|
ERIC Chia Eng Hock mengangkat tangan selepas menghadapi tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM76.4 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Bekas Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn. Bhd., Tan Sri Eric Chia Eng Hock dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana syarikat tersebut membabitkan wang berjumlah RM76.4 juta.
Perwaja Rolling Mill merupakan anak syarikat kepada Perwaja Steel Sdn. Bhd.
Eric Chia, 71, mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Akhtar Tahir.
Akhtar kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa serta semua dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Beliau menetapkan perbicaraan dijalankan selama sebulan mulai 2 Ogos ini.
Eric Chia yang memakai sut lengkap berwarna biru gelap dan berseluar hitam kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.
Tertuduh yang berkerusi roda sebelum itu tiba di mahkamah kira-kira pukul 10.30 pagi dengan diiringi oleh beberapa pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR), polis serta sebuah ambulans.
Dia turut diiringi oleh seorang pembantu rumah, doktor dan seorang jururawat dari Hospital Putrajaya.
Eric Chia ditangkap di rumahnya di No. 23-29, Jalan 14/56, Petaling Jaya pada pukul 3.45 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota BPR dari Ibu Pejabat BPR Putrajaya.
Mengikut pertuduhan, Eric Chia didakwa melakukan perbuatan itu semasa dia menjadi Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn. Bhd. pada 18 Februari 1994 di pejabat syarikat tersebut di Tingkat 13, Menara UBN, No. 10, Jalan P. Ramlee, di sini.
Dia yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana syarikat itu didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran sejumlah RM76.4 juta ke akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Ltd., Hong Kong.
Pembayaran itu dikatakan untuk bantuan teknikal yang diberikan oleh NKK Corporation Jepun bagi projek kilang besi (beam and section mill plant) di Gurun, Kedah, sedangkan tiada apa-apa pembayaran yang patut dibuat kepada pihak NKK Corporation bagi tujuan tersebut.
Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.
Eric Chia diwakili barisan lima peguam diketuai oleh Datuk Muhammad Shafee Abdullah, Azahar Azizan @ Harun, Jegadeesan Thavasu, S. P. Pathi dan Jeffrey John.
Pendakwaan pula dikendalikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bersama Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Nordin Hassan.
Mahkamah hari ini penuh sesak dengan para wartawan tempatan dan asing, ahli keluarga tertuduh dan juga pegawai-pegawai BPR untuk mengikuti prosiding mahkamah yang berjalan kira-kira 15 minit mulai 11.10 pagi.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah BPR, Datuk Zulkipli Mat Noor.
Sepanjang prosiding, Eric Chia duduk di sebuah kerusi setelah Muhammad Shafee memohon supaya anak guamnya dibenarkan berbuat demikian.
Dia juga sebelum itu dilihat dipapah oleh beberapa kakitangan BPR semasa masuk ke dalam mahkamah.
Sebelum Akhtar menetapkan tarikh perbicaraan, Abdul Gani memaklumkan bahawa pihak pendakwa akan memanggil sekurang-kurangnya 36 orang saksi.
``Melihat kepada kepentingan kes ini, saya memberi tarikh satu bulan untuk (perbicaraan), iaitu sepanjang bulan Ogos,'' kata Akhtar.
Sebelum itu, Abdul Gani memberitahu bahawa pihak pembela telah bersetuju dengan jaminan sebanyak RM2 juta melalui cagaran hartanahnya yang dikatakan bernilai lebih RM2.6 juta.
Peguam Negara juga memohon supaya pasport antarabangsa, pasport Singapura dan semua dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Eric Chia kemudian dibebaskan kira-kira pukul 12.00 tengah hari setelah anaknya, Michael Chia mengemukakan jaminan tersebut.
Ketika ditemui oleh pemberita selepas prosiding, Eric Chia memberitahu bahawa dia akan mempertahankan dirinya habis-habisan.
``Saya serahkan kepada Tuhan untuk menentukannya,'' kata Eric Chia sambil mendakwa dia telah bersedia untuk perbicaraan itu bagi membersihkan namanya.
Ketika ditanya mengapa selepas hampir tujuh tahun baru dia didakwa di mahkamah, jawabnya, ``Ini telah ditakdirkan oleh Tuhan''.
Sementara itu, Muhammad Shafee memberitahu pemberita bahawa cagaran yang dikemukakan ialah geran rumah banglo tertuduh di Petaling Jaya yang dikatakan bernilai RM2.6 juta semasa penilaian dibuat oleh kerajaan pada tahun 2000.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|