Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 29/07/2004
Lima mayat ditemui reput -- Dua lagi mangsa nahas helikopter milik Hornbill Skyways masih hilang

Lima mayat ditemui reput -- Dua lagi mangsa nahas helikopter milik Hornbill Skyways masih hilang


.


BARIO 28 Julai - Mayat lima mangsa nahas helikopter Bell 206 Long Ranger yang terhempas di barat daya Pa Lungan dekat Bario pada 12 Julai lepas, ditemui dalam keadaan reput hari ini.

Empat mayat dikeluarkan dari dalam pesawat manakala seorang lagi ditemui di luar pesawat yang dikesan terjatuh ke dalam gaung dalam keadaan terbalik.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan berkata, keadaan mayat yang telah reput itu menyebabkan identiti mereka tidak dapat dipastikan.

``Bagaimanapun dua lagi penumpang hilang dan kita melakukan operasi melalui darat untuk mengesan mereka,'' katanya kepada pemberita di sini, malam ini.

Jurucakap Hornbill Skyways Sdn. Bhd. yang memiliki helikopter itu menyatakan mayat juruterbang - Kapten Samsuddin Hashim satu-satunya dipercayai salah satu daripada yang ditemui berdasarkan pakaian serta kedudukannya masih pada kerusi juruterbang pesawat.

Gerakan mencari dan menyelamat masih mengesan dua lagi penumpang yang tidak ditemui di situ.

George Chan berkata, mayat-mayat akan diterbangkan ke Hospital Miri esok untuk dibedah siasat dan bagi dikenal pasti identitinya.

Kesemua mangsa belum dapat dikeluarkan dari kawasan nahas kerana cuaca gelap dan hujan.

Menurut beliau, mayat lima mangsa ditemui apabila dua anggota Komando 69 berjaya diturunkan ke kawasan berkenaan menggunakan sebuah helikopter Nuri hari ini.

``Selepas beberapa kali usaha dilakukan, dua anggota dapat turun ke lokasi helikopter itu terhempas, di kaki Gunung Murud, pada pukul 5 petang,'' katanya.

Tambah beliau, operasi udara akan disambung awal pagi esok untuk mengesan dua lagi mangsa yang hilang.

Sementara itu operasi darat disertai penduduk tempatan, anggota komando dan bomba diteruskan.

Dr. Chan berkata, pasukan menyelamat yang menggunakan jalan darat terhalang berikutan Sungai Lungan yang melimpah akibat hujan pada pagi ini, selain keadaan hutan belantara.

Berikutan itu jelas beliau, mereka terpaksa membina jambatan bagi membolehkan menyeberangi sungai berkenaan.

Sementara itu Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abdidin Zin berkata, beliau yakin dua lagi penumpang helikopter berkenaan masih hidup berdasarkan pintu helikopter dibuka dari dalam.

``Walaupun helikopter berkenaan terbalik di dalam gaung itu, kita dapati pintunya terbuka dan dipercayai dua penumpang dapat keluar meminta bantuan,'' katanya pada sidang akhbar di Miri, hari ini.

Sehubungan itu kata beliau, operasi mengesan dua lagi penumpang diteruskan.

Keluarga mangsa pula mulai berpusu-pusu ke pusat operasi di Miri bagi mengetahui maklumat terkini mengenai mangsa.

Suasana pilu terus menyelubungi pusat operasi apabila mereka dimaklumkan lima daripada mangsa ditemui meninggal dunia, manakala dua lagi masih hilang.

Semalam juruterbang sebuah helikopter mencari dan menyelamat telah mengesan bangkai helikopter tersebut berdekatan Pa Lungan pada tengah hari.

Berikutan itu sebuah helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia yang turut meninjau ke tempat kejadian dapat merakam gambar kedudukan helikopter berkenaan dalam keadaan terbalik pada pukul 5 petang.

Bagaimanapun operasi menyelamat hanya boleh dijalankan pagi ini berikutan cuaca buruk petang semalam.

Helikopter Bell 206 Long Ranger itu membawa Ahli Dewan Undangan Negeri Ba'kelalan yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (JKM), Dr. Judson Sakai Tagal; Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lawrence Th'ng dan ahli perniagaan keturunan Kelabit, Datuk Marcus Raja.

Turut menaiki helikopter itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (Sesco), Roger Wong serta dua jurutera Sesco, Jason Eng dan Ling Tian Ho.

Helikopter itu dilaporkan berlepas dari Bario ke Ba'kelalan pada 12 Julai lalu, tetapi hilang daripada radar sejurus kemudian.

Berikutan itu operasi besar-besaran melibatkan lebih 2,000 anggota penyelamat yang terdiri daripada anggota tentera, polis, bomba, Hornbill Skyways dan penduduk kampung.

Pakar dari Australia turut diterbangkan ke Bario selain kerajaan Brunei memberi bantuan helikopter jenis Black Hawk bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN