Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 13/01/2004
Pas langgar hak asasi wajibkan hijab

Pas langgar hak asasi wajibkan hijab

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Beberapa pemikir dan penulis Islam menyifatkan keputusan Pas mewajibkan pemakaian hijab di kalangan wanita Islam dan bukan Islam bertentangan dengan hak asasi manusia.

Mereka menjelaskan bahawa walaupun memakai hijab adalah wajib bagi wanita Islam tetapi memaksa seseorang memakainya adalah salah.

Menurut satu kenyataan khas yang dipetik daripada laman web Islam Online semalam, para pemikir itu menganggap keputusan Pas itu sebagai ``jahil dengan fakta-fakta agama Islam.''

Mereka berkata sebarang keputusan kerajaan tidak boleh mencampuri soal akhlak masyarakat kerana adalah penting bagi masyarakat itu sendiri membuat keputusan berdasarkan kehendak dan kemahuan mereka mengikut prinsip dan adat yang boleh diterima pakai dalam masyarakat itu.

Seorang penulis Islam, Fahmi Huwaidi dalam laporan itu berkata: ``Mewajibkan hijab dengan undang-undang adalah salah. Samalah juga kesalahannya melarang pemakaian hijab dengan undang-undang.''

Katanya, apa yang dilakukan oleh Pas di Malaysia dianggap sebagai pengabaian dalam urusan syariah dan cara melaksanakannya, serta dianggap gagal dalam menyusun prioriti.

``Dengan keputusan tersebut parti itu telah mengumumkan kegagalan polisi pendidikan Islam (Attarbiyah Al Islamiah) dalam mencapai matlamatnya dan ia adalah satu petunjuk yang mengandungi bukti-bukti yang bahaya,'' kata Fahmi.

Beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan syariah Islamiah terutamnya dalam bidang akhlak dengan mementingkan perkara luaran iaitu dengan mewajibkannya ke atas masyarakat melalui undang-undang.

Ulama Universiti Al-Azhar, Sheikh Jamal Qutub berkata apa yang dilakukan oleh kerajaan PAS di Terengganu dengan memaksa wanita Islam memakai tudung itu merupakan sesuatu jenayah terhadap hak asasi manusia.

``Ia tidak kurang dengan apa yang dilakukan oleh Presiden Perancis Jacque Shirac melarang wanita Islam memakai tudung. Kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu mencampuri urusan hak kemanusiaan,'' katanya.

Katanya, mereka yang melakukan perkara itu tidak faham mengenai Islam dan wahyu Ilahi amnya.

Beliau turut menggesa kerajaan Pas menarik balik peraturan memaksa wanita memakai tudung itu bagi menjaga nama baik agama dan umat Islam. - Bernama

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN