VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 13/06/2004

``Kita tidak sedia menyerahkan Selat Melaka kepada negara lain'' - Malaysia tidak berganjak

MUKADIMAH
DIALOG antarabangsa Shangri-La di Singapura baru-baru ini meninggalkan impak tersendiri kepada isu-isu keselamatan serantau terutamanya dalam memerangi keganasan dan pengawasan Selat Melaka.

Lebih menarik ialah pendirian tegas Malaysia yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Pertahanan pada dialog itu. Antara lain Malaysia mahu negara-negara Asia Tenggara memastikan rantau ini bebas daripada kehadiran tentera asing jika hendak memenangi peperangan ideologi menentang esktremisme dan militan.

Perspektif Najib mencetuskan arus baru dalam perdebatan isu keselamatan terutama selepas lawatan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Donald Rumsfeld ke Singapura dengan kenyataannya mahu memburu pengganas di rantau ini.

Pada dialog tersebut yang diadakan sehari sebelum mesyuarat Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA), keterampilan Najib bukan sahaja menjadi perhatian malah dapat meyakinkan para peserta dengan hujah-hujahnya termasuk pendekatan seimbang memerangi keganasan.

``Mereka sudah mula menerima pendirian kita (menangani ancaman keganasan),'' kata Najib dalam wawancara dengan wartawan, Aziz Ishak dan Noor Azam Shairi, kelmarin.

Menurut laporan akhbar tuan rumah The Straits Times, pemimpin Singapura memberikan reaksi positif kepada pandangan Najib termasuk menangani punca keganasan iaitu isu Palestin-Israel dan soft approach antaranya memenangi hati dan minda.

Dalam wawancara ini, Najib menyentuh pelbagai perkara berkaitan isu keselamatan termasuk menilai semula FPDA, penubuhan Angkatan Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), kerjasama perisikan serta kemungkinan ASEAN menjadi pakatan ketenteraan.

Bagi Najib, usaha membetulkan orde dunia sesuatu yang rumit atas realiti jurang antara kuasa tunggal dengan negara lain sangat besar.

``Tetapi kita tidak boleh berputus asa,'' tegasnya.

MINGGUAN: Bagaimanakah Datuk Seri menilai tahap keselamatan di rantau ini?

NAJIB: Kedudukan keselamatan di Malaysia dan Singapura boleh dikatakan terkawal. Malaysia sendiri telah mengambil tindakan yang berkesan untuk mencegah kejadian seperti yang berlaku di Bali. Tindakan-tindakan yang telah kita ambil seperti menahan anggota-anggota Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa dan soal Malaysia tidak selamat tidak timbul. Mereka tidak mengeluarkan amaran perjalanan seperti yang dilakukan ke atas sesetengah negara di rantau ini. Pelabur-pelabur pun berkeyakinan tiada kemungkinan Malaysia akan diancam oleh pengganas.

Dari segi rantau ini, tentu sekali sukar untuk kita tidak menyentuh perkembangan di selatan Thailand yang telah menarik perhatian antarabangsa. Keadaan di sana sudah ada tanda-tanda beransur pulih. Kerajaan Thailand sudah sedar bahawa tindakan kekerasan dan ketenteraan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah. Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra sendiri telah melawat wilayah itu. Lawatan itu adalah cerminan kepada perubahan dasar kerajaannya yang mahu melihat permasalahan pembangunan ekonomi di situ dengan lebih serius.

Di selatan Filipina, apa yang menjadi masalah ialah wujudnya kumpulan Abu Sayyaf yang lebih berunsur jenayah dan masih lagi bergerak di situ. Selain itu ada juga kemungkinan wujud kem-kem JI di sana. Ini perlu dibanteras selain kita mengusahakan penyelesaian politiknya.

Di Indonesia pula, perkembangan mutakhir menunjukkan mereka mengambil berat tentang soal tindakan kepada kumpulan militan dan pelampau yang ada di sana. Namun demikian mereka tahu mereka perlu melakukan lebih lagi untuk memulihkan keyakinan masyarakat antarabangsa. Saya berharap selepas pilihan raya presiden ini keutamaan yang tinggi akan diberikan kepada usaha itu.

Adakah keadaan di rantau ini tidak begitu selamat sehinggakan Rumsfeld mengeluarkan kenyataan itu?

NAJIB: Kalau keadaan ini berterusan kita akan mengundang tekanan dari AS dan kuasa-kuasa besar untuk campur tangan dalam urusan dalaman negara kita sehingga boleh menjejaskan hak kedaulatan dan integriti wilayah kita.

Dalam hal ini kita berpegang kepada kenyataan akhir Rumsfeld di Singapura yang menyatakan AS tidak berhasrat meletakkan tenteranya di Asia Tenggara. Saya tidak tahu sama ada beliau melayangkan pendapat awalnya itu hanya untuk menguji reaksi saja. Namun pendirian Malaysia amat konsisten dari awal lagi dan saya telah memperkukuhkannya melalui ucapan di Singapura itu. Saya telah menyatakan dengan jelas bahawa kita tidak rela penempatan kuasa asing dalam wilayah milik kita.

Kenapa Selat Melaka menjadi fokusnya sekarang? Adakah kewajaran pada hasrat itu kerana hakikatnya kita masih mampu mengawalnya? Atau adakah apa-apa agenda di sebaliknya?

NAJIB: Kita mesti memahami minda AS selepas peristiwa 11 September. Mereka agak paranoid. Apabila bercakap tentang keganasan mereka melihat kepada apa juga kemungkinan walaupun kemungkinan-kemungkinan itu sukar untuk berlaku. Ini kerana mereka telah mengalami pengalaman yang cukup pahit.

Mereka mungkin membayang senario sebuah kapal tangki minyak dirampas di Selat Melaka dan digunakan oleh pengganas untuk melanggar pelabuhan di Malaysia atau Singapura. Kita mungkin sukar menerima kemungkinan itu tetapi dalam senario yang difikirkan oleh kuasa besar ini, ia kemungkinan yang mereka tidak tolak boleh berlaku.

Oleh kerana Selat Melaka merupakan laluan utama lebih kurang 50,000 buah kapal setiap tahun, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi keyakinan kepada masyarakat antarabangsa bahawa perairan ini tidak mungkin terdedah kepada kemungkinan-kemungkinan itu.

Saya telah tegaskan bahawa kita perlu mengeratkan lagi kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Singapura. Ini termasuklah mengadakan kawalan yang diselaraskan bersama, kemudahan untuk pusat maritim kita saling berhubung serta menggunakan platform FPDA untuk melakukan latihan membanteras segala kemungkinan bentuk keganasan. Mereka (FPDA) ada pengalaman yang lebih luas. Ini kerana pengganas boleh menggunakan pelbagai teknologi baru yang kita tidak ada pengalaman. Selain itu, maklumat-maklumat melalui siasatan di negara lain yang mungkin melibatkan rantau ini boleh diserahkan kepada kita untuk kita mengambil tindakan yang perlu.

Itu sebab saya katakan kerjasama ini lebih berkesan berbanding meletakkan tentera kuasa asing di perairan kita. Kalau kita terima mereka, ia akan menyebabkan isu baru timbul. Kehadiran mereka akan membangkitkan kemarahan rakyat dan ini akan memberi nafas baru kepada kumpulan pengganas. Penempatan mereka tidak akan menguntungkan kita. Itu sebab saya katakan bahawa kuasa asing tidak boleh dibenar menempatkan tentera mereka melainkan melakukan latihan bersama seperti selama ini.

Pakar maritim, Mark Valencia mengandaikan bahawa negara-negara di rantau ini mempunyai kemahuan politik yang rendah dalam menangani ancaman keganasan. Dia mengatakan kerjasama yang ada sehingga kini tidak pernah berkesan walaupun selepas sedekad. Komen Datuk Seri?

NAJIB: Alternatifnya kepada saya lebih buruk. Penempatan tentera asing akan menimbulkan reaksi yang lebih buruk dan boleh mencetuskan kegiatan pihak pengganas kerana mereka cukup benci kepada kehadiran itu. Soalnya sama ada itu lebih baik atau kita teruskan usaha cuba meyakinkan negara-negara yang terlibat untuk meningkatkan lagi peranan masing-masing.

Kita tidak akan berganjak daripada pendirian bahawa Selat Melaka adalah kedaulatan kita.

Apakah ada jaminan negara-negara lain juga akan menolak kehadiran tentera asing?

NAJIB: Setakat ini Malaysia dan Indonesia sependapat. Setahu saya Singapura tidak akan berbuat sesuatu yang akan menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan Malaysia dan Indonesia. Mereka nampaknya boleh menerima pendirian kita.

Datuk Seri juga menyebut tentang penggunaan ideologi untuk memerangi keganasan. Masalahnya AS masih percaya bahawa keganasan mesti dilawan dengan keganasan sebelum aspek memenangi hati dan minda boleh dilakukan.

NAJIB: Ya, memang benar. Tetapi suasana dalam dialog itu berbeza kali ini berbanding setahun yang lalu. Saya lihat mereka sudah mula menerima pendirian kita itu.

Selepas selesai ucapan ada beberapa peserta yang agak ternama dari AS yang mengatakan mereka bersetuju dengan saya. Saya telah menjelaskan tentang pentingnya keseimbangan antara soft power dan hard power. Mereka meminta saya menghuraikannya.

Ini bermakna mereka sudah dapat menerima idea bahawa pendekatan yang seimbang perlu dilakukan. Namun kita belum dapat tentukan sama ada ini akan berkesudahan dengan perubahan dasar AS.

Maksud hard power dan soft power?

NAJIB: Hard power bermaksud kita menggunakan segala kuasa yang ada - ketenteraan, undang-undang dan sebagainya. Soft power pula bererti kita melihat kepada tuntutan mereka yang munasabah misalnya peluang ekonomi, pendidikan, pembangunan dan sebagainya. Inilah yang dikaitkan dengan permasalahan di selatan Thailand dan selatan Filipina.

Kepada mereka yang begitu hampa dan tidak dapat menggambarkan bahawa mereka ada masa depan yang terjamin, tindakan sebagai pengganas adalah satu alternatif yang ada tarikan. Maknanya kalau kita hendak menangani masalah keganasan tidak boleh diselesaikan dengan menggunakan bom. Ia mesti menggunakan pendekatan yang lebih seimbang.

Prof. Philip M. Taylor yang pernah berkhidmat di Ibu Pejabat Tertinggi Kuasa-Kuasa Bersekutu Eropah dalam ceramahnya di Kuala Lumpur baru-baru ini menyebut tentang doktrin Bush dalam memerangi pengganas tidak berjaya. Komen Datuk Seri?

NAJIB: Hal ini juga ada saya nyatakan di Singapura. Saya katakan dalam masa setahun ini adakah kita merasakan dunia ini semakin selamat atau sebaliknya? Saya fikir dunia sekarang ini lebih tidak selamat berbanding dulu. AS tentunya perlu melihat semula apa yang dilakukannya dalam perang melawan keganasan ini. Kalau keadaan seperti ini berterusan, segala yang mereka takutkan itu boleh menjadi kenyataan.

Kita lihat bagaimana letupan bom di Madrid yang kemudiannya membawa kepada perubahan kerajaan. Itu menunjukkan bagaimana pengganas boleh melakukan suatu perubahan strategik kepada sesebuah negara. Letupan itu telah menukar kerajaan di Sepanyol dan kerajaan yang baru itu mengundurkan tenteranya dari Iraq. Itu adalah satu perkembangan yang sukar difikirkan sebelum ini.

Tentang Selat Melaka, ada pandangan mengatakan bahawa cara yang ideal ialah dengan menempatkan pasukan peronda yang dinaungi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan tidak semestinya diketuai oleh AS?

NAJIB: Kita belum bersedia untuk membuka Selat Melaka kepada tanggungjawab negara ketiga atau multilateral. Saya fikir adalah lebih elok kita melihat kepada usaha-usaha peningkatan kapasiti kita. Negara-negara lain boleh menyumbang kepada kos pengawalan dan bekalan peralatan tetapi biarlah kita mengurusnya sendiri.

Sekiranya negara-negara yang menerima faedah langsung dari Selat Melaka seperti India dan rantau Asia Timur menawarkan bantuan, bagaimana?

NAJIB: Kita tidak menolak, cuma kita tidak mahu ada tentera asing ditempatkan di situ. Kerjasama dalam bentuk yang lain kita boleh fikirkan bersama.

Ada persepsi yang memandang rendah kemampuan Malaysia dan Indonesia mengawal perairannya sendiri berbanding Singapura.

NAJIB: Kawasan kita lebih luas dan sudah tentu kawalan di sepanjang perairan itu memerlukan penempatan aset yang besar dan melibatkan belanja yang juga besar.

Memang kita menghadapi kekangan kerana keutamaan kita lebih kepada soal pembangunan sosioekonomi dan luar bandar termasuk pendidikan yang ditanggung oleh kerajaan. Kita boleh meningkatkan kemampuan pertahanan tetapi tidaklah sehingga terpaksa mengorbankan kepentingan lain. Ada batas-batasnya. Kita mengakui hakikat ini kerana itu adalah pilihan kita iaitu memenuhi tuntutan pembangunan rakyat.

Bagaimanapun ia tidaklah sehingga keadaan tidak terkawal sama sekali. Tetapi mana ada negara yang mempunyai kemampuan seperti AS. Malah dengan kemampuan seperti itu pun, sempadan AS masih bolos sehinggakan pendatang dari Mexico boleh masuk dengan mudah.

Pengganas ini seperti halimunan; masih banyak yang kita belum tahu mengenainya. Bagaimanakah persiapan kita dari segi perisikan?

NAJIB: Barisan pertama dalam soal perisikan ialah tanggungjawab cawangan khas yang mempunyai kuasa polis dan melibatkan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Walaupun bahagian risikan ketenteraan juga mempunyai peranan tetapi lebih dalam bentuk risikan strategik. Namun kerjasama antara kedua-duanya amat baik. Apa yang mereka (cawangan khas) dapat biasanya mereka sampaikan kepada kita (risikan tentera).

Sebagai Timbalan Perdana Menteri, adakah Datuk Seri berpuas hati dengan tahap keseluruhan perisikan negara?

NAJIB: Saya berpuas hati. Tetapi saya mahu mengingatkan walaupun air tenang jangan disangka tiada buaya. Sebuah kumpulan silat boleh bertukar menjadi kumpulan pengganas. Pada masa itu kita tidak mengetahui tentang wujudnya kumpulan Al-Maunah sehinggalah peristiwa rompakan senjata itu berlaku.

Bagaimanakah kerjasama perisikan dengan negara-negara jiran? Apakah masih ada maklumat-maklumat kepentingan bersama yang dirahsiakan?

NAJIB: Setiap negara ada rahsia masing-masing tetapi demi kepentingan bersama kita berharap maklumat itu dapat dikongsi untuk manfaat bersama.

Misalnya, ada kemungkinan dua rakyat kita, Dr. Azahari Hussin dan Noordin Mohammed Top berada di Indonesia. Maklumat tentang mereka itu patut kita serahkan kepada Indonesia bagi membantu mereka memberkas kedua-dua pemimpin JI itu. Sekiranya mereka ditangkap nanti, hasil siasatan itu kita hendak tahu juga.

Kerjasama seperti ini kita percaya boleh membawa kesan yang positif.

Kerjasama ini termasuk dalam aspek ancaman lanun?

NAJIB: Saya tidak begitu bimbang tentang masalah lanun kerana saya percaya Indonesia tahu di mana sarangnya. Saya selalu tegaskan bahawa masalah lanun boleh diselesaikan di peringkat akar umbinya iaitu di sarang-sarang mereka bersembunyi.

Tetapi apa yang menjadi kebimbangan kita ialah sekiranya pengganas itu menggunakan lanun sebagai dimensi baru kegiatan mereka. Itu lebih berbahaya.

Itu sebab saya selalu tekankan bahawa tahap kewaspadaan kita mesti berada pada tahap tinggi. Kita fikir kita dapat mengawal tetapi kita jangan terlupa bahawa mereka akan sentiasa berfikir bagaimana mahu mendahului kita, melakukan sesuatu yang tidak kita jangkakan.

Dalam melawan pengganas kita berdepan dengan musuh yang tidak dikenali dan tidak hormat kepada undang-undang. Komen Datuk Seri?

NAJIB: Memang itulah yang berlaku. Sebaik-baiknya kita mendapat maklumat risikan yang awal supaya kita dapat mencegahnya. Ini memerlukan kemahiran yang lebih menyeluruh dan lebih tangkas.

Ada pandangan mengatakan jumlah tenaga risikan kita masih terbatas. Peralatan saja tidak mencukupi. Tenaga manusia itu juga penting.

NAJIB: Saya berpuas hati dengan tahap tenaga risikan kita sekarang. Tetapi kita perlu berhati-hati kerana kumpulan yang kita anggap tidak memberikan ancaman pada bila-bila masa boleh menjadi satu ancaman. Oleh itu, segenap kegiatan yang kita anggap sebagai pertubuhan sosial pun mesti dipantau kerana ia boleh tiba-tiba bertukar wajah.

Ada pihak di AS meramalkan pada Julai nanti akan berlaku satu lagi gelombang keganasan yang serupa seperti kejadian 11 September.

NAJIB: Saya tidak fikir kita boleh secara pasti mengatakan bahawa ia akan berlaku. Kita perlu ingat bahawa AS sedang berdepan dengan pilihan raya presiden. Kalau sesuatu berlaku ada kemungkinan Bush boleh kalah.

Jadi saya melihat ini adalah satu langkah pre-emptive. Kalau ada sesuatu yang berlaku nanti, mereka boleh mengatakan bahawa amaran sudah dikeluarkan. Soalnya bukanlah pada hakikatnya mereka yakin ia akan berlaku tetapi ini satu langkah pre-emptive.

Rumsfeld juga menyebut bahawa perang melawan keganasan ini masih di peringkat awal. Komen Datuk Seri?

NAJIB: Ya, memang masih banyak usaha yang perlu dilakukan tetapi soalnya apakah yang patut dilakukan. Selain melakukan langkah yang lebih seimbang, saya sebutkan juga tentang masalah Palestin yang perlu diselesaikan. Masalah ini berpunca daripada dasar AS yang berat sebelah dalam isu itu. Itu adalah salah satu punca kemarahan umat Islam terutamanya di Asia Barat.

Banyak pihak setuju tentang ini kecuali AS. Jadi apakah yang boleh kita harapkan?

NAJIB: Realitinya hanya ada satu kuasa besar saja di dunia ini sekarang. Jurang antara AS dengan negara-negara lain itu sangat besar. Kita terpaksa melakukan apa saja sehingga dapat mempengaruhi dasar AS. Jika AS tidak mahu berubah apa saja yang kita persetujui tidak dapat dilaksanakan.

Inilah realiti dunia unipolar. Itu sebabnya apa juga resolusi dan pendirian yang tegas atau ucapan dan retorik yang keras akhirnya tidak akan membawa apa-apa kesan selagi ia tidak dapat mengubah pendirian AS.

Tidakkah ini seperti mengharapkan keajaiban berlaku?

NAJIB: Ya, tetapi kita tidak boleh berputus asa. Kita mesti terus mencuba. Hakikatnya semua orang sedar bahawa PBB pun tidak ada kuasa untuk menanganinya. Yang ada kuasa mutlak itu ialah AS. Inilah hakikat dunia unipolar.

Sampai bilakah keadaan ini akan berterusan?

NAJIB: Saya tidak nampak kemungkinan ada kuasa lain yang boleh menyaingi AS, tidak dalam abad ke-21 ini. Apa yang saya nampak cuma negara China saja yang boleh menyainginya. Soalnya apakah AS akan membenarkan China menjadi kuasa besar?

Tentang perlunya FPDA disusun semula bagi menghadapi cabaran semasa, bilakah ia boleh menjadi kenyataan?

NAJIB: Insya-Allah, tidak lama lagi apabila kita mengadakan eksesais pada bulan September nanti di Laut China Selatan. Dalam eksesais itu akan melibatkan eksesais melawan pengganas. Tetapi itu hanya dalam eksesais saja. Kalau ada intervention, ia tetap akan dilakukan oleh tentera Malaysia.

Apakah FPDA masih relevan? Pakatan itu nampak seperti agak longgar.

NAJIB: Ya, masih relevan. Ia memang sengaja dibentuk longgar begitu kerana dalam menghadapi apa juga keadaan kita boleh mengadakan perundingan dan mencari keputusan yang sesuai.

Adakah Datuk Seri bersetuju sudah sampai masanya ASEAN menjadi pakatan tentera bagi menghadapi ancaman keselamatan serantau tanpa campur tangan kuasa luar?

NAJIB: ASEAN belum bersedia lagi untuk satu pakatan ketenteraan, belum sampai ke peringkat itu. Tetapi mungkin ASEAN boleh dijadikan sebagai satu mekanisme untuk membincangkan isu keselamatan sama ada di kalangan negara-negara anggota mahupun dengan negara-negara lain.

Untuk menjadikannya sebagai pakatan keselamatan, kita perlu terlebih dulu mencapai persefahaman yang jitu antara negara anggota. Satu definisi tentang keganasan pun sehingga sekarang ini masih tidak dipersetujui oleh semua dan masih menjadi kontroversi. Masing-masing mempunyai pengertian tersendiri tentang maksud keganasan.

Sekiranya AS terus menekan untuk berada di rantau ini apakah pakatan itu boleh direalisasikan?

NAJIB: Saya tidak fikir begitu. Ini kerana dalam ASEAN sendiri pendirian bersama pun sukar dicapai kerana masing-masing ada hubungan yang berbeza dengan negara lain. ASEAN juga mempunyai masalah dalaman yang perlu diselesaikan terlebih dulu.

Sekarang ini pun ASEAN mempunyai forum serantau dan tidak ada halangan untuk membincangkan isu-isu keselamatan. ASEAN sepatutnya lebih yakin untuk menjadikan isu keselamatan sebagai agenda perbincangan. Tetapi kadang-kadang sesetengah negara anggota itu mempunyai kepentingan yang berbeza.

Dalam forum itu juga, Timbalan Perdana Menteri Kedua Singapura Tony Tan membuat pengakuan terbuka bahawa ia sahabat baik kepada AS dan Israel. Apakah pandangan kita?

NAJIB: Singapura perlu menghormati sedikit sebanyak perasaan negara-negara jirannya. Kalau kita tersinggung akan menjadi masalah kepada Singapura juga. Saya tidak tahulah kalau ia berhasrat ada perubahan ke arah memungkinkan kuasa asing hadir di kawasan ini (tetapi) setakat ini mereka mengambil kira pendapat dan pendirian kita.

Cadangan penubuhan Angkatan Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) telah dibawa ke Parlimen. Agensi itu akan mempunyai kuasa menahan memeriksa dan menangkap mana-mana kapal yang disyaki melakukan kesalahan di perairan kita. Boleh Datuk Seri jelaskan tentang APMM ini?

NAJIB: Ini masih lagi di peringkat awal. Kita luluskan perundangannya bagi membolehkan agensi ini diwujudkan. Dari segi tindakan pentadbiran kerajaan kena membuat keputusan bilakah ia boleh berfungsi.

APMM ini lebih sesuai untuk menangani masalah jenayah merentas sempadan termasuk keganasan kerana ia mempunyai kuasa yang sama seperti polis. Lagipun sekarang ini ada pertindihan kuasa antara agensi. Kalau ada banyak pertindihan, dari segi operasi ia kurang berkesan.

Apabila sesebuah kapal digeledah pihak berkuasa tidak tahu apa yang akan mereka temui. Mungkin kapal itu terlibat dalam perikanan haram, membawa dadah, menyeludup pendatang asing atau mungkin juga ia membawa pengganas. Kalau operasi itu dijalankan oleh APMM ia ada kuasa yang merentasi peranan agensi-agensi lain dan boleh menguruskan segala-galanya.

Saya fikir pada tahun-tahun mendatang ia akan memberikan sumbangan yang besar kepada kawalan maritim negara.

Dalam konteks pertahanan, bagaimanakah Datuk Seri melihat masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin?

NAJIB: Itu sebab saya katakan jenayah merentas sempadan merupakan ancaman yang lebih serius daripada serangan konvensional. Semua pasukan keselamatan mesti berkemampuan menanganinya. Pihak tentera juga terlibat dalam kawalan pantai tetapi ia tiada kuasa menangkap seperti polis.

Ada persepsi mengatakan bahawa dalam hubungan diplomatik antara negara-negara serantau ini Malaysia dilihat sebagai `budak jahat'.

NAJIB: Tidak, tidak. Thailand menyatakan terima kasih kepada Malaysia atas hasrat kita mahu membantu mereka. Ia tidak menganggap kita sebagai `budak jahat'. Kita juga tidak mempunyai masalah dengan Thailand. Kita mahu membantu kerana kita ada pengalaman dalam menangani isu militan ini. Pandangan yang sama juga pernah dinyatakan oleh Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo.

Cuma kita mempunyai pertikaian sempadan dengan semua negara jiran. Ini adalah perkara yang biasa dan ia tidaklah terlalu serius.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.