VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 26/12/2003

Datuk Shake - ``Saya ajar sendiri isteri dan anak-anak mengaji''

Datuk Shake bersama isterinya, Datin Milena.


Sukar untuk menyangkal kejayaan yang telah dicapai oleh Datuk Shake. Penyanyi yang popular menerusi lagu Lina dan You Know I Love You ini mula menempa nama di Perancis sejak tahun 70-an lagi. Sejak itu, anak kelahiran Johor ini tidak lagi menoleh ke belakang. Dengan semangat yang gigih, beliau terus melebarkan sayap seninya di negara-negara Eropah.

Sungguhpun sibuk dengan jadual karier seninya, Datuk Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdulla Sheikh Ahmad tetap tidak lupa tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa.

Hasil perkahwinannya dengan wanita Perancis, keturunan Czechoslovakia, Datin Milena Shake Abdullah, Datuk Shake dikurniakan empat cahayamata iaitu Amiir, Amaro, Natacha dan Mina.

Datuk Shake bukan setakat berjuang dengan kariernya sebagai penyanyi tetapi pada masa yang sama turut mengambil berat soal pendidikan anak-anaknya.

Ikuti temu bual Datuk Shake bersama Utusan Malaysia yang diadakan baru-baru ini bagi menyelongkar kisah suka duka hidupnya.

Sebagai penyanyi bertaraf antarabangsa, adakah Datuk menghadapi masalah membahagikan masa untuk keluarga?

Datuk Shake: Saya tidak menghadapi banyak masalah untuk membahagikan masa kerana aktiviti saya diuruskan oleh isteri saya, Milena. Di samping itu, saya juga ada beberapa orang pembantu. Jadual waktu kerja saya termasuk promosi, rakaman album dan persembahan saya sudah diatur serta dirancang.

Bagaimana Datuk membesarkan anak-anak sewaktu di perantauan?

Datuk Shake: Sewaktu di Perancis, saya tidak menghadapi masalah. Namun, sewaktu saya dan keluarga baru berhijrah dari Paris ke LA (Los Angeles) pada tahun 1989, anak-anak saya menghadapi sedikit masalah. Ketika itu anak kembar saya Amir dan Amaro baru berusia lapan tahun. Pada mulanya, mereka sukar untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana sebelum itu mereka hanya bertutur dalam bahasa Perancis.

Bagaimana Datuk memberi pendidikan agama kepada isteri dan anak-anak?

Datuk Shake: Saya mengajar sendiri isteri dan anak-anak saya mengaji semasa berada di rumah. Saya terangkan juga tentang ajaran Islam supaya mereka tahu tentang latar belakang keluarga kami. Alhamdulillah anak-anak saya boleh menerima apa yang telah saya ajarkan kepada mereka.

Nyatakan satu pengalaman pahit dan manis Datuk sepanjang bergelar penyanyi.

Datuk Shake: Pengalaman manis saya ialah ketika lagu You Know I Love You nyanyian saya pertama kali disiarkan oleh sebuah stesen radio di Perancis pada tahun 1976. Ketika itu saya sedang berada dalam teksi. Pada mulanya pemandu teksi itu tidak percaya, tetapi selepas saya menyanyikan semula lagu itu baru dia percaya. Pengalaman pahit saya pula ialah ketika ibu saya, Sharifah Zaleha Mohamad meninggal dunia pada tahun 1986. Ketika itu saya sedang mengadakan persembahan anjuran RTM di Kuching, Sarawak. Saya marah kerana hanya diberitahu tentang berita itu selepas saya habis menyanyi. Malah, ayah saya, Sheikh Ahmad meninggal dunia pada tahun 1979 juga ketika saya sedang mengadakan persembahan. Ketika itu saya sedang muncul di sebuah stesen TV di Paris (Perancis).

Album manakah yang paling meninggalkan kesan di hati Datuk?

Datuk Shake: Album berjudul Sebelum Kau (1994) adalah album yang saya tidak boleh lupakan. Bunga Sarajevo adalah lagu yang paling popular daripada album tersebut. Album itu dihasilkan selepas saya balik dari LA. Johari Teh adalah antara orang yang bertanggungjawab dalam penerbitan album itu. Walau bagaimanapun, sehingga kini saya tidak pernah mendapat sebarang royalti pun daripada penjualan album itu.

Apakah album terbaru Datuk?

Datuk Shake: Album terbaru saya berjudul Keamanan. Album itu dirakamkan di LA dan ia diterbitkan oleh Ahmad Abdullah (Madd Blues). Terdapat lima lagu dalam album itu, berjudul Musafir Di Aidilfitri, Keamanan, Oh! Kasihku, Topeng dan Neon Perantau. Album itu boleh dibeli menerusi MCAT (Global Movie & Music Catalogue Sdn. Bhd.,). Sila layari laman web MCAT atau hubungi mereka di talian 03-76639099 untuk keterangan lanjut.

Akhir sekali, apakah nasihat Datuk kepada penyanyi tempatan yang mahu mencipta nama di luar negara?

Datuk Shake: Paling sesuai biarlah seseorang artis itu berumur bawah 20 tahun. Selain berani dan bersemangat tinggi, seseorang penyanyi itu juga mestilah mempunyai modal yang besar. Jadi, harus ada seseorang yang sanggup membuat pelaburan besar dan mempunyai rangkaian kontak yang bagus dengan banyak pihak di luar negara.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.