|
PUTRAJAYA 11 Feb. - Pengerusi Perhubungan Keadilan Negeri Sembilan, Ruslan Kassim hari ini mengetuai sekumpulan 12 pemimpin kanan Parti Keadilan Nasional menyertai UMNO secara rasmi, sekali gus mengumumkan langkah keluar daripada parti itu.
Tindakan para pemimpin kanan Keadilan itu dijangka membuka pintu kepada kemasukan lebih banyak ahli parti berkenaan secara besar-besaran ke dalam UMNO sedikit masa lagi.
Menurut Ruslan, keputusan itu dibuat secara sukarela oleh semua pemimpin berkenaan kerana percaya bahawa UMNO merupakan satu-satunya parti yang boleh dijadikan asas untuk memperjuangkan nasib orang Melayu bagi menghadapi abad ke-21.
``Kami yakin UMNO adalah satu-satunya wadah perjuangan untuk menangani permasalahan abad ke-21 (kerana) UMNO menggabungkan kekuatan dan pengalaman silam serta keberanian dan kebijaksanaan yang lepas.
``Dengan itu, kami secara rasmi, dengan rela hati tanpa sebarang paksaan, habuan, syarat atau janji manis, sepenuh hati dan tawaduk mengisytiharkan dari saat ini dan detik ini, keluar dari Keadilan dan dengan rendah hati menyertai UMNO,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pejabat Perdana Menteri, di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Terdahulu, Ruslan bersama-sama 11 pemimpin berkenaan menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing kepada Presiden Keadilan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada tengah hari ini.
Mereka ialah Naib Ketua Pemuda Keadilan Malaysia, Mohd. Zahid Mad Arip; Timbalan Pengerusi Pilihan Raya Keadilan, Hamdan Taha; Pengerusi Perhubungan Keadilan Pahang, Dr. Abdul Wahid Ahmad Suhaimie dan Timbalan Ketua Keadilan Pasir Salak yang juga Ketua Pengarang Suara Keadilan, Mohd. Hanafiah Man.
Turut bersama-sama ialah Exco Pemuda Keadilan, Faghrol Azman Abu Bakar dan Shamsul Bahari Shamsuddin; Naib Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Rosli Mohd. Johar; Ketua Keadilan Bahagian Kuala Nerus, Zainuddin Awang; pemimpin Keadilan Sarawak, Datuk Bujang Ulis; Pemangku Ketua Pemuda Negeri Sembilan, Rusli Mohd. Shariff dan Exco Pemuda Keadilan Pahang, Jeffry Nizam.
Kecuali Bujang Ulis, kesemua pemimpin berkenaan adalah juga bekas pemimpin atau ahli Pemuda UMNO.
Menurut Ruslan, pada pertemuan hampir setengah jam bersama Abdullah itu, kumpulannya diberikan jaminan tanpa syarat oleh Perdana Menteri untuk menerima penghijrahan semula mereka ke dalam UMNO.
``Perdana Menteri mengalu-alu kemasukan kami tanpa syarat dan ini bukanlah pertama kali UMNO berbuat demikian, kerana sebelum ini sudah ada perintis iaitu Parti Melayu Semangat 46.
``Kami banyak mendengar nasihat serta pandangan Perdana Menteri dan kami dapati banyak agenda beliau yang memerlukan kita berganding bahu,'' katanya.
Beliau berkata, mereka berjanji kepada Abdullah untuk sama-sama membantu UMNO mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang.
``Kami yakin dan bersedia untuk turun padang pada bila-bila masa bagi memberi bantuan dan penjelasan kepada rakyat,'' katanya.
Ruslan berkata, pihaknya tidak menagih janji daripada Abdullah malah langsung tidak menyentuh mengenai pengagihan kerusi untuk pilihan raya akan datang.
IKLAN@UTUSAN
|