Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 19/02/2004
Najib pertama kali pengerusikan mesyuarat Kabinet

Najib pertama kali pengerusikan mesyuarat Kabinet

PUTRAJAYA 18 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini buat pertama kalinya mempengerusikan mesyuarat Kabinet, kemudian bersama-sama menteri yang lain menikmati hidangan ayam tempatan bagi membuktikan ternakan itu bebas daripada selesema burung.

Najib mempengerusikan mesyuarat mingguan itu di Jabatan Perdana Menteri, menggantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kini berada di Teheran, Iran, menghadiri Sidang Kemuncak D-8. Najib dilantik ke jawatan nombor dua itu 7 Januari lalu.

``Ia merupakan satu tanggungjawab. Perdana Menteri telah memutuskan bahawa semasa ketiadaan beliau di dalam negara, beliau membenarkan saya mempengerusikan mesyuarat Kabinet,'' katanya.

Najib yang ditanya sama ada hakikat bahawa Allahyarham bapanya, yang merupakan bekas Perdana Menteri membantu tugas beliau sekarang, beliau menganggap ia merupakan sesuatu yang perlu dibanggakan.

Bagaimanapun baginya: ``Ia sesuatu yang perlu dihadapi (sendiri) dan tugas yang perlu diselesaikan''.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas jamuan makan promosi ayam anjuran Kementerian Pertanian di Hotel Shangri-la di sini.

Pada majlis itu, menteri-menteri Kabinet disajikan dengan pelbagai lauk-pauk daripada ayam seperti Sup Ayam Dengan Telur Puyuh, Ayam Goreng Berempah, Ayam Rendang Minang, Ayam Masak Kicap dan Ayam Goreng.

Sambil menunjukkan isyarat bagus kepada wakil media massa yang menunggu di luar Dewan Putra Perdana hotel berkenaan, Najib dengan ceria mengingatkan rakyat supaya meyakini ayam tempatan.

``Tidak perlu bimbang atau risau sebab kita mengawal dengan cukup rapi,'' katanya.

Majlis jamuan makan itu diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan sebagai memenuhi permintaan penternak ayam dan orang ramai yang mahu menteri-menteri Kabinet memakan ayam di khalayak ramai sebagai bukti ayam tempatan adalah selamat dimakan.

Najib berharap majlis hari ini dapat menggalakkan orang ramai memakan ayam tempatan seperti biasa.

``Tadi kita dihidangkan dengan pelbagai jenis hidangan ayam dan rasa ayam itu amat enak sekali. Kita harap ramai lagi akan makan ayam sebab ia selamat dan rasa pun sedap,'' katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN