ARKIB : 03/08/2004
Pantau seminar motivasi pelajar
Sudah menjadi lumrah, banyak sekolah dan pihak persendirian mengadakan seminar atau klinik motivasi kepada pelajar yang menduduki peperiksaan awam - Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Seminar dan klinik motivasi ini kadangkala mengambil jangka masa beberapa jam atau beberapa hari bergantung kepada keperluan dan perancangan penganjur.
Persoalannya, mengapakah klinik motivasi ini diadakan, sejauh manakah seminar atau klinik motivasi yang diadakan berkesan kepada pelajar untuk mencapai keputusan cemerlang? Pelajar pada tahap pencapaian yang manakah diberi tumpuan untuk diberi motivasi?
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Bradley C. Stott, klinik motivasi atau seminar peperiksaan diadakan untuk mendedahkan kepada pelajar mengenai skema jawapan sesuatu soalan mata pelajaran.
Klinik seumpama ini memberi pelajar tunjuk ajar mengenai pengurusan strategi pembelajaran. Ceramah dalam seminar motivasi ini diberikan oleh guru yang lebih 10 tahun pengalaman menyemak kertas soalan atau mengajar mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Melayu, Sejarah, Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan beberapa mata pelajaran lain.
Malah pengetua atau guru besar, lebih yakin bahawa penceramah luar lebih berpotensi untuk mendorong pelajar mereka mencapai kejayaan cemerlang jika diadakan seminar atau klinik motivasi.
Seorang pakar motivasi menyatakan program motivasi yang diadakan dalam klinik motivasi adalah untuk memberi kesedaran dan keyakinan kepada pelajar. Pelajar mengulang kaji pelajaran mengikut atur cara hidup mereka tanpa sebarang perancangan yang sempurna. Oleh yang demikian, melalui klinik motivasi pelajar akan mendapat idea untuk merancang pelajaran.
Di sekolah, guru hanya menumpu kepada menghabiskan sukatan pelajaran dan memberi latihan. Justeru, guru tidak memberi perhatian terhadap pemberian motivasi secara mendalam.
Seorang pakar perunding dan motivasi lain menyatakan melalui klinik motivasi, pelajar dapat berbincang dengan guru berpengalaman dalam usaha mencapai kejayaan cemerlang.
Namun di sebalik tujuan baik klinik motivasi ini, terdapat juga beberapa kelemahan seperti jangka masa klinik ini diadakan. Biasanya klinik motivasi ini diadakan beberapa jam atau beberapa hari dengan menyediakan minuman dan makanan tengah hari. Pelajar yang hadir seminar atau klinik motivasi bersemangat selepas mendengar ceramah. Tetapi semangat itu hanya untuk sementara sahaja.
Berdasarkan kognitif kemasyarakatan, semangat melakukan sesuatu bergantung kepada kualiti persendirian, persekitaran dan kelakuan (Dweck, 1986). Apabila motivasi yang diberikan bagi satu jangka masa adalah pendek, pelajar akan melupakan apa telah diajar dalam masa yang singkat (Stipek, 1988).
Bagi Miller (1956), ingatan jangka pendek dapat memproses maklumat dalam jangka masa lima hingga sembilan saat dan terus dikekalkan sekiranya maklumat yang dianggap boleh dikelompokkan dalam kumpulan. Manakala ingatan jangka panjang dapat mengendalikan maklumat yang diproses serta mengelompokkan maklumat kepada bentuk yang abstrak dan secara tidak langsung berlaku dalam ingatan.
Oleh itu, ingatan jangka pendek dan jangka panjang memainkan peranan penting dalam menentukan sejauh mana seseorang pelajar dapat menerima maklumat yang diberikan dalam seminar atau klinik motivasi.
Menghadiri sesuatu seminar atau klinik motivasi bukanlah percuma kecuali jika diadakan oleh pihak sekolah melalui unit kaunseling. Jika tidak ibu bapa terpaksa membayar yuran yang tinggi untuk anak mereka menghadiri seminar motivasi.
Ada penganjur mengenakan harga sebanyak RM250 seorang pelajar untuk menampung kos perbelanjaan mengendalikan seminar motivasi tersebut. Ibu bapa sanggup mengeluarkan wang yang banyak demi kemajuan anak mereka.
Di sinilah akan wujud persoalan sama ada penganjur seminar atau klinik motivasi mengadakan seminar tersebut bertujuan untuk mengaut keuntungan atau tidak. Jika tidak, apakah motif seminar ini diadakan di tempat eksklusif sedangkan seminar seumpama itu boleh diadakan di sekolah atau di dewan orang ramai.
Penceramah biasanya dibayar elaun tinggi dari RM100 - RM2,000 bagi sesuatu ceramah yang diberi. Bayaran tinggi ini dikatakan untuk menampung kos perjalanan dan kerelaan penceramah menghabiskan tenaga dan masa untuk membantu pelajar.
Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri melalui bahagian perancangan dan penyelidikan dasar pendidikan perlu memantau setiap seminar yang diadakan oleh sekolah atau pihak persendirian di negeri masing-masing agar seminar tersebut benar-benar memanfaatkan pelajar.
Sehingga sekarang tidak ada kajian mengenai keberkesanan seminar atau klinik motivasi terhadap pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam. Namun, kebanyakan ibu bapa percaya anak mereka akan mendapat idea dan keyakinan untuk menghadapi peperiksaan awam.
Walaupun apa juga tujuan seminar motivasi diadakan, adalah diharapkan seminar atau klinik motivasi tidak dijadikan satu bentuk perniagaan, sebaliknya ia mestilah bertujuan mendidik pelajar sekolah. - Mohan Ratha, Pulau Pinang.
Kirim pendapat anda melalui emel: pendapat@utusan.com.my
Utama ketenteraman awam
Suatu perbualan dua rakyat Malaysia ketika di Singapura
BISIK - BISIK AWANG SELAMAT
Bila hati Melayu mati
Tsunami politik Cina satu kebenaran
Godfather bukan sekadar filem mafia
Misteri 45 wanita dalam hidup Ahmad Fathanah
JKKN, Kakiseni dan geran
Ilusi WMD Barisan Nasional
Hentikan politik bangga melanggar peraturan
Tidak berdaftar sebagai pengundi, siapa sebenarnya yang rugi?
Memenuhi aspirasi pengundi
Isyarat ke arah perpaduan Melayu
Jangan sudah terhantuk baru terngadah
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
Bila capai status gemilang, terlupa nilai-nilai murni?
Kenapa fobia apologetik dan berbalah lagi?
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
Demi rakyat, tiada lagi kompromi
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









