VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 Ogos 2014 / 25 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 11/02/2004

Terima perbezaan asas perpaduan kaum

Perpaduan kaum penting untuk menentang ancaman luar dan masalah dalaman sesebuah negara. Perpaduan antara kaum yang mempunyai pelbagai agama, budaya dan bangsa di negara ini secara zahirnya adalah kukuh. Namun adakah perpaduan kaum ini benar-benar bertunjangkan perasaan kekitaan dan kesamaan sebagai manusia?

Jika di lihat di universiti, mahasiswa dilihat masih berkelompok dalam kalangan kaum yang sama. Ini boleh dilihat dalam persatuan-persatuan yang berasaskan negeri.

Selain itu, pelajar juga lebih cenderung untuk bergaul dengan pelajar sesama kaum. Sekiranya fenomena fizikal ini wujud, bagaimana yang dikatakan bahawa mahasiswa atau rakyat negara ini benar-benar tidak berpuak-puak?

Bagaimanapun, kita bersyukur kerana dapat mengecapi keharmonian hari ini. Ini kerana kita mempunyai sikap bertolak-ansur yang tinggi. Tetapi kita harus memastikan agar asas toleransi dan persefahaman yang wujud dalam diri benar-benar kukuh. Ia hanya dapat dilakukan melalui penerapan dan pengamalan sikap dan nilai yang tidak berasaskan perkauman sejak kecil.

Seseorang perlu membezakan antara unsur-unsur kaum dan agama. Ini bukan bertujuan untuk mewujudkan masyarakat sekularisme. Ia lebih kepada supaya kita tidak memberi alasan agama untuk bergaul dengan kaum-kaum lain.

Persefahaman antara kaum ertinya memahami kehendak budaya sesuatu kaum dan mungkin juga agama kaum tersebut.

Di Malaysia, kaum seolah-olah diasaskan kepada agama. Maka kita melihat aspek budaya sesuatu kaum sebagai agama mereka. Bergaul dengan mereka yang berlainan bangsa tidak bermakna kita harus mengorbankan prinsip dan agama masing-masing.

Kita masih boleh mengekalkan prinsip dan agama masing-masing. Kita hanya harus berfikiran terbuka dan sedia menerima budaya dan sikap kaum lain yang tidak bercanggah dengan ajaran agama kita.

Sebenarnya, jika kita bersedia menerima perbezaan kecil yang wujud dalam budaya, nilai dan sikap kaum lain, kita boleh bergaul dengan mereka tanpa masalah.

Adalah menjadi suatu perkara yang biasa, perselisihan akan berlaku disebabkan perbezaan yang wujud. Masyarakat sesama kaum juga boleh berselisih faham. Namun, kita perlu mengawal sikap kita supaya tidak melampaui batas serta tidak terlalu ekstrem dengan kepercayaan dan budaya kita.

Kita perlu bersikap terbuka dalam menerima perubahan dan perbezaan. Maksud bersikap terbuka ialah kita tidak melihat perbezaan yang wujud tersebut sebagai penghalang untuk kita mengenali lebih rapat kaum-kaum lain.

Jika sikap ini tidak disemai sejak kecil, maka perpaduan kaum yang hakiki sukar dicapai. Usaha pihak universiti dengan meletakkan pelajar berlainan kaum dalam satu bilik adalah satu usaha yang murni dalam membantu negara mewujudkan integrasi kaum.

Bagaimanapun, usaha ini perlu dimulakan sejak mereka kecil lagi iaitu sejak di rumah lagi. Peranan ibu bapa dan pendidikan awal kanak-kanak sangat penting di sini.

Semasa kecillah kanak-kanak belajar menerima perbezaan dan keperluan orang lain. Sejak kecillah mereka perlu dididik supaya bersikap menerima kehadiran kaum lain.

Ibu bapa memang tidak perlu mengabaikan pendidikan agama kerana ia juga asas yang penting dalam menentukan akhlak dan sahsiah kanak-kanak apabila mereka dewasa kelak.

Di samping itu, mereka juga perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti menghormati dan bertolak ansur dengan orang lain serta hak-hak sendiri dan orang lain.

Cabaran yang utama adalah pada ibu bapa itu sendiri yang tidak menghiraukan penerapan nilai dan sikap tersebut. Sesetengahnya lupa terhadap tanggungjawab mereka dan tidak tahu bagaimana cara mendidik dan menyemai sikap dan nilai tersebut dalam diri anak-anak mereka.

Kita tidak boleh menafikan keperluan toleransi dan perpaduan antara kaum. Ini kerana kita memerlukan antara satu sama lain. Kita saling memerlukan dalam semua bidang termasuk ekonomi dan politik. Kemakmuran dan keharmonian negara ini bergantung kepada perpaduan masyarakat di samping faktor-faktor lain.

Pendidikan awal di sekolah bermula prasekolah penting. Seperti yang kita sedia maklum bahawa kerajaan telah sedaya upaya mengekalkan sekolah kebangsaan untuk menyatukan generasi muda melalui pendidikan dan bahasa kebangsaan.

Namun, sejauh manakah keberkesanan usaha ini?

Kalau kita tinjau di sekolah-sekolah kebangsaan terutama di sekolah menengah, fenomena pengelompokan berdasarkan kaum masih berleluasa kerana kebanyakan pelajar cenderung untuk duduk atau belajar serta bergaul dengan pelajar sesama kaum sahaja. Kenapakah ini berlaku? Apakah kurangnya sistem pendidikan kita?

Adakah kita tidak menerapkan nilai-nilai tersebut dalam pendidikan kita terutama dalam sukatan pelajaran? Apa kurangnya dengan pendidikan agama dan moral yang dipelajari di sekolah?

Mungkin perlu kita fikirkan cara untuk mengatasi masalah ini. Kita tidak boleh memandang remeh perkara ini hanya kerana kita telah mengecapi keharmonian dan keamanan dalam negara.

Kita perlu melihat dan mengkaji secara terperinci untuk mewujudkan asas perpaduan yang kukuh untuk mengelakkan ketidakstabilan dalam negara seperti peristiwa 13 Mei. Kita tidak boleh mengubah atau memadamkan sejarah. Tetapi kita boleh mengambil iktibar daripadanya.

Perpaduan kaum memerlukan semua kaum untuk bersatu. Setiap kaum di Malaysia memerlukan antara satu sama lain untuk mewujudkan negara yang sejahtera. Perpaduan di antara kaum merupakan elemen yang utama untuk mencapai keamanan dan keharmonian hidup. Dengan adanya keamanan dan keharmonian hidup, barulah kita boleh merealisasikan Wawasan 2020.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:33
Maghrib 7:25
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.