|
SETIAP kali timbul soal kelemahan dan kegagalan orang Melayu dalam mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB), ketika itu jugalah ingatan umum kepada tujuan pelan nasional yang diperkenalkan lebih 30 tahun lalu; membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat itu menjadi segar bugar dalam kepala kita.
Apa lagi mereka yang arif atau pakar mengenai statistik - memahami serta mengetahui akan kelemahan dan kegagalannya tentu terkejut dan tidak akan diam sebalik turut sama berkongsi pendapat memberi idea dan pandangan serta komen secara umum.
Tindakan secara tidak langsung ini menggambarkan masalah dan situasi ini begitu sensitif dan intim bagi orang Melayu. Ia juga sentiasa membingkai pemikiran kita semua bagaimana untuk menyelesaikannya bagi menggapai matlamat yang disasarkan.
Demikian apabila Datuk Dr. Norresah Mohamad menimbulkan isu serta mengingatkan kelemahan dan kegagalan orang Melayu, ada di antara kita menjadi celek mata dan tersedar dengan tiba-tiba. Kesan dari itu terus memberi respons segera, walaupun perkara ini bukan sesuatu yang baru ataupun isu yang baru ditemui.
Melalui tulisannya ada dua mesej yang ditimbulkan oleh Dr. Norresah. Selain daripada beliau ikhlas mendedahkan untuk menyedarkan orang Melayu mengenai peranan dan kelemahan DEB, ia mengandungi harapan agar isu kelemahan dan kegagalan Melayu itu harus senantiasa digali dan dicari.
Beliau meminta kita peka dan prihatin terhadapnya. Insaf kepada realiti sebenar yang berlegar di kalangan Melayu serta tidak beretorik mengenainya. Realiti pencapaian Melayu dalam semua bidang (profesional) masih jauh ketinggalan hendaklah diterima dengan penuh rasional.
Mesej kedua beliau ialah agar ia dibahaskan serta mencari resolusi dan membincang bagaimana mencari jalan mengubah stigma terhadapnya demi melihat matlamat itu tercapai.
Dalam konteks saat ini pada saya mesej kedua itu lebih penting diberi perhatian. Beliau dengan rasa penuh tanggungjawab melontarkan perkara itu agar mendapat perhatian dan dibahaskan dengan lebih telus dan bertanggungjawab. Apa yang beliau harapkan isu itu akan dibincangkan di dalam Perhimpunan Agung UMNO September depan.
Memang masalah ini amat sesuai dan kena pada tempatnya kalau ia menjadi agenda utama dan mendapat perhatian perwakilan semua pada persidangan agung UMNO nanti.
Selain itu selaku ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, beliau dapat merasakan betapa kalutnya pemilihan di dalam UMNO dewasa ini yang tidak banyak memberi manfaat kepada masa depan negara; khususnya dalam usaha mencapai matlamat DEB. Tentunya pemilihan itu melibatkan tenaga, masa dan wang. Alangkah baiknya kalau segala material itu digunakan untuk membincangkan masalah kegagalan dan kelemahan Melayu mencapai sasaran DEB itu.
Tidak syak perhimpunan UMNO menjadi perhimpunan tahunan orang Melayu terbesar pada setiap tahun di negara ini. Ia bukan sahaja sebuah forum tetapi satu persidangan perdana yang mengumpulkan semua pemimpin dan pembesar Melayu (UMNO) seharusnya menetaskan berbagai resolusi ke arah menyelesaikan masalah orang Melayu seperti kegagalan menguasai ekuiti 30 peratus dalam DEB itu dan sebagainya.
Dalam pada itu perbahasan dalam aspek ekonomi, pendidikan, agama dan sebagainya perlulah dihindarkan dari berbentuk menghentam secara membuta tuli ataupun rayuan dan rintihan, bermanja dengan kerajaan, sebaliknya perlulah ia bersifat dinamik dan konstruktif.
Dalam hal ini ahli UMNO perlu menyiapkan diri. Bersedia untuk ke persidangan dengan persiapan lengkap bukan untuk melawat ibu negara dan menjadikan perhimpunan masa senggang untuk berehat, tetapi membawa isu dan masalah untuk dibahas dan dirumus sebaik mungkin.
Menerusi Perhimpunan Agung UMNO segala masalah, pandangan dan sebagainya yang dilontarkan lebih berkesan dan tersaran kepada pihak sepatutnya kerana di situlah berhimpun para pemimpin Melayu dari semua peringkat.
Tidak sepatutnya persidangan itu diambil kesempatan setakat untuk membincang soal pengurusan dalaman parti atau melahirkan rasa kecewa kepada pemimpin tertentu kerana agenda peribadi tidak tercapai.
Paling penting harus disemakkan di sanubari, DEB adalah agenda nombor satu UMNO selepas merdeka. Kejayaan DEB adalah bukti keampuhan UMNO. - MOHD. SAYUTI OMAR, Kuala Lumpur.
Kirim pendapat anda melalui emel: pendapat@utusan.com.my
IKLAN@UTUSAN
|