Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 27/06/2004
Ketua Puteri Johor tetap tanding Ketua Wanita Batu Pahat

Ketua Puteri Johor tetap tanding Ketua Wanita Batu Pahat

KUALA LUMPUR 26 Jun - Ketua Puteri UMNO Johor, Haliza Abdullah tetap akan bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Batu Pahat biarpun Ketua Pergerakan itu, Datuk Seri Rafidah Aziz menasihatkan bekas ahli Puteri supaya tidak bercita-cita tinggi dan `duduk diam-diam'.

Sambil menyifatkan kenyataan Rafidah itu sebagai keras, beliau bagaimanapun berkata, ia tidak menghalangnya untuk meneruskan hasrat bertanding merebut jawatan itu yang ketika ini disandang oleh Shamsiah Rashidah Ibrahim.

Haliza berkata, setakat ini beliau telah menerima 49 pencalonan daripada 120 cawangan di Batu Pahat yang menunjukkan adanya isyarat bahawa Wanita UMNO Batu Pahat inginkan perubahan.

``Saya menghormati nasihat Ketua Wanita UMNO (Rafidah) yang menunjukkan beliau mengambil berat mengenai pergerakan ini namun kita yang bertanding ini mengetahui baik dan buruknya pertandingan.

``Ini adalah proses demokrasi tapi sebelum menyertai Puteri UMNO, saya juga adalah ahli Wanita UMNO,'' katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Rafidah yang menasihatkan kira-kira 15,000 ahli Puteri UMNO yang menyertai pergerakan itu setelah mencapai usia 35 tahun pada tahun ini supaya tidak bercita-cita bertanding jawatan tertinggi di peringkat bahagian.

``Mereka masih baru dan jika boleh apabila masuk Wanita UMNO, duduk dulu diam-diam sekurang-kurangnya tiga tahun,'' kata Rafidah.

Difahamkan selain Haliza, dua lagi ahli Puteri UMNO yang akan bertanding merebut jawatan tertinggi Wanita UMNO di peringkat bahagian ialah Ketua Puteri Bahagian Bukit Bintang, Khasnoor Abdul Khalid dan Ketua Puteri Bahagian Kota Kinabalu, Nor Sidah Mohd. Yasin.

Haliza yang baru dilantik sebagai Ketua Wanita UMNO cawangan Kampung Merdeka berkata, beliau tidak berkempen untuk merebut jawatan Ketua Wanita Bahagian Batu Pahat sebaliknya menyerahkan kepada cawangan untuk membuat keputusan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN