VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 25/01/2004

Muzikal Aidiladha... dakwah seni Siti Nurhaliza

DAKWAH didefinisikan sebagai mengajak, atau menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kejahatan (maksiat) tidak kira umur, pangkat atau darjat.

Dalam mengharungi era globalisasi, kegiatan dakwah perlu dilakukan selari dengan perkembangan zaman.

Justeru, apabila irama nasyid mendominasi industri muzik tanah air, banyak pihak yang melihat seni tempatan membuka ruang dan platform untuk berdakwah.

Ketibaan Aidiladha minggu depan pula menjadi titik mula buat penghibur popular tanah air, Siti Nurhaliza untuk memulakan langkah yang serupa - berdakwah melalui seni.

Menyedari platform seni mudah diterima ramai, Siti Nurhaliza menerusi syarikat produksinya, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. (SNP), merintis usaha berkenaan menerusi penerbitan program Muzikal Aidiladha.

Bakal ditayangkan di saluran emas TV2 pada hari raya pertama Aidiladha, Muzikal Aidiladha tidak menawarkan sebarang pengaruh muzik popular dalam arus industri muzik mainstream.

Jauh sekali, untuk khalayak menanti peluang untuk menonton persembahan artis dengan penampilan atau personaliti serba moden.

``Sebaliknya, program Muzikal Aidiladha bakal memberi perspektif baru dalam bidang seni tanah air dengan penglibatan artis-artis popular dalam lagu-lagu bermesej dan mempunyai unsur-unsur dakwah,'' ujar Siti Nurhaliza dalam satu temu bual dengan Pancaindera baru-baru ini.

Selain Siti Nurhaliza, artis-artis lain yang turut mewarnai program Muzikal Aidiladha ini ialah Misha Omar, Anuar Zain, Ella, Ezlynn, Waheeda dan Ruffedge.

Buat julung-julung kalinya, Misha, Ella, Ezlynn dan Siti Nurhaliza ditampilkan dengan imej bertudung bersesuaian dengan matlamat program berkenaan.

Siti Nurhaliza yang juga penerbit bagi program sulung terbitan SNP memberitahu, program yang bakal disiarkan selama sejam itu tidak hanya menyiarkan nyanyian lagu-lagu yang berunsur dakwah.

Apa yang penting, Muzikal Aidiladha katanya, memberi tumpuan kepada fokus mendidik khalayak dengan ajaran-ajaran murni seperti yang diberi penekanan oleh ajaran Islam.

Muzikal Aidiladha arahan Rashid Sibir juga jelas Siti Nurhaliza, memuatkan tiga segmen utama.

Menjelas lanjut segmen-segmen berkenaan, Siti Nurhaliza berkata, segmen pertama akan menyaksikan kemunculannya sebagai pencerita.

``Siti akan bercerita pada sekumpulan kanak-kanak di dalam masjid dengan penataan koordinasi grafik yang amat mengagumkan,'' kata Siti Nurhaliza.

Penataan koordinasi grafik ini jelasnya, dilakukan semata-mata untuk menampilkan kreativiti program berkenaan selain bertujuan menarik perhatian penonton.

Segmen kedua Muzikal Aidiladha pula memperlihatkan kemampuan enam artis undangan serta Siti Nurhaliza menyampaikan lagu-lagu berunsur dakwah.

Antara lagu yang menjadi pilihan dan dinyanyikan dalam program ini ialah Panggilan Kaabah, Mohon Pada-nya Sujud Pada-Nya, Doa, Iktiraf, Perjalanan dan Rukun Kelima serta lain-lain.

Segmen ketiga Muzikal Aidiladha pula kata Siti Nurhaliza, memuatkan wawancara bersama pendakwah bebas Dr. Mashitah Ibrahim, Ustaz Wan Akashah Wan Abd. Hamid dan Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood.

``Ketiga-tiga tokoh ini akan memberi ulasan tentang Aidiladha menurut perspektif Islam yang sebenarnya,'' ujar Siti Nurhaliza yang amat berterima kasih dengan kerjasama semua pihak dalam pembikinan program sulung syarikatnya itu.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai hala tuju karier seninya untuk sepanjang tahun 2004, Siti Nurhaliza mengumumkan, yang dia semakin bersedia untuk mengembangkan kerjaya seninya dengan lebih besar lagi.

Selain memberi tumpuan kepada penerbitan album, memenuhi undangan menyanyi, Siti Nurhaliza juga menerusi SNP akan lebih aktif menerbitkan pelbagai program televisyen.

Menurut Siti Nurhaliza, tumpuan terhadap penerbitan program televisyen merupakan agenda utamanya ke arah mempelbagaikan penglibatannya sebagai anak seni.

``Inilah agenda utama Siti untuk tahun 2004. Siti rasakan sudah sampai masanya untuk Siti lebih berani meneroka arus industri hiburan.

``Menjadi cita-cita Siti untuk berkongsi idea dalam program yang dapat ditonton oleh jumlah khalayak seni yang besar,'' kata Siti Nurhaliza sambil memberitahu untuk permulaan dia memberi tumpuan membekalkan program untuk RTM.

Selepas Muzikal Aidiladha, SNP katanya, akan menerbitkan program 3D Siti Nurhaliza iaitu sebuah rancangan yang akan mendedahkan secara eksklusif kehidupan peribadi Siti Nurhaliza.

``Sudah menjadi keinginan Siti untuk mendekati peminat dan masyarakat.

``Justeru, SNP berpendapat, pendekatan menerbitkan program tepat pada masanya,'' ujarnya sambil mengumumkan 3D Siti Nurhaliza bakal diterbitkan sebanyak 13 episod.

Keupayaan SNP sebagai sebuah syarikat baru yang membekal program televisyen pada RTM juga bakal teruji kerana syarikat berkenaan kata Siti Nurhaliza, juga bakal menerbitkan program Sukan dan Selebriti.

Artis yang cukup popular dengan lagu Bukan Cinta Biasa itu mengumumkan, Sukan dan Selebriti akan melibatkan penyertaan artis-artis popular dan juga personaliti-personaliti sukan pelbagai bidang.

Program ini akan diterbitkan sebanyak 26 episod dan Siti Nurhaliza menjangkakan banyak artis popular dan personaliti sukan ternama akan terlibat dalam penerbitan program ini.

``Siti juga menjangkakan tahun ini, jadual Siti akan lebih padat dan terisi dengan kerja-kerja penerbitan program televisyen.

''Bagaimanapun, Siti mengharapkan peminat-peminat tidak akan bimbang kerana tumpuan terhadap kerja-kerja seni masih diberi keutamaan,'' janji penyanyi yang bakal muncul dengan album pop terbarunya tidak lama lagi.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.