VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 22/02/2004

``Sokongan orang Melayu terhadap UMNO semakin terserlah'' - Keadilan sudah tidak relevan lagi

MUKADIMAH
KEMASUKAN 12 pemimpin dan penggerak Parti Keadilan Nasional (Keadilan) ke dalam UMNO pada 11 Februari lalu tidak sehebat kemasukan en bloc 200,000 ahli Parti Melayu Semangat 46 pada 8 Oktober 1996. Tetapi kedua-duanya mempunyai persamaan dari segi kesan bermakna pada masa dan senario politik berlainan.

Diketuai oleh Pengerusi Perhubungan Keadilan Negeri Sembilan, Ruslan Kassim, tindakan mereka itu tamparan hebat kepada parti itu terutama menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ruslan dan rakan-rakannya itulah antara tonggak parti itu selama ini. Mereka menyingsing lengan sama-sama menaikkan semangat anak-anak muda untuk berdemonstrasi di jalanan selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. Ada yang ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk Ruslan sendiri.

Mereka jugalah yang tidak jemu-jemu berceramah mengecam dan memupuk kebencian rakyat terhadap UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN). Kini, mereka meninggalkan Keadilan dan menyematkan logo UMNO di dada mereka.

Dalam wawancara 50 minit dengan Ruslan baru-baru ini, walaupun sangat berhati-hati menjawab setiap persoalan berkaitan nasib dan perjuangan Keadilan, namun beliau tidak menyembunyikan tentang kepincangan parti itu.

Sambil bersetuju bahawa Keadilan kini hanya mempunyai satu perjuangan iaitu membebaskan Anwar, Ruslan menjelaskan:

``Semua yang diperjuangkan seperti memerangi rasuah, membersihkan imej polis, menentang pembaziran dan mengurangkan birokrasi sudah pun terjawab dengan apa yang dilakukan oleh kepimpinan arus perdana UMNO sekarang.''

Ruslan turut ditanya oleh wartawan Mingguan Malaysia, AZNAN BAKAR, RAMLI ABDUL KARIM dan NOOR AZAM SHAIRI tentang dakwaan bahawa beliau dan 11 rakannya menerima sogokan untuk memasuki UMNO.

Selain itu ialah tentang pendirian politiknya yang tidak tetap dan cubaan mencari peluang perniagaan selepas `kehidupan perit' sebagai pembangkang.

MINGGUAN: Apakah pentingnya perpindahan saudara dan 11 rakan bekas pemimpin Keadilan ke dalam UMNO?

RUSLAN: Sebenarnya saya tidak pernah keluar parti sebaliknya dipecat ketika krisis September 1998. Kemasukan kami ini ibarat ikan pulang ke lubuk, sirih pulang ke gagang, belut pulang ke lumpur dan pinang pulang ke tampuk. Sedikit sebanyak memang ada kesannya.

Kami boleh menyumbang tenaga dan fikiran kepada UMNO. Selepas ini kami akan berjuang bersama-sama rakan lama kami dalam parti.

Kepada Keadilan, walaupun kenyataan politik mereka mengatakan perpindahan kami tiada kesan tetapi jika tiada kesan, telefon saya tidak sentiasa berbunyi dan sistem pesanan ringkas (SMS) tidak penuh. Perhimpunan juga tidak akan mereka adakan dan mereka tidak mungkin menggunakan laman web yang ada untuk menjawab malah melontarkan tuduhan kepada kami.

Ini bukan ibarat melukut di tepi gantang, datang tidak menambah, pergi tidak mengurang, ada semacam tidak ada dan tiada macam tiada. Kalau ditanya hati kecil mereka, tentu mereka agak terkilan.

Ini kerana kalau ikut sejarah, sayalah orang pertama ditahan di bawah ISA sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan. Saya percaya mereka tidak menyangka cempedak sudah menjadi nangka apabila kami masuk UMNO.

Adakah saudara bermaksud Keadilan sangat bimbang dengan kemasukan saudara dan rakan-rakan ke dalam UMNO?

RUSLAN: Ini terbukti kerana sebelum saya mengisytiharkan kemasukan kami ke dalam UMNO di hadapan Perdana Menteri, dua tiga hari sebelumnya usaha yang bersungguh-sungguh dan bertubi-tubi mereka lakukan untuk menggagalkan rancangan kami itu.

Apakah usaha mereka itu?

RUSLAN: Mereka memujuk kami. Malah mereka juga cuba menarik Zool Hilmi Yahya (Ketua Pemuda Keadilan Perak) yang pada asalnya bersama-sama kami ketika pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka sanggup sehingga pukul 3 pagi membawa Zool Hilmi ke tempat lain. Saya lihat ini usaha bersungguh-sungguh mereka untuk menghalang kami menyertai UMNO.

Saya sendiri dihubungi oleh pimpinan Keadilan untuk memujuk saya. Apabila gagal, maka teman-teman yang rapat dengan saya pula digunakan untuk memujuk saya.

Mereka suruh saya berfikir 10 kali sebelum masuk UMNO dan bermacam-macam lagi. Ini ditambah dengan janji-janji yang mereka taburkan kepada kawan-kawan. Ini menunjukkan bahawa tindakan kami memasuki UMNO ada kesan kepada Keadilan.

Di Malaysia keluar masuk ke parti lain adalah perkara biasa. Tetapi apabila saudara sebagai orang berpengaruh dalam Keadilan yang sebelum ini banyak mengecam dan melemparkankan tuduhan terhadap UMNO akhirnya kembali kepada UMNO, orang melihat saudara tiada pendirian. Apakah komen saudara?

RUSLAN: Untuk mengatakan saya tiada pendirian apabila melompat parti, penjelasannya ialah saya tidak melompat tetapi kembali ke pangkuan UMNO. Hendak kata saya tiada pendirian, perlu dinyatakan pendirian tentang apa?

Kalau perjuangan untuk keadilan, membela rakyat termiskin, membanteras rasuah, membangunkan projek yang menguntungkan khalayak ramai, membersihkan imej polis, mengurangkan pembaziran dan birokrasi, semua itu sekarang sudah kelihatan diterjemahkan oleh UMNO di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib.

Jadi kefahaman tentang perjuangan UMNO sekarang adalah alasan saudara keluar dari Keadilan?

RUSLAN: Ya, itu sebahagian alasan kami membuat keputusan ini yang mengejutkan rakan-rakan lain. Apabila semua yang kami perjuangkan itu sudah dilakukan sekarang oleh UMNO, jadi apa salahnya untuk saya bersama-sama memainkan peranan bagi meningkatkan kekuatan yang telah sedia ada.

Adakah pendirian saudara dalam Keadilan akan dibawa ke dalam UMNO?

RUSLAN: Ya. Contohnya dalam memerangi rasuah. Kita menyokong kepimpinan negara untuk menentang rasuah yang dilakukan oleh sesiapa saja tanpa mengira agama, bangsa dan pemimpin pemerintah atau pembangkang.

Inilah yang dikatakan pendirian yang tetap, seperti ikan yang masuk ke dalam lautan, walaupun airnya masin tetapi dia tetap tidak masin. Kalau tentang pendirian, kami akan tetap dengan pendirian seumpama itu.

Saudara sering menyatakan kepada penyokong Keadilan bahawa UMNO sudah tidak relevan. Kenapakah sekarang saudara menyertai parti yang `tidak relevan' itu?

RUSLAN: (Ketawa besar). Politik itu bersifat dinamik. Ia sentiasa mengalami proses perubahan ke arah kebaikan. Walaupun UMNO sebuah parti yang memperjuangkan Melayu tetapi dalam pilihan raya 1999 terbukti bahawa keputusan jelas memihak kepada pembangkang.

Maka ada sebab pembangkang mengambil kredit ataupun mengatakan bahawa UMNO sudah tidak relevan ketika itu kerana perjuangan asalnya untuk Melayu tidak terserlah apabila mereka kekurangan sokongan orang Melayu.

Kini kita lihat perubahan sudah berlaku yang mana tidak hanya masyarakat bukan Melayu yang memberi sokongan malah sokongan Melayu kembali terserlah buat UMNO.

Kenapakah sokongan itu berlaku? Sudah tentulah kerana perubahan kepimpinan dan gaya kepimpinan yang ada membuka pintu hati kami untuk bersama-sama kembali ke pangkuan UMNO.

Tetapi secara umumnya, mereka dalam Keadilan masih mempertahankan bahawa perjuangan mereka betul dan apa yang dilakukan oleh kerajaan masih tidak betul.

RUSLAN: Ia parti yang ada keegoannya yang tersendiri. Bagi saya, kita harus menjadi pembangkang yang rasional, bukan mengamalkan budaya membangkang yang semberono, asal bangkang, bangkang.

Tidak pula pak turut yang menyokong membuta-tuli. Kita menyokong kerana ada sebab, kebaikan dan faedahnya. Kita membangkang pun kerana ada sebabnya. Tugas kamilah turun ke bawah bertemu dengan rakan-rakan kami untuk berbincang secara rasional.

Dalam satu ketika Keadilan membentuk budaya politik baru dengan ciri-cirinya antara lain perjuangan membenarkan kebebasan bersuara, mengamalkan sikap menghormati pendapat dan pandangan masing-masing iaitu boleh berbeza pendapat.

Tetapi di ketika yang lain apabila berlaku kepada mereka, mereka tidak bersedia menerimanya. Jadi apabila mereka menuduh saya ``cakap tidak serupa bikin'', merekalah yang sebenarnya ``cakap tidak serupa bikin''.

Mereka mahu supaya diwujudkan budaya politik baru yang menghormati perbezaan pendapat tetapi mereka sebenarnya tidak menghormati pandangan orang lain. Yang berlaku di kalangan mereka hanyalah budaya jumud.

Apabila kebanyakan yang diperjuangkan oleh Keadilan sudah dilaksanakan kepimpinan UMNO kini dan orang Melayu semakin memihak kepada UMNO, adakah saudara ingin memberitahu bahawa sekarang Keadilan pula yang tidak relevan lagi?

RUSLAN: Kalau hendak mengatakan sekarang UMNO yang relevan dan Keadilan pula sudah tidak relevan, kepada saya memang ya. Jika membangkang apa saja walaupun ia sesuatu yang menguntungkan agama, rakyat dan negara hanya kerana ia dilakukan oleh pemerintah, itu pemikiran yang jumud.

Tetapi itulah gaya yang ditunjukkan oleh pembangkang sekarang ini.

RUSLAN: Itu lebih kepada nada untuk memancing dan menarik pengaruh atau sokongan. Kalau terpaksa tunduk selangkah untuk mengia dan membetulkan apa yang betul, mereka sudah hilang modal. Jadi sebab itulah saya tegaskan tentang pemikiran yang rasional.

Kemasukan saudara dan 11 yang lain adalah tamparan baru kepada Keadilan selepas beberapa kumpulan lain meninggalkan Keadilan. Kenapakah ia berlaku?

RUSLAN: Keadilan wujud ditunjangi pelbagai aliran, pemikiran dan latar belakang. Ada kumpulan dari NGO, maka stail NGOlah yang diterapkan dalam parti. Ada yang dari reformis jalanan, akademik, bekas ahli UMNO dan profesional.

Jadi kerencaman dan kepelbagaian itulah yang menyebabkan pertembungan berlaku apabila semua ingin memperjuangkan idealisme dan gaya masing-masing. Pertembungan ini melibatkan idealisme dan realisme.

Akhirnya mereka yang berasa tidak selesa membuat keputusan mengundurkan diri. Sedangkan bagi kami kedua-duanya iaitu idealisme dan realisme sama penting.

Apakah realitinya sekarang?

RUSLAN: Kita setuju diwujudkan budaya politik baru yang lebih rasional tetapi janganlah sampai hanya menekankan soal realiti dan langsung tiada idealisme. Begitu juga sebaliknya.

Bagaimanakah pula realiti dalam Keadilan sekarang?

RUSLAN: Bergantung kepada siapa yang mempunyai kuasa. Mahu tidak mahu perlu disebut bahawa kekebalan berlaku untuk dua atau tiga tokoh. Mereka ini tidak boleh disentuh. Itulah yang sedang berlaku.

Penglibatan pelbagai pihak yang tiada latar belakang dan tidak mempunyai pengalaman politik menyebabkan kesukaran untuk menghadapi mereka itu.

Jadi selain perubahan dalam UMNO, masalah dalam Keadilan juga mendorong saudara dan rakan-rakan menyertai UMNO.

RUSLAN: Ya. Dua faktor. Faktor menarik iaitu perubahan dalam UMNO iaitu kepimpinan, polisi dan tindakan serta faktor yang menolak ialah kepincangan dalam Keadilan.

Kami tidak sanggup seperti mencurahkan air di daun keladi, mencurahkan garam di lautan dan seperti melukut di tepi gantang. Apatah lagi dalam suasana menjelang pilihan raya yang semakin hampir. Inilah masa sesuai untuk kami keluar.

Saudara sering menggunakan platform Pas untuk berpolitik. Kenapakah saudara tidak memilih Pas tetapi UMNO?

RUSLAN: Kita merenung panjang. Saya berpengalaman di dalam UMNO dan di luar UMNO. Jadi hanya jauhari yang mengenal manikam. Sejarah membuktikan di Malaysia tiada satu parti yang didominasi oleh satu-satu kaum yang boleh memerintah. Itu pasti.

Maka saya melihat kepelbagaian kaum dalam BN cukup sesuai. Seperti kata orang Indonesia, bhinneka tunggal ika atau bersatu dalam kepelbagaian.

Sebab itu saya memilih UMNO walaupun saya telah diura-ura ditawarkan tempat untuk bertanding di pantai timur. Sekadar bertanding untuk bertanding tetapi tidak dapat memainkan peranan, bukan itu matlamat utama saya.

Ingin saya tegaskan bahawa kemasukan ke dalam UMNO tiada tawar-menawar seperti diheboh-hebohkan sekarang. Kami tidak menuntut jawatan dalam parti, tidak meletak harga diri kami. Laman-laman web digunakan kononnya kami dibayar RM25,000, ada yang dapat RM50,000 dan akhirnya dapat RM500,000.

Kami telah membuat laporan polis supaya bukan saja menyiasat Zool Hilmi yang membuat akuan bersumpah itu tetapi turut menyiasat kami. Sebagai seorang Islam, saya mencabar dia membuktikannya. Ada juga teman dalam Keadilan yang menuduh dan terus menghukum.

Antara ayat mereka ialah ``wang yang diterima oleh Ruslan Kassim dan rakan-rakannya itu haram, beri makan kepada anak isterinya haram, tiada keberkatan dan di akhirat neraka sedang menunggu mereka''.

Mereka menjadi pendakwa, hakim dan menjatuhkan hukuman. Di suatu ketika dahulu, Keadilan menentang amalan menuduh dan menghukum tanpa bicara. Tetapi apabila peristiwa ini berlaku, ia menguji kewibawaan, kematangan dan kesabaran mereka.

Apakah tindakan saudara?

RUSLAN: Kami terima. Memang ada yang akan marah, melenting, maki hamun dan kecewa dengan tindakan kami meninggalkan Keadilan. Mungkin mereka tersentak dek terlalu `sayangkan' kami.

Tetapi apabila sudah sampai menghukum kami akan masuk neraka itu sudah keterlaluan. Budaya inilah yang ingin kita tentang.

Kami mencabar rakan-rakan yang telah menjatuhkan hukum bahawa kami akan masuk neraka itu supaya mencari di mana saja masjid di Malaysia terutama di Kuala Lumpur dan datangkan Zool Hilmi untuk bersama-sama saya dan 11 rakan yang lain bersumpah dengan al-Quran menyebut Wallahi, Wabillahi, Wattallahi.

Kalau betul bagaimana?

RUSLAN: Kalau betul kami terima RM25,000 atau ada tawar-menawar yang dibuat, pertama terbatal akidah dan kami terkeluar daripada agama Islam. Tetapi pada masa sama, kami mencabar Zool Hilmi dan rakan-rakan lain yang sedang menghukum kami, adakah mereka juga berani berkata begitu, maknanya kalau tidak betul yang mereka dakwa maka terbatallah akidah mereka dan terkeluar daripada Islam serta sanggup dilaknat oleh Allah.

Ini menggambarkan bahawa apa yang dahulunya dihebohkan oleh Keadilan juga berlaku dalam parti itu sendiri.

RUSLAN: Betul. Dulu sama-sama kita menentang tuduhan tanpa bicara. Ini sebenarnya menguji kematangan, kewibawaan dan hikmah apa diperkatakan di dalam Keadilan selama ini.

Tentu akan ada orang kata ``dulu Ruslan pun buat perkara sama, sekarang apabila dia dituduh kenapa sukar menerimanya?''

RUSLAN: Sebab itulah kita mencabar mereka bersumpah. Tidak semua berani melakukannya.

Dulu saudara memang banyak melontarkan pelbagai tuduhan dan tohmahan ke atas UMNO dan pemimpinnya. Tidakkah sehingga kini saudara berasa bersalah?

RUSLAN: Saya tidak kata itu tohmahan jika ada bukti dan asas. Tohmah ialah fitnah iaitu tidak berasas dan diada-adakan.

Tetapi bagi ramai orang termasuk penyokong UMNO, itu tohmahan daripada saudara untuk memburuk-burukkan UMNO.

RUSLAN: Itu terpulanglah.

Kalau begitu, saudara akan terus membangkitkan perkara yang dulu dianggap sebagai tohmahan itu?

RUSLAN: Kalau tentang memerangi rasuah, memang ya, saya akan teruskan. Kemajuan yang seimbang termasuk pembangunan insan yang dijalankan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, itu memang kami sokong. Kalau saudara masih ingat dulu saya sering berkata ``apa gunanya di tangan kanan kita bina bangunan yang tinggi-tinggi, di tangan kiri akhlak orang yang hendak masuk bangunan itu runtuh menyembah bumi''.

Sepanjang setengah dekad di luar UMNO, adakah saudara menyesal menyertai Keadilan apabila melihat perjuangan parti itu tiada penghujungnya?

RUSLAN: Tidak. Sebabnya pengalaman berada dalam parti pembangkang itu sangat berharga dan guru yang sangat besar untuk mendidik kita. Ramai tidak mendapat pengalaman begini.

Isu yang tidak boleh dipisahkan daripada Keadilan ialah perjuangan membebaskan Anwar. Apakah pendirian saudara tentang isu ini sekarang?

RUSLAN: Kepada parti Keadilan isu itu masih relevan, kepada Pas pun masih relevan sebab kita tahu sedikit sebanyak isu itulah yang menyebabkan Pas masih memerintah di Kelantan dan merampas Terengganu. Saya yakin mereka akan terus memainkan isu itu termasuk pada pilihan raya akan datang. Kalau ia tidak relevan pun, mereka akan merelevankannya.

Kepada saudara sendiri, adakah isu Anwar masih relevan?

RUSLAN: Apabila saya masuk ke dalam UMNO, tidaklah saya hendak menyebut isu itu. Banyak lagi isu lain yang patut saya bangkitkan.

Bagaimanakah caranya saudara untuk memberitahu kepada Keadilan bahawa isu Anwar sudah tidak relevan?

RUSLAN: Kawan tetap kawan. Kalau saya masuk UMNO tidak bermakna saya berpatah arang dengan terus memutuskan silaturahim dengan rakan-rakan dalam Keadilan dan Pas.

Dari awal tadi, saudara sangat berhati-hati apabila bercakap tentang Keadilan. Adakah ini bermaksud kedua-dua kaki saudara sudah di dalam UMNO tetapi masih ada hati dengan Keadilan?

RUSLAN: Setelah saya mengisytiharkan diri untuk menyertai UMNO, maka 100 peratus jiwa dan raga saya serahkan kepada UMNO. Tiada pilihan dua hala dan tidak separuh hati.

Cuma kita ada strategi. Orang Melayu terkenal dengan sifat lemah lembut, kita mengamalkan budaya seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepungnya tidak bertaburan. Atau seperti menangkap ikan di dalam kolam, kolamnya tidak keruh, ikannya biar tertangkap.

Kenapakah watak saudara tiba-tiba berubah dengan sekelip mata?

RUSLAN: Mungkin saya lebih matang.

Ada pihak terutama dalam UMNO yang meminta supaya saudara memberi penjelasan tentang pelbagai isu terutama tentang tuduhan yang dilemparkan sebelum ini menerusi Keadilan. Adakah saudara dan rakan-rakan sudah bersedia?

RUSLAN: Sudah banyak panggilan untuk kami berceramah di banyak tempat termasuk di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang. Cuma kami memerlukan sedikit masa sekurang-kurangnya seminggu lagi untuk tempoh bertenang sebelum memulakan jelajah turun ke bawah.

Dengan pengalaman menarik orang-orang muda dalam Keadilan, kami bersama-sama Pemuda dan Puteri UMNO akan melangkah sederap termasuk menggerakkan usaha menarik sokongan golongan muda.

Adakah saudara kembali ke dalam UMNO kerana saudara yakin parti Keadilan tidak akan kekal lama?

RUSLAN: Ya. Pertama saya yakin dengan UMNO, kedua saya tidak yakin Keadilan akan kekal, jadi saya buat keputusan untuk keluar.

Kenapa saudara berkeyakinan begitu?

RUSLAN: Seperti saya jelaskan tadi, ada kerencaman dalam parti, ada dua tiga pimpinan yang kebal tidak boleh disentuh dan pengalaman mereka yang kurang. Paling penting, sebahagian besar isu yang mereka perjuangkan telah terjawab dengan apa yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO sekarang.

Kalau apa yang mereka perjuangkan itu sudah terjawab, jadi perjuangan mereka kini hanya untuk kepentingan individu iaitu membebaskan Anwar?

RUSLAN: Saya setuju. Seperti yang saya nyatakan tadi, kepada Keadilan, isu Anwar Ibrahim masih relevan untuk mereka.

Orang kata saudara dan rakan-rakan masuk UMNO kerana sukar mencari peluang perniagaan. Sejauh mana benarnya?

RUSLAN: Tidak, itu bukan sebabnya. Tujuannya sudah pun saya nyatakan tadi, keyakinan kepada kepimpinan yang ada. Saya seorang peguam dan profesional. Kalau setakat hendak mencari makan saya tahu caranya. Hendak dikatakan perit menjadi pembangkang, itu saya akui.

Bukannya masuk UMNO kerana mahu menghilangkan keperitan itu?

RUSLAN: Kalau masuk UMNO kerana itu, kami sudah lakukan empat tahun lalu apabila sudah merasakan keperitan itu. Tetapi itu bukan tujuan kami masuk UMNO.

Ada yang menyatakan bahawa saudara masuk UMNO sebagai membalas jasa Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Tan Sri Megat Junid Megat Ayob yang menarik balik kes saman malu terhadap saudara?

RUSLAN: Mereka boleh tafsir dengan pelbagai tafsiran. Apabila kami berbincang tentang masuk UMNO ini, isu saman Megat Junid dan Rahim langsung tidak dikaitkan tetapi tentang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO sekarang.

Terdapat sindiran bahawa dulu saudara mengecam Datuk Seri Abdullah malah ia dirakam dalam VCD atau kaset tetapi kini saudara memuji beliau.

RUSLAN: Ketika itu beliau Menteri Dalam Negeri yang mengarahkan saya ditangkap di bawah ISA tanpa bicara, jadi saya sendiri yang merasakan keperitan, berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Adakah saudara sudah meminta maaf kepada Datuk Seri Abdullah?

RUSLAN: Dalam perjumpaan baru-baru ini saya telah meminta maaf apa yang telah terlanjur kami lakukan.

Kenapakah saudara tidak memohon maaf secara terbuka kepada seluruh ahli UMNO yang terluka dan tersinggung dengan perbuatan saudara sebelum ini?

RUSLAN: Ketika itu suasananya berlainan, kalau mereka di tempat saya, mungkin mereka juga berbuat begitu.

Khabarnya Ezam Mohd. Noor yang sepatutnya mengetuai kemasukan saudara dan rakan-rakan ke dalam UMNO.

RUSLAN: Ya. Pertemuan demi pertemuan diadakan oleh Ezam dengan beberapa pemimpin UMNO tentang hasrat itu. Sayalah yang paling kurang menyertai pertemuan itu tetapi apabila saya sudah yakin untuk meninggalkan Keadilan, saya tidak menunggu masa lama. Tetapi nampaknya Ezam terhenti di tengah jalan.

Bagaimanakah moral ahli-ahli Keadilan apabila mengetahui ketua pemuda mereka mengadakan perbincangan untuk memasuki UMNO?

RUSLAN: Ramai yang kecewa dan moral mereka jatuh.

Apakah pesanan saudara kepada rakan-rakan yang masih berada dalam Keadilan?

RUSLAN: Saya dan 11 rakan sangat mengalu-alukan teman-teman di dalam Keadilan yang ingin menjejaki langkah kami menyertai UMNO.

Memang kami dapat tahu banyak lagi yang berhasrat menyertai UMNO. Ada pihak dalam Keadilan mempersoalkan saya kembali ke UMNO iaitu parti yang dikatakan memperjuangkan sekularisme atau pada mereka assabiyah.

Keadilan sendiri boleh menerima Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang sangat tinggi sosialisnya, sedangkan saya memasuki parti UMNO yang nasionalis tetapi Islamik. Saya bertukar wadah bukan bertukar akidah.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:15
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.