VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 01/09/2003

Halangan siling kaca - Cabaran besar kepada wanita

SUNGGUHPUN wanita Malaysia telah berjaya meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran pekerjaan, di peringkat pembuat keputusan pembabitan golongan hawa dianggap masih rendah di semua sektor sama ada awam dan korporat mahupun di dalam politik.

Memang diakui, kadar penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan telah meningkat kepada 46 peratus pada 2002 dengan tumpuan lebih menjurus kepada bidang pengeluaran sebanyak 22.7 peratus, perkeranian (17.7 peratus), perkhidmatan 17.6 peratus dan hanya 13.6 peratus dalam bidang profesional.

Namun, di peringkat pembuat keputusan, bilangan wanita masih jauh di belakang lelaki, umpamanya dalam perkhidmatan awam kira-kira 46 peratus terdiri daripada wanita dan hanya 15 peratus wanita menyandang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA).

Begitu juga dalam bidang politik, di mana perwakilan wanita di Dewan Rakyat hanya kira-kira 10 peratus manakala di Dewan Undangan Negeri hanya 5 peratus. Perwakilan wanita di dalam Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga masih di tahap yang rendah sekitar 10 peratus.

Ini belum lagi dilihat di sektor korporat di mana kajian ringkas Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga ke atas 50 syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur mendapati, peratus wanita yang memegang jawatan seperti pengurus besar, naib pengerusi, ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengerusi syarikat hanya kira-kira 12 peratus.

Wanita Malaysia pertama menyandang jawatan Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rafiah Salim berkata, wanita di negara ini sudah berada di landasan yang betul dan kukuh, serta terbukti telah mencapai banyak kejayaan.

Malah di peringkat antarabangsa, katanya, kejayaan wanita Malaysia sememangnya mendapat pengiktirafan dan dipandang tinggi termasuk di Amerika Syarikat.

``Mereka kagum kerana negara kita mempunyai menteri dan hakim wanita, bahkan Malaysia merupakan satu-satunya negara yang Gabenor Bank Negaranya seorang wanita,'' ujarnya.

Bagaimanapun kata Rafiah, pandangan dan pengiktirafan ini tidak harus melekakan wanita di negara ini kerana masih banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki dan diberikan perhatian.

Perjalanan wanita Malaysia untuk berada di puncak kerjaya yang selesa tanpa ada halangan siling kaca dilihat masih lagi jauh, khususnya sebagai pembuat keputusan dalam apa jua bidang.

Dilihat dari sudut sumbangan ekonomi beliau berkata, mungkin benar wanita Malaysia telah membuktikan keupayaan mereka sekurang-kurangnya untuk memecah siling kaca.

Bagaimanapun menurutnya, fenomena tersebut tidak berlaku di peringkat pembuat keputusan, apabila hanya 10 hingga 12 peratus wanita duduk dalam kumpulan tersebut sama ada di sektor korporat mahupun sektor awam.

``Bagaimana kita mahu kata bahawa kita sudah memecah siling kaca apabila hanya beberapa orang wanita saja bergelar pengerusi syarikat, CEO dan pelbagai lagi jawatan tertinggi di sektor korporat,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya bertajuk Merentasi Sempadan ketika sidang pleno di Sidang Kemuncak Wanita 2003 yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sidang kemuncak tersebut diadakan sempena sambutan Hari Wanita 2003.

Sebaliknya, Rafiah melihat wanita Malaysia hanya lebih menonjol di peringkat pertengahan pengurusan kerana jika diteliti secara terperinci di belakang seorang CEO biasanya ada seorang seorang wanita yang berkerja keras dan menunjukkan keupayaan yang setanding.

Begitupun katanya, kakitangan wanita ini biasanya masih tidak terpilih untuk dilantik kepada jawatan lebih tinggi, meskipun sudah banyak bukti menunjukkan bahawa mereka berkelayakan menduduki kerusi di peringkat pembuat keputusan dalam sesebuah syarikat atau organisasi.

Menurut Rafiah, secara umumnya wanita telah membuktikan bahawa mereka seorang yang kuat bekerja, berdisiplin dan amat setia dengan syarikat.

Pekerja wanita juga katanya, jarang menyeleweng atau menerima rasuah berbanding pekerja lelaki.

``Berdasarkan pengalaman saya mengetuai sesebuah jabatan, pekerja lelaki lebih banyak menimbulkan masalah berkaitan tingkah laku berbanding pekerja wanita,'' ujarnya.

Secara umumnya kata Rafiah, wanita lebih cemerlang di sekolah dan universiti, tetapi apabila mereka mula memasuki alam pekerjaan mahu atau tidak mereka perlu mengakui kewujudan siling kaca dalam peringkat-peringkat tertentu.

Katanya, keadaan ini berlaku mungkin antara lain disebabkan budaya masyarakat yang tidak boleh menerima wanita lebih tinggi daripada lelaki dalam apa juga aspek.

``Mereka juga akan dikatakan tidak mengikut syariat-syariat Islam sedangkan isteri Rasullullah s.a.w sendiri adalah ketua dalam perniagaannya,'' ujarnya.

Beliau menambah, mahu atau tidak wanita perlu mengakui memang ada sekatan atau halangan dari segi tanggapan dan pemikiran.

Masih ada anggapan bahawa wanita tidak boleh menduduki jawatan lebih tinggi kerana mereka tidak boleh memberi komitmen yang baik dalam pekerjaan.

Wanita katanya, dianggap akan dibebani dengan tugas-tugas hakiki lain sebagai isteri dan ibu yang membuatkan tumpuan kerja berkurangan.

``Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa jika seseorang itu pekerja yang baik mereka tahu menyeimbangkan masa dan bijak memilih keutamaan dalam apa juga keadaan,'' ujarnya.

Beliau berpendapat, jika keadaan ini berterusan negara turut merasai kerugiannya di mana keupayaan dan guna tenaga wanita tidak digunakan dengan cara yang terbaik.

Katanya, sebagai sebuah negara sedang membangun, negara memerlukan segala sumber terbaik ini untuk kemajuan secara menyeluruh.

Kata Rafiah, tugas untuk mencari jalan bagi menangani masalah siling kaca ini tidak harus diletakkan pada bahu wanita semata-mata.

Sebaliknya ia harus dipikul semua pihak di mana di peringkat negara, kerajaan dalam menggubal dasar-dasarnya mengenai wanita harus menetapkan matlamat, mengatur strategi dan rancangan, serta memastikan perlaksanaannya.

Beliau mengambil contoh peranan yang dimainkan oleh pucuk pimpinan di PBB di mana organisasi itu telah menetapkan 50 peratus kerusi di peringkat pembuat keputusan akan diisi oleh wanita menjelang tahun 2005.

``Melalui arahan itu setiap jabatan akan melatih pegawai-pegawai wanita untuk ke jawatan yang lebih tinggi dan jika mereka gagal mereka terpaksa menjawab sendiri kepada Setiausaha Agung PBB, Koffi Annan.

``Dengan cara ini saja matlamat yang telah ditetapkan itu akan dapat dicapai. Keadaan serupa juga boleh dibuat di negara ini,'' ujarnya.

Sementara itu Ketua Negara bagi Perbankan Pengguna, Standard Chartered Bank (M) Bhd, Bridget Lai berkata, masalah siling kaca bukan dihadapi oleh wanita Malaysia saja, sebaliknya ia merupakan masalah wanita sejagat.

Katanya, di United Kingdom 24 peratus wanitanya terbabit dalam sektor pekerjaan manakala 34 peratus adalah suri rumah.

Walaupun jumlah tersebut dianggap tinggi, tetapi apabila merujuk kepada wanita berjawatan tinggi peratusannya amat kecil.

Malah katanya, situasinya agak baik sedikit di Malaysia di mana hampir 50 peratus wanita berada dalam sektor guna tenaga.

Namun perkara yang sama berlaku apabila merujuk kepada jawatan tertinggi jumlahnya juga amat rendah, biarpun kita mempunyai beberapa menteri wanita.

Katanya, keadaan serupa berlaku di tempat kerjanya di mana walaupun Standard Chartered Bank beroperasi di 55 negara di seluruh dunia tetapi hanya terdapat dua wanita yang memegang jawatan CEO.

Manakala daripada 55 ketua di bahagian Perbankan Pelanggan di setiap negara, hanya seorang saja wanita iaitu dirinya.

``Kita juga tidak mempunyai wakil wanita di dalam kerusi lembaga pengarah yang beribu pejabat di London,'' ujarnya.

Begitupun katanya, Standard Chartered bernasib baik kerana mempunyai pengerusi baru yang percaya bahawa sumbangan wanita amat penting.

Bridget berpendapat, fenomena siling kaca harus diterima sebagai cabaran untuk wanita di negara ini bekerja lebih kuat dan menjadikannya satu motivasi meningkatkan diri ke mercu yang lebih berjaya.

``Wanita harus bersedia dengan segala cabaran. Kita perlu bermula dari akar umbi untuk mencapai matlamat itu,'' ujarnya.

Selain itu menurut Bridget, mewujudkan dan menggalakkan lebih banyak jaringan maklumat tidak rasmi dalam kumpulan yang kecil dan lebih khusus dalam sesuatu bidang bagi membincangkan perkara seperti pembentukan dan mengkaji sesuatu dasar.

Katanya, ia lebih berkesan bagi meningkatkan bidang tertentu seperti pendidikan, kesihatan dan juga pembangunan di luar bandar yang membabitkan wanita di negara ini.

``Saluran jaringan seumpama ini dijangka lebih baik kerana mereka yang terbabit lebih bersedia dan memahami bidang pengkhususan masing-masing,'' ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.