VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 September 2014 / 8 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
MUKA HADAPAN

ARKIB : 07/08/2004

Lapan pelajar bersalah -- Tuduhan bunuh rakan seasrama, Muhammad Farid Ibrahim

LAPAN pelajar Sekolah Menengah Agama Dato' Kelana Petra Maamor, Ampangan dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan untuk dibawa ke Penjara Kajang, Selangor semalam.


SEREMBAN 6 Ogos - Lapan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato' Klana Petra Maamor, Ampangan didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh pelajar tingkatan empat sekolah yang sama, Muhammad Farid Ibrahim pada Mac lalu.

Mahkamah memerintahkan mereka, yang masih juvenil, diletakkan di bawah tahanan selama diperkenankan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Hakim Datuk Azhar Ma'ah dalam keputusannya mengikut peruntukan Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 juga memerintahkan pelajar tersebut, yang kesemuanya 17 tahun, diasingkan daripada pesalah-pesalah dewasa.

Semasa membacakan penghakiman bertulisnya setebal 82 muka surat yang mengambil masa kira-kira dua jam, hakim mengingatkan kesemua pelajar itu supaya menjadikan keputusan mahkamah dan kejadian bunuh itu sebagai iktibar dan lebih berhati-hati.

``Kalau mengikut Islam, usia kamu semua sudah boleh dikira sebagai akil baligh yang boleh membezakan antara perkara baik dan buruk tetapi kamu semua amat bernasib baik kerana dikira sebagai pesalah juvenil berdasarkan undang-undang sivil.

``Jika dalam keadaan biasa iaitu melepasi tahap bawah umur semasa kejadian berlaku, kamu semua sepatutnya boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati kerana disabit atas kesalahan membunuh.

``Kamu semua kerana terlalu mengikut nafsu, rasa dan hati telah menyebabkan nyawa seorang pelajar melayang. Pepatah Melayu ada menyebut, kalau ikut nafsu lesu, kalau ikut rasa binasa dan kalau ikut hati mati.

``Mahkamah amat berharap kamu semua menyesal dan insaf serta dapat membina hidup yang baru apabila dibebaskan kelak,'' katanya yang mengakhiri keputusannya pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

Hakim Azhar membuat keputusan itu setelah 26 hari mendengar perbicaraan kes tersebut sejak 14 Jun lalu dengan pihak pendakwa memanggil 15 orang saksi manakala pada peringkat pembelaan, 11 saksi pembela dipanggil termasuk kesemua pelajar itu.

Semasa hukuman dijatuhkan, kesemua pelajar tersebut, keluarga dan kenalan masing-masing yang memenuhi ruang mahkamah dilihat menitiskan air mata.

Dalam kes itu, lapan pelajar tingkatan lima sekolah itu yang lima daripada mereka berasal dari Kuala Lumpur dan tiga lagi dari negeri ini, dituduh secara bersama membunuh Muhammad Farid, 16, di antara pukul 10.30 pagi dan 4.15 petang, 28 Mac lalu di Dorm Osman, Tingkat 2, Asrama Putera sekolah itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 149 kanun yang sama dan jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mati.

Walaupun begitu, mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, kesemua tertuduh sekiranya didapati bersalah tidak akan dihukum mati sebaliknya ditahan di satu tempat selagi diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong (jika kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan) atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri (di negeri-negeri lain).

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Roslan Abu Bakar dan Azhar Abdul Hamid manakala pelajar-pelajar berkenaan diwakili oleh peguam-peguam Hareh Mahadevan, Raja Badrul Hisham Raja Ali, V. Selvarajoo, S. Anand, Ramzani Idris, Sazuan Hamidi Samat dan Gurdit Singh.

Terdahulu, Hakim Azhar dalam penghakimannya menegaskan bahawa pada peringkat kes pembelaan, keterangan kesemua tertuduh secara keseluruhannya adalah sebuah episod keterangan stereotaip yang bersifat saling sokong-menyokong antara rakan jenayah untuk melepaskan diri masing-masing.

Mereka, katanya, dalam keterangan masing-masing menyatakan telah melihat mangsa, Muhammad Farid telah dipukul tetapi tidak pernah mengambil berat mengenai keadaan mangsa.

``Sebagai contoh, tertuduh ketiga, yang marah dan hanya ambil berat mengenai baldinya yang pecah tetapi tidak cuba mengambil tahu mangsa yang cedera akibat dihentak oleh baldi itu.

``Inilah yang tidak logik dan munasabah kerana bertentangan dengan sifat naluri semula jadi manusia yang ingin tahu apa yang terjadi dan berlaku di sekelilingnya.

``Seolah-olah bagi mereka keadaan mangsa yang cedera teruk dan pengsan adalah perkara kecil dan biasa yang tidak perlu diambil tahu. Ini adalah tidak munasabah sama sekali,'' kata Hakim Azhar.

Selain itu, kata beliau, pihak pembela juga gagal mengemukakan keterangan sokongan daripada rakan-rakan kesemua pelajar yang disebut oleh mereka dalam keterangan di mahkamah yang didakwa bersama mereka sepanjang kejadian pembunuhan berlaku.

Mahkamah juga berpendapat adalah tidak munasabah kesemua pelajar berkenaan tidak mengecam mereka yang memukul dan mengelilingi Muhammad Farid sedangkan pada masa yang sama mereka dapat mengecam dengan tepat bahawa mangsa yang telah dipukul.

``Sepatutnya apabila mereka dapat menumpukan perhatian kepada kejadian mangsa dipukul maka mereka pun pada masa itu pasti dapat mengenali orang yang memukul,'' katanya.

Kata beliau, keterangan bapa kepada salah seorang pelajar yang mendakwa bersama dengan anaknya selama sejam sehingga pukul 11.40 pagi pada 28 Mac lalu adalah tidak boleh diterima oleh mahkamah.

Ini kerana, tegas beliau, pihak pembela tidak pernah mengemukakan notis alibi bapa tersebut yang dikatakan mengadakan pertemuan dengan anaknya sepanjang tempoh itu kepada pihak pendakwa raya.

Sementara itu, Haresh yang mewakili tiga daripada pelajar tersebut dan Raja Badrul Hisham yang mewakili seorang daripada mereka memfailkan notis rayuan berhubung keputusan itu pada sebelah petang di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

kesemua lapan pelajar itu dihantar ke tempat tahanan di Penjara Kajang, Selangor.

Sementara itu ibu bapa Allahyarham Muhammad Farid, Ibrahim Maadah, 49, dan Norizan Ishak, 46, turut menangis selepas hukuman dibacakan.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:22
Maghrib 7:20
Isyak 8:29


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.