VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 15/07/2003

Akademi Fantasia - Tonjol setiakawan, kuasa SMS

SESEORANG peserta pertandingan lazimnya akan gembira apabila dapat menyingkirkan pesaing mereka sekali gus memastikan tempat mereka terselamat.

Namun berbeza dengan pelajar Akademi Fantasia yang sedih apabila rakan mereka terpaksa meninggalkan akademi itu setelah mendapat undi tercorot.

Itulah yang dilalui sepanjang lima minggu rancangan Akademi Fantasia. Empat pelajar telah terkeluar iaitu Azza, Adi, Atie dan terbaru Burn yang tersingkir Sabtu lalu.

Tangisan rakan-rakan pelajar tidak dapat dibendung. Mereka akan kehilangan seorang lagi rakan. Minggu ini gurau senda Burn tidak akan didengar lagi.

Nampaknya semangat setiakawan tertanam dalam diri semua peserta. Sifat pentingkan diri sendiri terhapus sama sekali.

Lihat saja Nana yang tidak dapat menahan sedih. Apatah lagi menyedari dia sebenarnya gagal membuat persembahan terbaik.

Nana mungkin terfikir dia yang bakal meninggalkan rakan-rakan dan menjadi penonton. Namun penonton masih sayangkannya.

Tangisan Nana pada akhir persembahannya semasa menyanyikan lagu Di Halaman Cinta menyatakan apa yang tersirat di fikirannya. Dia sedar dia gagal menyanyi dengan baik.

Walaupun persembahan Burn baik berbanding peserta lain khususnya Nana, namun rezekinya tidak panjang di Akademi Fantasia.

Burn yang hanya mendapat lapan peratus undi membawa beg untuk pulang bersama keluarga. Dia turut membawa kenangan bersama Nana melalui sebentuk cincin kenangan hadiah rakan baiknya itu.

Undi penonton melalui sistem pesanan ringkas (SMS) tidak dapat dijangka. Mereka mempunyai pilihan sendiri siapa yang harus kekal.

Tenaga pengajar turut bercucuran air mata mendengar nama Burn diumum sebagai peserta keempat terkeluar dari akademi rekaan itu.

Malah Siti Nurhaliza yang tidak terlepas menonton rancangan itu juga mengalirkan air mata melihat aksi peserta apabila Burn melangkah keluar. Siti diundang sebagai pengkritik.

Setelah tamat konsert Sabtu lalu Rosma yang menyanyikan lagu Tragedi Buah Epal melonjak ke tangga teratas bersama 13 peratus undi.

Nyata pilihan penonton tepat kerana dialah peserta mendapat tepukan paling gemuruh sebaik selepas membuat persembahan. Malah dia turut dipuji oleh pengkritik, Kudsia Kahar, Azwan Ali dan Siti Nurhaliza.

Vince, calon favourite sebelum ini jatuh ke tangga keempat dengan 12 peratus undi. Khai dan Sahri yang juga mendapat 12 peratus undi di tempat kedua dan ketiga.

Vince yang menyanyikan lagu Bunyi Gitar (P. Ramlee) dengan gaya Elvis Presley berjaya menarik perhatian. Dia mampu mencipta gaya tersendiri.

Nana, Liza dan Azizi yang menerima 11 peratus undi di tangga kelima hingga tujuh manakala Nija di tangga kelapan dengan 10 peratus.

Rancangan Akademi Fantasia mencetus fenomena baru dalam penerbitan rancangan hiburan. Kalau ada penilaian rating pasti rancangan itu kini di tangga teratas.

Peminat beratur di luar Panggung Percubaan Universiti Putra Malaysia sejak pukul 5 petang untuk memastikan mereka dapat peluang menonton konsert secara langsung.

Namun panggung tersebut tidak mampu menampung semua pengunjung. Pihak penerbit, Astro Ria terpaksa menyediakan skrin di luar panggung.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.