VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 Julai 2014 / 27 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 03/02/2004

Dilema hukuman sebat di depan khalayak

(Wartawan Utusan)
WAJARKAH hukuman sebat di khalayak ramai dikenakan ke atas pesalah rogol yang menyebabkan kematian mangsa sebelum mereka menjalani hukuman lain seperti penjara atau hukuman mati?

Jika berdasarkan pada pandangan majoriti pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan reaksi rakyat ekoran tragedi yang menimpa Nurul Huda Gani, 10, yang dirogol dan dibunuh oleh tiga lelaki di Johor pada 17 Januari lalu, mereka menyokong jika tindakan seumpama itu diambil oleh kerajaan.

Namun bagi sesetengah pihak, langkah itu dianggap tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia.

Bagi pihak kerajaan pula, isu ini barangkali meletakkannya dalam keadaan serba salah atau dilema. Sebab itu, Kerajaan Pusat hanya akan membuat keputusan setelah mendapatkan pandangan daripada banyak pihak termasuk pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai wajar atau tidak, pesalah rogol disebat di khalayak ramai.

Antara dilema yang mungkin dihadapi oleh kerajaan adalah sama ada hukuman sebat di khalayak ramai - jika dilaksanakan kelak boleh mengundang bantahan daripada kuasa besar Barat dan pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa.

Masyarakat Barat kini begitu sensitif dalam soal hukuman yang dianggap tidak berperikemanusiaan walaupun ke atas penjahat dan sebab itu di banyak negara Barat sekarang, pesalah-pesalah kes besar termasuk bunuh terlepas daripada hukuman mati.

Masalahnya, jika kerajaan tidak memperkenalkan satu hukuman yang benar-benar berkesan bagi menggerunkan golongan yang ada naluri perogol, selagi itulah kaum wanita termasuk kanak-kanak perempuan di Malaysia akan terdedah kepada ancaman dirogol.

Jika kerajaan membuat tinjauan pandangan di kalangan ibu bapa di negara ini, sebahagian besar daripada mereka akan menyuarakan kebimbangan mereka mengenai fenomena yang berlaku sekarang, terutama setelah media massa melaporkan secara meluas kejadian rogol dan bunuh.

Nasib yang menimpa Nurul Huda akan terus berulang jika satu bentuk hukuman yang boleh bertindak sebagai `penggerun dan pencegah' diperkenalkan segera oleh kerajaan sebagai pelindung rakyat.

Mengikut hukuman biasa bagi pesalah rogol yang membabitkan kematian, hukuman sedia ada memang cukup berat kerana diperuntukkan hukuman mati dan sebatan sepertimana kes jenayah pembunuhan.

Persoalannya ialah selagi namanya manusia, sebahagian mereka tidak begitu mengambil tahu soal hukuman mati atau penjara berpuluh-puluh tahun atau sebatan dalam penjara kerana kuatnya dorongan nafsu seks kebinatangan mereka.

Sebagai contoh, ramai orang Melayu Islam dari sejak sekolah rendah sudah diberitahu bahawa melakukan dosa-dosa besar seperti membunuh dan merogol, hukumannya dicampakkan ke dalam api neraka.

Di sekolah-sekolah, ustaz-ustaz selalu mengingatkan mengenai betapa dahsyatnya keadaan di neraka tetapi masalahnya, semakin banyak pula orang Islam di negara ini terus terjebak dalam pelbagai kejahatan.

Ini kerana sesetengah daripada orang Islam tidak merasa gerun dengan hukuman ngeri di neraka kerana mereka tidak merasai dan melihatnya sendiri.

Begitu juga jika kehidupan di neraka itu dikaitkan dengan hukuman berat termasuk hukuman mati ke atas pesalah kes-kes rogol kanak-kanak dan pelajar. Sebat memang diperuntukkan bagi kesalahan itu tetapi ia hanya dirasai oleh pesalah dan tidak bagi orang luar kerana ia dilakukan di dalam penjara.

Penulis teringat kata-kata seorang pegawai tinggi penjara pada tahun lalu bahawa seseorang pesalah diberi pilihan antara hukuman penjara dengan sebatan, mereka lebih memilih dipenjarakan.

Gejala rasuah di negara ini juga barangkali sukar untuk ditangani kerana sehingga kini pesalah rasuah termasuk daripada kalangan pegawai kerajaan di Malaysia sehingga kini masih belum dikenakan hukuman sebat.

Berbalik kepada hukuman sebat di khalayak ramai, sekiranya kerajaan mahu melaksanakannya, ia boleh dilakukan di kawasan tertentu seperti di stadium atau kawasan khas di setiap negeri dengan dihadkan bilangan penontonnya.

Yang menjadi masalahnya pula adalah wajarkah upacara menjatuhkan hukuman sebat itu disiarkan oleh media elektronik seperti mana saranan Puteri UMNO. Ini kerana jika dibenarkan, impaknya akan tetap ada. Antaranya kita bimbang penyiaran melalui televisyen, misalnya, boleh mengundang bantahan keras daripada negara luar dan rakyat negara ini sendiri.

Pada pandangan penulis, alternatif lain yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan jika tidak mahu melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai adalah dengan membenarkan Jabatan Penjara Malaysia menampal `gambar-gambar terkini' mengenai hukuman sebat ke atas pesalah-pesalah kes rogol dan bunuh yang dibuat secara tertutup di dalam penjara.

Dengan sokongan kerajaan-kerajaan negeri dan semua kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, gambar-gambar pesalah yang menjalani hukuman sebat ditampal di masjid, balai raya, perhentian bas, sekolah-sekolah, pasar raya dan lain-lain kawasan tumpuan orang ramai.

Jika gambar-gambar seumpama itu ditampal di papan kenyataan sekolah, misalnya, impaknya cukup besar dalam mendidik para pelajar lelaki agar mereka lebih berhati-hati dan menjauhkan sebarang perbuatan terkutuk termasuk merogol, mengedar dadah dan sebagainya.

Pihak sekolah dan pihak-pihak lain juga boleh menggunakan `kaedah psikologi' ini dengan menampal keratan-keratan akhbar terbaru yang memaparkan kes-kes jenayah besar menggemparkan seperti kes Nurul Huda di papan kenyataan sekolah bagi menanam rasa simpati di kalangan pelajar lelaki - yang bakal menjadi lelaki dewasa.

Langkah memaparkan gambar-gambar pesalah kena sebat di penjara - walaupun dilakukan secara tertutup - pada pandangan penulis boleh dianggap sebagai sebatan di khalayak ramai jika gambar mereka kemudian dipertontonkan di kawasan tumpuan orang ramai.

Kesimpulannya, jika kaedah-kaedah yang dicadangkan itu sukar untuk dilaksanakan, kerajaan perlu juga memperkenalkan satu bentuk hukuman yang benar-benar menggerunkan dan dapat dirasai oleh orang lain walaupun mereka tidak melakukan kesalahan itu.

Hukuman berat itu bukan saja kepada perogol yang menyebabkan kematian tetapi semua kesalahan merogol kerana kesan perbuatan itu ke atas diri mangsa, terlalu besar apa lagi jika membabitkan kanak-kanak dan pelajar.

Yang penting sekarang, kerajaan perlu menghilangkan fobia dan kebimbangan terlampau yang melanda golongan ibu bapa di negara ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.