VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Ogos 2014 / 6 Syawal 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 10/06/2004

Tarekat Ibrahim Bonjol - Sembahyang hanya dalam hati

SETELAH sekian lama mengkaji dan menyiasat pergerakan kumpulan Tarekat Samaniah Ibrahim Bonjol, pada 1 April lalu, lebih 100 orang pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan anggota polis, mengambil keputusan menyerbu sebuah masjid yang dipercayai didirikan oleh para pengikut tarekat tersebut di Paya Jaras, Sungai Buluh, Selangor.

Setibanya di sana, mereka mendapati masjid tiga tingkat tersebut gelap gelita dengan pintu dan tingkap tertutup rapat tetapi jelas kedengaran suara orang ramai seolah-olah sedang berzikir di dalamnya.

Selepas mengarahkan para pengikut tarekat tersebut membuka pintu, mereka mendapati seramai 97 jemaah termasuk lebih 20 wanita dan kanak-kanak berada di ruang sembahyang masjid itu.

Turut kelihatan seorang `tok guru' berusia dalam lingkungan 60-an duduk di saf paling hadapan.

Beliau yang berjubah dan memakai songkok berlilitkan kain berwarna kuning keemasan, kelihatan gugup dan gementar dengan kehadiran begitu ramai pegawai JAIS dan anggota polis.

`Tok guru' itu kemudiannya membawa pegawai JAIS ke biliknya yang lengkap dengan penghawa dingin dan kerusi urut di tingkat dua masjid tersebut .

Namun yang paling memeranjatkan, seorang pegawai JAIS menemui senaskhah majalah `erotik' sewaktu sedang memeriksa kitab-kitab yang terdapat di bilik `tok guru' itu.

``Majalah ini hanyalah untuk menunjukkan pada jemaah saya tentang keruntuhan moral yang sedang melanda masyarakat kita,'' katanya dalam nada selamba sewaktu disoal oleh pegawai berkenaan.

Beliau dan para pengikutnya yang lain kemudian dibawa ke pejabat JAIS untuk diambil keterangan.

Berdasarkan kereta-kereta mewah yang terdapat di perkarangan masjid tersebut, pihak JAIS percaya yang kumpulan tarekat itu telah berjaya menarik ramai golongan profesional untuk menyertai mereka.

Kumpulan Tarekat Samaniah Ibrahim Bonjol mula bertapak di negara ini seawal tahun 30-an lagi, dan sejak itu ia mula mendapat sambutan daripada orang ramai termasuk golongan kenamaan.

Mengikut sejarahnya, ia diasaskan oleh Syeikh Ibrahim Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Bonjol @ Siput, seorang lelaki yang berasal dari Padang dan menetap di Pondok Kelapa, Medan, Indonesia.

Ibrahim Bonjol pernah dipenjarakan pada tahun 1955 oleh pihak berkuasa republik tersebut setelah beliau menggunakan orang-orangnya yang terdiri daripada ahli Parti Komunis Indonesia (PKI) untuk memukul seorang ulama, Ustaz Baharom Jamil yang dikatakan berbeza pendapat dengannya.

Beliau dan para pengikutnya juga pernah menyerang pejabat Konsulat Malaysia di Medan, apabila permohonannya untuk masuk ke negara ini disekat.

Ini kerana pada 10 November 1962, Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah memutuskan untuk tidak membenarkan Ibrahim Bonjol memasuki negeri-negeri di Tanah Melayu.

Menurut Ibrahim Bonjol, Tarekat Samaniah berasal daripada perkataan `samin' iaitu halus. Dalam erti kata lain, beliau mendakwa mempunyai `jalan halus untuk menuju ke jalan Allah'.

Katanya, salasilah tarekat ini bermula daripada Allah, diturunkan kepada Jibril, disampaikan kepada Nabi Muhammad, disalurkan kepada ulama dan seterusnya kepada guru beliau, iaitu allahyarham Syeikh Muda Abd. Karim Balubus Sulukiah dan Syeikh Abd. Rahman Kemangoniah.

Ibrahim Bonjol yang mendakwa mempunyai `mukjizat' iaitu boleh mengeluarkan air daripada tangannya, meninggal dunia pada tahun 1991 ketika berusia lebih kurang 70 tahun tetapi ajaran tersebut diteruskan oleh para pengikutnya yang lain.

Menurut sumber daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), mereka yang ingin menyertai ahli tarekat tersebut terlebih dahulu perlu mandi wajib dengan air limau atau bidara bagi membersihkan dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Mereka kemudian perlu membeli dan mempelajari kitab Thabitul Qulub yang dijadikan kitab asas kepada tarekat berkenaan dengan harga RM25 sebuah. Kitab ini diharamkan oleh JAIS pada tahun 1971.

Al-Quran dalam ajaran ini hanya dianggap sebagai buku sejarah.

Seperti ajaran-ajaran sesat yang lain, para pengikutnya dilatih untuk menghormati dan taksub kepada `tok guru' sehingga menjadi kesalahan besar sekiranya mereka duduk di kerusinya atau mengahwini isterinya (walaupun isteri itu telah diceraikan.)

Kalau hendak bertemu dan bersalam dengan `tok guru' pula, para pengikut perlu merangkak terlebih dahulu sebelum mereka dibolehkan berbuat demikian.

Para pengikut ajaran ini juga selalu diberitahu, kononnya Tuhan sendiri akan mencabut nyawa mereka sekiranya ditakdirkan mereka meninggal dunia ketika dalam proses mempelajari tarekat tersebut.

Selain itu, para pengikut tarekat ini dibolehkan bersembahyang dengan hanya berniat di dalam hati (sembahyang batin) dan meninggalkan solat sekiranya terlalu sibuk dengan aktiviti harian.

Pernikahan juga boleh dijalankan tanpa wali dan saksi, manakala pergaulan bebas antara bukan muhrim dibolehkan antara ahli jika mereka berniat ikhlas.

Bertitik tolak daripada penyelewengan ajaran Islam secara terang-terangan itu, JAIS pada tahun 1998 telah memfatwakan pengharaman terhadap Tarekat Samaniah Ibrahim Bonjol ini.

Sementara itu, Selangor akan meneruskan usaha membongkar kegiatan kira-kira 60 kumpulan ajaran sesat di negeri tersebut, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui JAIS akan memerangi kegiatan ajaran sesat itu yang kebanyakannya berasal dari negara jiran melalui tindakan serbuan yang bersistematik dan serta-merta.

Katanya, menyertai ajaran sesat tidak membawa keuntungan, dan tujuan kerajaan negeri bertindak adalah untuk mengembalikan pengikut-pengikut ajaran itu ke pangkal jalan.

``Kita mahu mereka tahu ia (ajaran) sesat dan menyelamatkan mereka daripada sesat. Tak kan nak marah kita yang bantu mereka keluar daripada kesesatan,'' ujarnya.

Dr. Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri akan mengadakan program pemulihan akidah untuk membantu mereka yang terlibat dalam ajaran sesat.

Sesungguhnya usaha dan kesungguhan JAIS dalam memerangi kumpulan ajaran sesat ini patut dipuji kerana kewujudan mereka ibarat `bom jangka' yang boleh meletup pada bila-bila masa sahaja.

Ini kerana kita tidak mampu lagi menambah arang dalam sejarah negara seperti mana yang telah diconteng oleh al-Arqam dan al-Maunah sebelum ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.