|
SHAH ALAM 4 Ogos - UMNO Shah Alam hari ini membuat laporan polis berhubung artikel dalam buletin rasmi Majlis Peguam `Infoline' yang didakwa menghina Islam kerana menyifatkan panggilan azan sebagai `pencemaran bunyi dan mengganggu jiran'.
Aduan polis itu dibuat oleh Mohd Azhar Othman, ahli jawatankuasa UMNO bahagian Shah Alam, juga Ketua UMNO cawangan Seksyen 7 Utara Shah Alam, di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.
Ia berhubung artikel bertajuk `Local Authorities Ought To Be Sensitive To Individual Rights' (Pihak Berkuasa Tempatan Perlu Sensitif Terhadap Hak Individu) dalam edisi Infoline Mei/Jun 2004.
Perenggan yang didakwa menghina Islam itu berbunyi: `True, dogs may be noisy at times but that is a different issue.
`As in the case of those developers building mosque in the vicinity of a non-Muslim community, while one recognises that any community's right to perform its religious obligation by way of using a loudspeaker, to some, it is noise pollution created to the annoyance of those residing in the neighbourhood.'
(`Benar, anjing mungkin bising pada ketika tertentu tetapi itu isu berlainan.
Dalam kes pemaju membina masjid di kawasan kediaman bukan Islam, sementara setiap orang mengiktiraf hak sesuatu komuniti melaksanakan kewajipan agama dengan menggunakan pembesar suara, kepada sesetengah orang pula, ia adalah pencemaran bunyi dilakukan hingga mengganggu penduduk sesuatu kawasan kediaman.').
Mohd Azhar berkata artikel itu secara tidak langsung menyindir laungan azan dan secara terus menghina Islam.
Artikel itu, katanya, menghina penggunaan pembesar suara oleh sesuatu komuniti untuk menjalankan ibadah dan dalam konteks artikel itu yang merujuk kepada pembinaan masjid, ia ditujukan terhadap panggilan azan.
Beliau berkata artikel itu juga mempersoalkan pembinaan masjid di kawasan yang kononnya `komuniti bukan Islam.'
Beliau berkata UMNO Shah Alam kesal Majlis Peguam sebagai sebuah badan ditubuhkan selaras dengan Akta Profesion Guaman 1976, telah tanpa mengambil kira perasaan orang Islam dan status Malaysia sebagai negara berbilang kaum menerbitkan artikel itu dalam buletin rasminya.
UMNO Shah Alam mahu polis dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri menyiasat penulis terbabit dan artikel berkenaan, katanya.
Mengulas perkara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meminta anggota masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya mengecilkan hati orang lain dengan menyentuh isu berkaitan keagamaan sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
Beliau berkata rakyat Malaysia perlu mengamalkan toleransi yang lebih memandangkan masyarakat negara ini berbilang kaum dan menganut pelbagai agama.
``Kita harap orang ini sedar bahawa kita telah hidup sekian lama dalam keadaan aman dan baik kerana sikap toleransi yang baik.
``Kita harap perbuatan tidak berfaedah ini tidak berulang hingga boleh sebabkan ketegangan,'' katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Negeri di sini hari ini. - Bernama
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|