Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 13/02/2004
Kasitah Gaddam didakwa -- Hadapi tuduhan menipu, rasuah babitkan saham bernilai RM24 juta

Kasitah Gaddam didakwa -- Hadapi tuduhan menipu, rasuah babitkan saham bernilai RM24 juta

KASITAH GADDAM keluar dari Ibu Pejabat BPR di Putrajaya sambil diiringi beberapa pegawai BPR dan Ketua Polis Daerah Putrajaya DSP Mohd. Khalil Kadir Mohd. (kanan) untuk dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam. - Gambar A. RAHMAN SALEH.


KUALA LUMPUR 12 Feb. - Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan melakukan rasuah dan penipuan berhubung keputusan meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta saham Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS).

Daripada jumlah saham tersebut, dia didakwa telah dijanjikan sejumlah 3.36 juta saham yang dianggarkan bernilai RM24 juta.

Kasitah, 57, mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua tuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Rosenani Abd. Rahman.

Rosenani membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan semua dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwa supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Kes itu dijangka disebut semula di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat ini.

Kasitah merupakan orang kenamaan kedua yang ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam tempoh seminggu ini.

Selasa lalu, bekas Pengarah Urusan Perwaja Rolling Will and Development Sdn. Bhd., Tan Sri Eric Chia Eng Hock telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan pecah amanah jenayah melibatkan wang RM76.4 juta pada tahun 1994.

Penahanan orang kenamaan dan beberapa siri tangkapan dan pendakwaan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa akhir-akhir ini mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memerangi habis-habisan gejala rasuah di negara ini.

Kasitah tiba di mahkamah kira-kira pukul 10.50 pagi ini dengan menaiki kereta Proton Perdana WHS 1255 dan diiringi oleh pegawai-pegawai BPR dari Ibu Pejabat BPR Putrajaya serta pegawai polis.

Dia yang memakai sut lengkap berwarna coklat cerah dan bertali leher biru serta tanda nama `Kasitah' masuk ke mahkamah kira-kira pukul 11.15 pagi dengan wajah yang agak pucat.

Dia juga kelihatan sedikit resah sepanjang pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, Kasitah didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada 22 Oktober 1996 di Bilik Mesyuarat Forum, Fairlane Hotel, di sini.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai seorang penjawat awam, ketika itu Pengerusi LKTNS telah melakukan perbuatan rasuah dengan menggunakan kedudukannya itu untuk faedah kewangannya.

Ia dilakukan dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta saham LKTNS di dalam SAPI Plantations Sdn. Bhd. (SAPI) kepada Briskmark Enterprise Sdn. Bhd. (Briskmark) yang mana dia telah dijanjikan sejumlah 3.36 juta saham dalam SAPI.

Di bawah tuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No.22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Kasitah juga menghadapi tuduhan kedua iaitu menipu ahli-ahli mesyuarat LKTNS pada masa dan tempat yang sama.

Dia didakwa dengan curangnya menyembunyikan tawaran PBB Oil Palms Sdn. Bhd. (PBB Oil) untuk memperuntukkan lima saham PPB Oil Palms bagi satu saham SAPI di dalam cadangan PBB Oil untuk disenaraikan di papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Dengan cara itu, dia didakwa telah dengan sengaja mendorong ahli-ahli mesyuarat LKTNS untuk meluluskan penjualan 16.8 juta saham lembaga itu dalam SAPI kepada Briskmark yang mana sekiranya mereka diberitahu mengenai tawaran itu, mereka tidak akan meluluskan penjualan saham tersebut.

Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kasitah yang merupakan seorang ahli politik dari Sabah diwakili barisan lima peguam diketuai oleh Datuk Muhammad Shafee Abdullah, Azahar Azizan @ Harun, D. Senthinathan dan Robert Devan.

Pendakwaan pula dikendalikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bersama Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Nordin Hassan dan Dzulkifli Ahmad.

Sebelum prosiding bermula, Kasitah yang berada di kandang pesalah dilihat berbincang seketika dengan Muhammad Shafee.

Mahkamah penuh sesak dengan para wartawan tempatan dan asing sehingga sebahagiannya terpaksa berdiri kerana tempat duduk di galeri awam hanya muat untuk pegawai-pegawai BPR.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah BPR, Datuk Zulkipli Mat Noor.

Pada prosiding hari ini, Abdul Gani memberitahu bahawa pihak pendakwa dan pembela telah bersetuju supaya jaminan sebanyak RM1 juta ditawarkan kepada tertuduh bersama seorang penjamin dan RM500,000 perlu dikemukakan sebagai deposit kepada mahkamah.

Beliau juga memohon supaya semua dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Muhammad Shafee turut memaklumkan perkara yang sama berhubung jaminan tetapi memohon supaya dokumen perjalanan tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah.

Ini kerana, katanya, tertuduh mempunyai tugas-tugas lain yang perlu dilaksanakan selain daripada urusan-urusan di peringkat kementerian.

Menurutnya, sebagai seorang yang mempunyai kedudukan yang dihormati, tertuduh tidak akan bertindak melarikan diri dan jaminan hanya bertujuan untuk memastikan tertuduh hadir di mahkamah.

Abdul Gani kemudian menyatakan bahawa setiap orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan tidak ada diskriminasi sama ada seseorang itu mempunyai kedudukan tinggi atau rendah di dalam masyarakat.

Lagipun, menurutnya, mengikut pertuduhan, Kasitah dikatakan melakukan kesalahan yang sangat serius kerana ia melibatkan sejumlah 16.8 juta saham dan dia telah dijanjikan untuk menerima 3.36 juta saham.

``Saya tidak mempunyai bukti sekarang tetapi jumlah 3.36 juta saham itu dianggarkan bernilai RM24 juta,'' katanya sambil memohon mahkamah supaya menolak permohonan pihak pembela itu.

Beliau bagaimanapun menyatakan, tertuduh bebas membuat permohonan pada bila-bila masa untuk mendapatkan semula dokumen perjalanannya kerana mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan permohonan sedemikian.

Muhammad Shafee kemudian bangun menyatakan persetujuannya mengenai kesamarataan seseorang di sisi undang-undang seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

Selepas itu, Rosenani memutuskan untuk membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan semua dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Sebelum prosiding berakhir, Peguam Negara mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi dengan menyerahkan surat perakuan pendakwaan di bawah Seksyen 418A(1) Kanun Prosedur Jenayah.

Muhammad Shafee bagaimanapun menyatakan bahawa buat masa ini, beliau menangguhkan sebarang bantahan terhadap permohonan itu kerana ketiadaan fakta.

Apabila Rosenani menyatakan beliau akan merekodkan tiada bantahan daripada pihak pembela, Muhammad Shafee menyatakan bahawa permohonan itu adalah seperti `bidan terjun' kerana mendakwa beliau ada mendengar khabar angin bahawa ada pertuduhan lain akan dikenakan terhadap anak guamnya.

Abdul Gani bingkas bangun menafikan khabar angin tersebut dan menyatakan bahawa sebenarnya ada seorang Datuk yang telah dihadapkan ke mahkamah di Sabah hari ini.

``Saya akan membuat permohonan untuk memindahkan kes ini ke Kuala Lumpur,'' katanya.

Selepas selesai prosiding hari ini, Kasitah telah dibawa ke bilik pentadbiran bersama peguam-peguam belanya bagi menguruskan jaminan.

Dia kemudian dibebaskan kira-kira pukul 12.55 tengah hari setelah anak perempuannya, Siti Ostella Adam, 32, mengemukakan jaminan sebanyak RM500,000 dan menandatangani bon jaminan RM1 juta sebagai cagaran.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN