Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 10/02/2004
Abdullah: Nasihat ibu banyak pengaruhi gaya saya

Abdullah: Nasihat ibu banyak pengaruhi gaya saya

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini berkata, nasihat ibunya yang meninggal dunia pada 2 Februari lepas banyak mempengaruhi gaya beliau menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri.

Abdullah berkata nasihat dan peringatan ibunya masih segar dalam ingatannya.

``Sebenarnya banyak nasihat ibu saya pengaruhi cara dan hubungan saya dengan orang lain. Walaupun ibu saya tidak ada lagi tapi nasihat dan peringatannya masih segar,'' katanya dalam wawancara eksklusif dengan TV3 sempena genap 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri.

Abdullah yang ditemuramah oleh wartawan TV3, Fuad Rahman berkata, beliau sangat-sangat menghargai segala nasihat dan peringatan ibunya itu.

Ibu Abdullah, Datuk Kailan Hassan, 78, meninggal dunia kerana sakit tua.

Abdullah juga berkata, setelah mengambilalih tugas Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 31 Oktober lepas, beban tugasnya telah bertambah.

``Kerja banyak sungguh yang perlu saya laksanakan. Ada masa-masanya saya menghadapi keputusan yang saya kena buat yang orang lain tak boleh buat. Itu memberi saya pengertian bahawa keputusan saya itu kalau tak kena akan susahkan orang lain dan kalau kena akan bawa kebaikan kepada rakyat.

``Itulah ertinya beban tanggungjawab yang dipikul. Saya bersyukur keputusan-keputusan yang saya buat diterima oleh majoriti rakyat,'' katanya.

Abdullah juga berkata, beliau merasa sedih kerana tidak dapat berjumpa dengan kawan-kawan semudah seperti sebelum menjadi Perdana Menteri.

``Itu yang merimaskan dan menyusahkan saya. Saya rasa sedih orang yang biasa jumpa, sekarang saya tak dapat jumpa. Jadi tak seronoklah. Kadang-kadang jumpa ada tanya khabar satu dua minit. Setakat yang saya mampu layan saya layan. Tapi saya tak lupa pada kawan-kawan,'' katanya.

Abdullah berkata, dasar-dasar yang digubal semasa Tun Dr. Mahathir berjalan seperti biasa, tetapi yang berbeza hanyalah daripada segi cara ia dilaksanakan.

``Gaya berbeza... misi sama. Cara menggerakkan misi berlainan,'' kata Abdullah.

Mengenai rasuah, Abdullah berkata, gejala itu jika tidak dibendung akan membawa banyak masalah kepada negara, pentadbiran dan juga kepada pihak swasta.

``Tapi saya rasa semua rakyat Malaysia akui (rasuah) tak baik dan boleh bawa masalah besar... dan imej tak baik,'' katanya.

Abdullah berkata, jika rasuah dibiarkan berterusan maka pelabur asing akan lari dan golongan peniaga juga tidak akan berminat untuk menjalankan perniagaan mereka.

Abdullah berkata, kakitangan awam juga menyokong usaha beliau untuk membendung rasuah di semua peringkat.

``Saya tak pernah dengar ada sesiapa tulis surat laporan bantah sedikitpun (usaha ini). Bahkan mereka sama-sama akui masalah ini perlu dihapuskan.

``Paling tak menyenangkan apabila persepsi rasuah itu tebal sehingga menyebakan imej sesuatu jabatan atau agensi jadi tak baik. Kata mereka (kakitangan awam) kalau ada political commitment betul-betul untuk membendung rasuah kami tak ada masalah untuk memberi sokongan,'' kata Perdana Menteri.

Abdullah juga berkata, tidak berguna jika negara mempunyai kemudahan dan infrastruktur kelas satu, tetapi minda rakyat kelas tiga.

``Bermakna perbelanjaan dan tenaga bagi wujudkan infrastruktur tak datangkan hasil yang diharapkan... faktor manusia tidak memberi faedah yang diharapkan,'' katanya. - Bernama

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN