|
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ekonomi Malaysia kini berada pada tahap terbaik dengan nilai eksport negara tahun lalu melebihi AS$100 bilion dan rizab negara mencapai AS$47 bilion. ``Nilai rizab dan nilai eksport negara itu adalah jumlah tertinggi yang pernah dicapai setakat ini,'' kata Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, PWTC hari ini.
Beliau berkata, perkembangan yang sangat menggalakkan itu telah menjadikan Malaysia di kalangan sebahagian kecil negara di dunia yang terpilih dalam `Kelab AS$100 bilion'.
``Ini satu kejayaan yang amat membanggakan, tidak banyak negara berjaya mencapai tahap ini,'' katanya. Beliau berkata, peningkatan nilai eksport Malaysia itu mendorong perkembangan rizab negara kepada AS$47 bilion.
Abdullah menjelaskan bahawa apa yang dicapai itu adalah satu kejayaan yang sangat bermakna bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia.
Beliau memberitahu, kedua-dua indeks pencapaian ekonomi itu memberi petanda jelas bahawa negara kini berada pada tahap perkembangan yang sihat untuk meneruskan kemajuan pesat pada masa akan datang.
``Harapan kita ialah apa yang telah dicapai ini dapat diteruskan pada masa depan,'' katanya.
Namun pada masa yang sama, Abdullah mengingatkan perlunya defisit negara dikawal.
``Kita perlu pastikan defisit tidak berada pada tahap yang boleh menyukarkan,'' katanya.
Minggu lepas, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz menyatakan kejayaan Malaysia mencatat rekod eksport melepasi AS$100 bilion turut menyerlahkan kehebatan sektor swasta negara ini menembusi pasaran luar negara.
IKLAN@UTUSAN
|