|
JOHOR BAHRU 12 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa Malaysia sama sekali tidak terlibat dalam apa jua aktiviti yang membabitkan pengeluaran komponen nuklear seperti didakwa oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam bahawa Presiden George Bush dijadual berucap mengenai perkara itu dengan kemungkinan membuat rujukan terhadap Malaysia.
Beliau menambah, Syed Hamid telah ditugaskan untuk mengendalikan perkara itu.
``Kita langsung tidak terlibat dalam program itu, saya juga tidak tahu dari mana beliau (Bush) mendapat idea tersebut, mungkin dari orang-orang yang kerja mereka hanya untuk mengumpul maklumat,'' ujarnya pada sidang akhbar di sini sempena lawatan kerja sehari ke Johor hari ini.
Abdullah mengulas ucapan Bush semalam yang dipetik oleh agensi berita asing yang membayangkan penglibatan Malaysia dalam program pengeluaran komponen senjata nuklear.
Ditanya sama ada nama Malaysia perlu dibersihkan sama seperti yang dilakukan oleh Amerika terhadap Pakistan, Abdullah memberitahu, ia tidak perlu sebab Malaysia tidak terlibat.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengesahkan bahawa siasatan mereka mendapati Scomi Precision Engineering Sdn. Bhd. (SCOPE), anak syarikat Scomi Group Berhad, tidak terlibat dalam pengeluaran komponen senjata nuklear.
Siasatan itu dibuat selepas Cawangan Khas PDRM selepas dihubungi Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) dan Agensi Perisikan British (MI6) pada 10 November lepas, mengenai rampasan lima kontena mengandungi sebilangan komponen centrifuge dalam kapal BBC China yang diperiksa di Taronto, Itali tahun lepas.
Kedua-dua agensi perisikan itu juga mendakwa rakyat Sri Lanka dan ahli perniagaan yang berpangkalan di Libya, B.S.A Tahir bertindak sebagai orang tengah dalam pembekalan komponen centrifuge dari Malaysia untuk program `pengkayaan uranium' Libya.
Abdullah berkata, polis juga telah menemui Tahir bagi menjawab beberapa persoalan mengenai dakwaan penglibatan Malaysia itu.
Namun jelasnya, Tahir tidak ditahan, malah dia bebas bergerak ke mana sahaja.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|