Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 16/04/2004
Ezam bebas tuduhan miliki dokumen rahsia rasmi

Ezam bebas tuduhan miliki dokumen rahsia rasmi

SHAH ALAM 15 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebas dan melepaskan Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Mohamad Ezam Mohd. Noor daripada tuduhan memiliki dokumen rahsia rasmi kerajaan dan mengedarkannya kepada media.

Hakim Datuk K. N. Segara membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan oleh Mohamed Ezam supaya diketepikan keputusan dan hukuman penjara dua tahun ke atasnya setelah didapati bersalah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 oleh Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2002.

Dalam penghakimannya, Hakim Segara berkata bahawa Ezam tidak melakukan sebarang jenayah dan tidak sepatutnya dipanggil membela diri pada peringkat awal lagi.

Katanya, bagaimanakah dokumen yang dikatakan rahsia itu boleh diklasifikasikan sebagai rahsia sedangkan orang yang mengklasifikasikannya sebagai rahsia iaitu Peguam Negara tidak dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberikan keterangan.

Dokumen `rahsia' itu, kata Hakim Segara, selain tidak bertarikh juga tidak ditandatangani dan tidak diketahui siapakah pengarangnya.

Kata beliau lagi, dokumen tersebut hanya menjadi `rahsia' setelah perayu (Ezam) dihadapkan di mahkamah pada 14 Januari 2000.

Sehubungan itu, jelas Hakim Segara, beliau mengetepikan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap Ezam dan perayu dilepaskan dan dibebaskan.

Sejurus rayuannya dibenarkan, Ezam yang berbaju lengan panjang berwarna biru berdiri di dalam kandang tertuduh dan dilihat tersenyum.

Isterinya, Bahirah Tajul Aris, 33, yang berada di galeri awam turut tersenyum.

Ezam diwakili oleh peguam Raja Aziz Addruse dan Zainur Zakaria manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Vong Poh Fah dan Lee Lay Choo mewakili responden.

Pada 7 Ogos 2002, Hakim Wan Afrah Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman penjara dua tahun setelah mendapati Ezam bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 8 (1)(i) OSA 1972 iaitu memiliki maklumat rahsia yang diperoleh secara bertentangan dengan OSA dan mendedahkan kepada pemberita.

Laporan itu bertajuk: ``Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Siasatan BPR terhadap YB, Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik.''

Ezam ketika itu didapati melakukan perbuatan itu pada pukul 12.45 tengah hari, 6 November 1999 di Ibu Pejabat Keadilan, di 101 dan 210, Blok A, Pusat Dagangan Phileo Damansara II, No. 15, off Jalan Damansara, di sini.

Dokumen tersebut dihantar ke rumah Ezam di Kelana Jaya melalui kiriman Pos Laju.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN