Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 28/10/2003
Impian perpaduan melalui sekolah

Impian perpaduan melalui sekolah

Lidah Pengarang
INTEGRASI kaum di Malaysia belum dicapai sepenuhnya, walaupun selepas 46 tahun kita mengecapi kemerdekaan.

Jika tidak, tentu impian terakhir Dr. Mahathir Mohamad sebelum melepaskan jawatannya Jumaat ini bukanlah mahu melihat semua rakyat menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Wawasan.

Kenapa perpaduan kaum juga yang akhirnya menjadi impian seorang negarawan legenda sehebat Dr. Mahathir? kenapa bukan membina kilang roket supaya kita boleh menghantar ramai rakyat Malaysia ke bulan?

Sebagai Perdana Menteri Dr. Mahathir telah melihat bahawa pada akhirnya hanya perpaduan yang boleh membawa keamanan, kesejahteraan serta mengekalkan kekayaan negara yang dapat dikongsi secara saksama dan berterusan.

Sejak 22 tahun yang lalu, telah berkali-kali beliau menasihati, menegur dan mengingatkan supaya perpaduan kaum di negara ini terus dijaga dan dipupuk supaya rupa bangsa Malaysia tidak lagi dicirikan melalui identiti satu-satu kaum sahaja.

Sudah banyak usaha dilakukan oleh kerajaan untuk mengeratkan perpaduan kaum. Antaranya ialah melalui pewujudan Sekolah Wawasan.

Malangnya, sekumpulan minoriti penduduk di negara ini kerap mengulangi tohmahan bahawa penubuhan Sekolah Wawasan kononnya berniat untuk menghapuskan bahasa Cina dan lain-lain.

Berulang-ulang kali jugalah Dr. Mahathir memberi jaminan bahawa kerajaan tidak berniat untuk berbuat begitu.

Yang ada cuma prasangka daripada golongan minoriti itu, sedangkan kerajaan terus mengepam duit yang banyak untuk membiayai sekolah-sekolah vernakular, termasuk membantu sekolah berstatus mubaligh.

Sebenarnya impian Dr. Mahathir itu boleh menjadi kenyataan kerana `saki-baki' masyarakat bukan Melayu yang tidak mahu menerima pendidikan anak-anak di Sekolah Kebangsaan tidak ramai.

Sebagai contoh, perangkaan pendidikan terbaru yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan menunjukkan daripada 7,498 buah sekolah berstatus kebangsaan untuk pendidikan umur bawah 12 tahun, 5,655 merupakan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (1,287), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (528) dan sekolah khas (28).

Bilangan murid di Sekolah Kebangsaan sehingga 1 Januari 2003 berjumlah 2.26 juta orang, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (636,783), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (92,699) dan sekolah rendah berstatus khas (1,813).

Kepada sekumpulan minoriti penentang pewujudan Sekolah Wawasan itu, mereka perlu bersyukur kerana kerajaan tidak berniat melenyapkan terus sekolah vernakular.

Cuma di bawah konsep Sekolah Wawasan, kerajaan mahu aliran-aliran yang berbeza ini diletakkan di bawah satu lokasi supaya kanak-kanak yang berlainan latar belakang kaum ini boleh berkongsi padang permainan dan berkongsi waktu perhimpunan.

Sebagai menghormati impian pemimpin yang berpandangan jauh, maka anggaplah teguran Dr. Mahathir itu sebagai peringatan kepada kita semua, bahawa perpaduan kaum adalah kunci kepada kemakmuran yang kita nikmati sekarang, dan akan datang.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN