VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Julai 2014 / 25 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
TENTERA

ARKIB : 06/05/2004

Abdul Hamid - Ngeri lihat rusuhan kaum


Abdul Hamid Bulat menerima ijazah pertama di Universiti Sains Malaysia pada 1990.


MENYAKSIKAN mayat bergelimpangan dengan kepala dipancung, manakala dada ditebuk untuk diambil hati dan dimakan, adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Deputi Supritendan Abdul Hamid Bulat sepanjang 26 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengalaman mengerikan itu dilalui ketika bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam Polis selama empat tahun di Pontianak, Kalimantan Barat pada tahun 1996 hingga 2000.

Anak kelahiran Pulau Lagenda Mahsuri, Pulau Langkawi itu, ketika ditemui di pejabatnya di Sri Aman menceritakan detik-detik cemas beliau menghadapi pelbagai rintangan semasa bertugas di Pontianak yang ketika itu memuncak rusuhan kaum antara suku Madura dan pribumi Dayak.

Pengalaman itu berlaku apabila beliau pertama kali melaporkan diri bertugas di Pontianak dengan memandu kenderaan sendiri ke daerah Kalimantan Barat itu.

Beliau memberitahu, pada mulanya beliau dalam perjalanan melihat keadaan riuh-rendah dan orang ramai bertempik, namun mengang-gap mungkin ada pesta keramaian sedang berlangsung.

``Apa yang saya lihat sepanjang perjalanan itu ada antara mereka melilitkan kepala dengan kain hitam dan ada menggunakan kain merah serta membawa senjata tajam termasuk senjata api buatan sendiri.

``Setelah diamati betul-betul, apa yang saya lihat amat mengerikan dengan mayat bergelimpangan dan ada yang putus kepala serta mayat berlubang di dada,'' katanya.

Masa itu, beliau memberitahu, ternampak mereka sedang memotong kepala, menyiat kulit mayat dan yang paling mengerikan ialah mengorek hati musuh serta mengunyah benda itu dalam keadaan berlumuran darah.

Menurut Abdul Hamid, sebelum beliau ditugaskan ke Pontianak, berita mengenai rusuhan kaum telah tersebar tetapi ia dapat diredakan oleh pihak tentera daripada berlaku.

Pada masa itu, beberapa pemuda suku kaum Madura dari Pulau Jawa menghadiri satu majlis keramaian kaum Dayak di satu daerah kecil di Pontianak, namun berlaku salah faham menyebabkan pergaduhan kecil antara dua kaum itu.

``Bagaimanapun, disebabkan dendam, seorang pemuda daripada kaum Dayak dipukul oleh kaum Madura dan tersebar khabar angin sehingga ke Pontinak mengatakan lelaki itu meninggal dunia menyebabkan meletusnya rusuhan kaum,'' ujarnya.

Akibat daripada khabar angin itu, jelasnya, kedua-dua pihak melancarkan serangan menyebabkan keadaan masa itu tidak aman dan pembunuhan berlaku di mana saja.

``Masa itu dapat dilihat kaum Madura melilitkan kain hitam di kepala dan membunuh orang Dayak dan sebaliknya orang Dayak menggunakan lilitan merah akan membunuh sesiapa sahaja kaum Madura tak kira tua atau muda.

``Mereka berperang menggunakan senjata parang dan senjata api buatan sendiri malah apa yang mengerikan lagi ialah ada yang memakan hati mangsa yang dibunuh,'' katanya.

Tambahan pula pada masa itu, katanya, suasana politik dan ekonomi akibat kegawatan ekonomi serantau memburukkan lagi keadaan di Pontianak dengan semua bangunan kedai dibakar dan kawalan keselamatan tidak lagi berfungsi.

Sepanjang tugasnya di Pontianak, katanya, tiga insiden yang dialami begitu menguji ketabahan beliau menjalankan tugas sebagai anggota polis di mana insiden pertama berlaku akhir Disember 1996 hingga Januari 1997.

Abdul Hamid berkata, pada masa rusuhan sedang memuncak, beliau diarahkan pergi ke satu daerah luar bandar menguruskan barang-barang negara ini yang dicuri untuk dihantar balik ke Malaysia.

Menurutnya, pada malam itu beliau hanya ditemani seorang anggota polis Indonesia ke Sambas selepas melawat Paloh dan perlu balik ke Singkawang pada malam itu juga.

``Sepanjang perjalanan saya dari Sengkuak, kenderaan kami dihalang oleh kumpulan yang merusuh sebanyak tujuh kali dan bertanyakan tujuan kami.

``Pada masa itu, saya hanya berdoa kepada Allah s.w.t. sahaja apabila ditahan oleh mereka yang membawa pelbagai senjata tajam tetapi setelah diberi penjelasan, maka mereka membenarkan kami meneruskan perjalanan,'' katanya.

Katanya, kumpulan-kumpulan yang berperang tidak mengganggu orang luar dan hanya bertindak ke atas musuh masing-masing.

``Tetapi perasaan ngeri pasti menghantui sesiapa sahaja yang melalui kawasan yang penuh dengan mayat bergelimpangan,'' katanya.

Jelasnya, dalam insiden kedua di Salak Tiga, kenderaan beliau dihalang oleh sekumpulan 10 lelaki kaum Dayak bersenjatakan parang dan senjata api buatan sendiri sewaktu dalam perjalanan ke Kuching kira-kira pukul 10 malam.

Katanya, perjalanan ke Kuching adalah untuk menghantar mayat seorang rakyat Malaysia yang mati mengejut di Kalimantan Barat.

``Bapak mahu menghantar jenazah ke Malaysia, diharap niat bapak tidak dicegah untuk menunaikan amanah keluarga jenazah,'' kata Abdul Hamid memberi penjelasan kepada kumpulan pemuda itu dan akhirnya kenderaan beliau dilepaskan.

Selain itu, katanya, beliau juga menghadapi situasi apabila diarahkan menghantar mayat tiga lelaki rakyat Malaysia yang terbabit dengan kemalangan jalan raya di Soso.

Abdul Hamid memberitahu, beliau terpaksa mengambil mayat ketiga-tiga lelaki berkenaan di Sanggau dan sewaktu perjalanan balik melalui Gunung Sehah, kenderaan dipandunya dihalang oleh beberapa pemuda mabuk.

``Saya amat terkejut dengan tindakan mereka yang bersenjatakan parang, tiba-tiba memanjat bumbung kereta dan melompat-lompat di atasnya,'' ujarnya yang dapat melepasi halangan getir itu dengan selamat.

Selepas tugas beliau tamat, Abdul Hamid ditugaskan di Sri Aman pada 16 Ogos 2000.

Namun beliau dipanggil kembali menyelesaikan masalah pejabat konsul Malaysia di Pontianak diserang oleh mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan beberapa isu dua negara terbabit.

Jelasnya, selama dua bulan beliau bertugas di Pontianak dan apabila selesai, dalam perjalanan kembali ke Kuching, satu lagi rusuhan kaum berlaku antara Madura dan Melayu di Sambas yang bergabung dengan kaum Dayak. Punca rusuhan itu, katanya, disebabkan kemalangan kecil antara bas mini dan lori.

Maka timbul khabar angin mengatakan kemalangan berlaku antara dua kaum yang bertelagah menambahkan lagi kemarahan dua kaum terbabit.

``Jika 30 minit saya melewatkan perjalanan saya ke Kuching, maka saya akan terkandas dengan rusuhan itu kerana kawan saya yang bertolak lewat 30 minit tidak dapat keluar dari Pontianak disebabkan sepanjang perjalanan berlaku pembunuhan.

``Itulah apa yang saya katakan, masuk disambut dengan rusuhan kaum dan bila pulang pun rusuhan berlaku,'' katanya.

Beliau yang kini berusia 49 tahun menceritakan penyertaan awalnya dalam polis pada 12 Februari 1978 dengan menjalani latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Selepas itu, katanya, beliau menjalani latihan dalam Pasukan Polis Hutan yang kini dikenali Pasukan Gerak Am (PGA) di Ulu Kinta, Perak.

Setelah tamat latihan, Abdul Hamid dihantar berkhidmat ke Sarawak di bawah program Integrasi Nasional pada tahun yang sama dan memulakan khidmat sebagai Pegawai Polis Cawangan Khas selama 15 tahun.

Sepanjang tempoh berkhidmat, beliau turut melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan menerima ijazah pada tahun 1990.

Abdul Hamid dinaikkan pangkat Ketua Polis Daerah Lubok Antu pada Disember 1992 hingga Oktober 1996 sebelum dihantar berkhidmat ke Pontianak, Kalimantan Barat Indonesia pada Oktober 1996 hingga Ogos 2000.

Tamat sahaja tugas di negara jiran, beliau dilantik Ketua Polis Daerah Sri Aman mulai 16 Ogos 2000 hingga sekarang.

Sepanjang kerjayanya, beliau dianugerahkan pingat Anugerah Bintang Sarawak (ABS) atas jasa beliau berkhidmat di Pontianak, Kalimantan Barat.

Beliau mendirikan rumah tangga pada tahun 1983 dengan gadis tempatan serta dikurniakan tiga orang anak iaitu dua perempuan dan seorang lelaki.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.