawarkan meningkat selari dengan naiknya pendapatan isu rumah.

``Pengguna tidak menyedari hakikat bahawa kuasa beli mereka sebenarnya semakin mengecil dan kita perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan kesedaran kepenggunaan di semua lapisan masyarakat,'' ujar beliau.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.