|
PUTRAJAYA 8 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menganggap tempoh 100 hari pertama yang ditempuhi beliau sebagai Perdana Menteri sejak mengambil alih jawatan itu pada 31 Oktober tahun lepas adalah sesuatu yang sangat menarik dan mencabar.
``Amat menarik, amat mencabar,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menghadiri seminar Wacana Terengganu Bistari yang disertai kira-kira 350 ahli korporat, pemimpin politik, dan pelajar dari Terengganu yang menetap di Kuala Lumpur.
Katanya, dalam tempoh itu beliau menumpukan sepenuh perhatian bagi menyelesaikan setiap permasalahan rakyat dan negara.
``100 hari yang cukup banyak peristiwa dan banyak yang perlu nak dibuat keputusan,'' katanya.
Abdullah berkata beliau merujuk tempoh berkenaan sebagai menjalani satu orientasi yang menjurus kepada menggembleng usaha untuk mengubah minda dan sikap rakyat.
``Orientasi saya (sebagai Perdana Menteri) adalah bagaimana untuk berusaha ke arah mengubah minda dan sikap rakyat,'' katanya lagi.
Abdullah berkata antara langkah terbesar yang diambil adalah bagi memperbaiki tahap perkhidmatan oleh sektor kerajaan kepada rakyat.
Ke arah itu, beliau meminta semua pihak agar bekerjasama dengan beliau dalam setiap usaha dan langkah yang diambil.
(Ini kerana) apa yang diusahakan adalah untuk kebaikan rakyat dan juga terus bekerja bersama-sama (saya),'' kata Perdana Menteri lagi.
Beliau juga menaruh harapan dan berdoa supaya negara akan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan.
Katanya, beliau juga berharap setiap perkara yang akan dilaksanakan oleh kerajaan akan mendapat penyertaan dan sokongan rakyat. - Bernama
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|