VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 23/01/2004

Yahya - Penyelamat gadis hamil luar nikah

KELAS komputer turut disediakan untuk penghuni Kewaja.


``Tidak ada seorang wanita di dunia ini yang mahu jadi seperti ini. Tetapi mereka terjebak akibat janji lelaki.''

Itulah luahan kata-kata Pengetua Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, ketika ditemu bual mengenai penglibatan beliau dalam bidang kaunseling melibatkan gadis-gadis remaja yang hamil tanpa nikah.

Yahya yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam bidang kaunseling, pada asalnya menjadikan kerjayanya itu untuk berdakwah kepada insan-insan yang memerlukan dengan bantuan rakan-rakan.

Menggunakan kepakarannya memberikan pendidikan dan kaunseling terhadap penagih dadah, pesakit jiwa, masalah rumah tangga dan sebagainya Yahya merasakan kepuasan kerana hajatnya membantu sambil berdakwah telah terlaksana.

Dengan tujuan untuk berbakti juga, Yahya sanggup berhenti kerja sebagai kontraktor untuk menumpukan perhatian di atas usaha-usahanya.

Setelah berumah tangga, Yahya mengambil inisiatif untuk memberikan perkhidmatannya terhadap gadis-gadis remaja yang hamil luar nikah.

``Apabila gadis-gadis ini mendapatkan bantuan kaunseling daripada saya, kebanyakan daripada mereka tiada tempat tinggal kerana dibuang keluarga akibat perbuatan mereka.

``Justeru, pada tahun 1996, saya telah menjadikan rumah saya di Taman Seri Gombak untuk dijadikan rumah penginapan sementara bagi gadis-gadis berkenaan sehingga mereka bersalin,'' katanya.

Namun, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menasihatkannya mencari tempat lain untuk gadis-gadis berkenaan, kerana tidak begitu sesuai kegiatan kebajikan itu dilakukan di rumahnya apatah lagi dia telah pun berkeluarga.

Atas semangat untuk terus berbakti, akhirnya Yahya mencari sebuah bangunan sendiri yang agak selesa untuk dijadikan pusat penempatan gadis-gadis berkenaan yang terletak di Gombak. Kini, seramai 15 gadis berada di pusat berkenaan di bawah pengawasan Yahya, menunggu masa untuk melahirkan anak. Malah, pusat pemulihan tersebut pernah menerima antara 25 hingga 30 gadis pada satu masa.

Sehingga kini, kata Yahya lebih kurang 300 gadis telah mendapat perlindungan dari pusat yang dikendalikannya.

``Keluarga penghuni memang mengetahui anak atau adik mereka berada di sini sebelum bersalin,'' katanya.

Yahya memberitahu, majoriti daripada penghuni di sini datang secara sendiri dan pihaknya akan memberitahu keluarga gadis berkenaan setelah laporan dan latar belakang mereka diperoleh.

``Pada awalnya ada keluarga yang terkejut, marah dan sebagainya apabila mendapat tahu anak atau adik mereka terlibat dengan perkara yang tidak bermoral itu, namun akhirnya mereka menerima kenyataan,'' katanya.

Pada awal kewujudan pusat berkenaan, Yahya memberitahu beliau menerima tohmahan daripada pelbagai pihak yang menganggap perbuatannya memberi perlindungan kepada gadis-gadis bermasalah itu umpama menggalakkan percambahan maksiat.

Malah, beliau juga pernah dianggap sebagai orang yang menjadi agen kepada gadis-gadis berkenaan dan menjual anak-anak yang dilahirkan kepada pasangan yang memerlukan.

Bagaimanapun tanggapan berkenaan tidak sama sekali melemahkan semangatnya untuk terus menaburkan bakti.

``Islam pun menggalakkan umatnya menutup aib atau malu seseorang. Pusat ini dibuka untuk menjadi penyelamat kepada gadis-gadis yang terjebak dalam kancah maksiat tidak bermoral itu untuk kembali ke pangkal jalan.

``Kita tidak harus membiarkan mereka membuat dosa terus-terusan dengan menggugurkan kandungan atau membuang dan membunuh bayi yang dilahirkan sebaliknya perlu membimbing mereka bertaubat dan kembali ke pangkal jalan,'' kata Yahya.

Berasal dari Seri Menanti, Negeri Sembilan, Yahya berharap pusat yang ditubuhkan itu bakal menjadi penyelamat dan tempat perlindungan mereka yang dalam kesusahan.

``Sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk dituju sebelum keluarga setuju untuk menerima mereka semula,'' katanya.

Sementara menunggu saat-saat bersalin, penghuni akan diberikan sesi kaunseling, kuliah agama, motivasi diri dan sebagainya dengan harapan dapat menjadi pegangan dan pedoman kepada mereka selepas keluar dari pusat itu nanti.

Menurut Yahya gadis-gadis berkenaan akan keluar dari pusat berkenaan selepas habis pantang. Memandangkan setelah bersalin mereka keberatan memelihara anak yang dilahirkan, Yahya akan berusaha untuk mencarikan ibu bapa angkat bayi-bayi berkenaan.

Beliau juga akan bertindak menguruskan penghantaran gadis-gadis yang mahu bersalin, mendaftarkan nama bayi yang baru dilahirkan dan sebagainya.

Yahya juga memberitahu, pusat di bawah kelolaannya itu memerlukan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan untuk menampung perbelanjaan harian, sewa bangunan, bil elektrik dan air, makanan dan kelengkapan lain.

Setakat ini beliau hanya mendapat bantuan serba sedikit daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO), orang-orang perseorangan dan keluarga gadis yang majoritinya berusia antara 18 hingga 32 tahun itu.

Para penghuni akan mengikut jadual yang ditetapkan seperti memasak, mengemas dan menghadiri program-program yang diwajibkan.

Pada awal pembabitannya dalam usaha kebajikan itu, Yahya terpaksa menjual nasi lemak, mengasuh anak orang dan katering untuk mencari sumber kewangan bagi meneruskan perjalanan pusat berkenaan.

Berdasarkan daripada pemerhatiannya Yahya berkata, terdapat tiga kategori gadis yang di terima masuk ke pusat itu, iaitu akibat terpedaya dengan kata-kata manis, terjebak (terperangkap) dan sosial.

``Mereka senang diperdaya lelaki kerana termakan dengan janji manis lelaki yang tidak bertanggungjawab,'' katanya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.