Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
FORUM

ARKIB : 21/05/2004
Basmi masalah pengemis buta berkeliaran di restoran

Basmi masalah pengemis buta berkeliaran di restoran

Saudara Pengarang,
SAYA tidak percaya bahawa tiada seorang pun rakyat Malaysia, khususnya warga kota Kuala Lumpur yang tidak pernah berdepan dengan masalah baru yang ingin saya utarakan di sini _ pengemis buta berkeliaran di restoran-restoran.

Kita semua pernah menemui golongan yang kurang bernasib baik dan kurang upaya ini sekurang-kurangnya dua kali dalam hidup kita.

Kemunculan mereka, dalam pelbagai bentuk, rupa, pendekatan untuk mendapatkan derma, interaksi mereka dengan para pelanggan di restoran-restoran terbuka, pada pendapat saya, kini menjadi suatu masalah baru yang harus ditangani segera dengan secara berkesan oleh warga kota dan warga kerja kementerian-kementerian atau jabatan yang terbabit.

Kini, acara santai di restoran-restoran terbuka untuk `pekena' teh tarik, roti canai dan sebagainya sudah tidak lagi suatu acara santai yang ditunggu-tunggu oleh sesetengah warga kota, seperti saya, di sebelah petang. Kalau tidak santai pun, mungkin ada di kalangan kita yang perlu menghilangkan haus dan melapik perut dengan juadah ringan selepas masa kerja dan sebelum pulang menemui keluarga.

Seperti saya dan rakan-rakan, restoran-restoran terbuka ini, khususnya kedai mamak di Lucky Garden, Bangsar dan kawasan happening di Jalan Telawi di Bangsar tidak hanya merupakan tempat minum dan makan, kadangkala adalah tempat pertemuan untuk perbincangan, pertukaran idea dan maklumat dan lokasi ahli perniagaan mengadakan urus niaga kecil-kecilan sebelum peringkat akhirnya diputuskan di tempat-tempat yang lebih sesuai, bergantunglah kepada faktor-faktor tertentu.

Namun, tempat-tempat lain sehinggalah di Taman Sri Gombak, masalah ini tidaklah terkecuali. Dan, untuk memburukkan keadaan, golongan ini pula terpaksa bersaing dengan kumpulan peminta sedekah kanak-kanak yang asal-usul mereka juga tidak diketahui akan tetapi kelihatan memakai ketayap dan membawa sekeping surat yang hampir lusuh!

Malang sekali, restoran-restoran ini juga merupakan tempat kunjungan kerap golongan-golongan yang saya nyatakan tadi.

Dan, biasanya mereka akan datang secara berdua (maksudnya seorang buta dan seorang lagi kelihatan seperti memimpin jalan) dan selalunya mereka akan berulangan (maksudnya mendekati meja kita untuk sekurang-kurangnya tiga kali).

Bayangkanlah kalau lima atau enam kali, itu adalah angka biasa, pasangan ini mendatangi meja kita untuk tujuan yang sama.

Pada pengamatan saya, biasanya warga kota amatlah bermurah hati untuk mengeluarkan derma pada kali pertama atau hanya selepas lima minit menduduki di meja berkenaan.

Yang kita tidak tahu ialah sudah berapa kali pasangan ini berulangan di situ dan sudah berapakah meja yang mereka ulangi?

Pada pandangan saya untuk mengeluarkan RM1 untuk pasangan yang pertama mendatangi kita selepas kita melabuhkan badan di kerusi restoran itu bukanlah suatu masalah yang besar, akan tetapi sekali selepas mereka, datang pula lima atau enam pasangan?

Kebanjiran peminta sedekah menerusi modus operandi ini kelihatan seperti tidak terkawal dan tidak langsung dipedulikan oleh pihak-pihak tertentu.

Jauh sekali ada perasaan takut atau salah di kalangan peminta sedekah. Mungkinkah kerana tidak ada undang-undang khusus untuk menangani masalah ini, atau mungkinkah belum ada warga kota yang membangkitkan persoalan ini?

Tujuan utama saya menulis nota ini adalah kerana yang pertamanya, majoriti peminta sedekah ini adalah umat Islam, hatta memberikan gambaran yang kurang sopan kepada agama dan bangsa Melayu lantaran ada sebilangan besar pengunjung restoran-restoran terbuka ini adalah warga asing yang bekerja atau melancong ke negara kita.

Kedua, kita perlu membasmi segera masalah ini sebelum sikap memberi derma atau sedekah tidak lama lagi akan menjadi satu kewajipan khusus kepada para pengunjung restoran-restoran ini.

Ketiga, kelihatan seperti suatu usaha terancang oleh golongan ini memperoleh pendapatan secara mudah!

Di sini, saya memohon agar masalah ini mendapat perhatian pihak-pihak berwajib, setidak-tidaknya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang secara kebetulannya adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai yang di dalam kawasan ini terletaknya Bangsar, lokasi masalah yang dinyatakan ini. - ZUKRI VALENTENO, Batu Caves, Selangor.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN