Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 01/11/2003
Kerjalah baik-baik, jangan selalu berbangga diri - Ibu

Kerjalah baik-baik, jangan selalu berbangga diri - Ibu


KAILAN HASSAN mengucapkan rasa syukur selepas menyaksikan anaknya, Abdullah mengangkat sumpah dan menandatangani surat cara lantikan Perdana Menteri Malaysia kelima.


KEPALA BATAS 31 Okt. - ``Kerjalah baik-baik, jangan selalu berbangga diri dan lupakan orang bawah,'' itulah pesan Datuk Kailan Hassan kepada anak sulungnya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilantik sebagai Perdana Menteri kelima.

Sambil mengucapkan syukur dan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana memilih anaknya sebagai pengganti, wanita berusia 80 tahun itu berkata, itulah harapan seorang ibu yang sentiasa mendoakan kesejahteraan anaknya.

Beliau yang tidak terlintas sama sekali Abdullah, 64, akan menjadi pemimpin nombor satu negara bagaimanapun bersyukur kerana anaknya menerima jawatan itu melalui peralihan kuasa yang tenang dan aman.

``Waktu dia jadi Timbalan Perdana Menteri pun, saya tak terlintas langsung dia nak jadi macam ini. Terima kasihlah kepada Dr. Mahathir ambil dia jadi Perdana Menteri.

``Syukur juga peralihan berjalan tenang, tidak bergaduh. Itu yang saya rasa bagus,'' katanya terharu.

Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis angkat sumpah Abdullah sebagai Perdana Menteri menerusi televisyen yang disiarkan secara langsung oleh TV3 di rumahnya di Jalan Perak dekat sini petang ini.

Abdullah yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 8 Januari 1999, diumumkan oleh Dr. Mahathir, 78 sebagai penggantinya.

Ditanya adakah terdapat tanda-tanda awal waktu kecil bahawa Abdullah akan menjadi pemimpin besar pada hari ini, Kailan yang masih kuat ingatannya memberitahu: ``Adalah... pernah waktu naik bas ke sekolah tu, orang cakap dia bersama dua kawannya akan menjadi pemimpin suatu hari nanti''.

Mengenai haluan Abdullah ketika kemelut politik pada tahun 1987 yang menyaksikan UMNO ketika itu berpecah kepada dua kumpulan, beliau berkata, kesetiaan Abdullah kepada UMNO tetap tidak berubah.

Selain Abdullah, Kailan mempunyai tiga orang lagi anak iaitu, Aminah, 62, Ibrahim, 56, dan Mohammad Tahir, 49, hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Allahyarham Ahmad Badawi yang meninggal dunia pada 1977.

Abdullah yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara petang ini merupakan Perdana Menteri kelima selepas Dr. Mahathir, Allahyarham Tun Hussein Onn, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN