VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 13/07/2003

Teguran PM dan TPM mesej jelas tegas tangani rasuah -- BPR masih belum telus

MUKADIMAH

RAMAI yang mula mencium terhakisnya tiga elemen utama visi Badan Pencegah Rasuah (BPR) iaitu profesional, tegas dan amanah daripada imejnya sendiri.

Semakin sukar melihat profesionalisme BPR menangani kes rasuah, ketegasannya bertindak tanpa `memilih bulu' dan komitmennya memenuhi amanah rakyat jelata - membebaskan rasuah.

Beberapa tahun kebelakangan ini, isu rasuah tidak padam daripada perbincangan umum. Terbaru ialah isu rasuah dalam kerajaan terutama yang melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kelemahan tindakan membanteras gejala ini.

Apabila perhatian besar seperti ini diberi, ia menjelaskan tentang masalah rasuah yang masih berlaku. Semestinya BPR menjadi satu-satunya tempat untuk mencari punca masalah atau melepaskan kritikan.

Mingguan Malaysia menemu bual Ketua Pengarah pertama BPR, Tan Sri Harun Mahmud Hashim untuk menjengah pemikirannya tentang keperluan dalam menangani rasuah dan juga mencungkil pandangannya terhadap BPR sekarang.

``Senang saja. Jangan bertolak ansur dengan mereka yang rasuah. Kalau nampak ada pegawai bermewah-mewah di luar kemampuan sebenarnya, kita mesti siasat.

``Jangan tunggu media massa membongkar atau apabila dapat tekanan, baru disiasat,'' katanya kepada wartawan RAMLI ABDUL KARIM dan NOOR AZAM SHAIRI di pejabatnya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baru-baru ini.

Harun yang bersama BPR selama empat tahun sejak penubuhan pada 1 Oktober 1967 pernah menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan juga bekas Hakim Mahkamah Agung.

Selain menjadi pensyarah undang-undang di UIAM, beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Dalam pertemuan 1 jam 40 minit itu, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini yang membuat keputusan mengharamkan UMNO pada 1987 turut meninggalkan pesanan untuk parti tersebut:

``Selaku parti pemerintah sejak merdeka, UMNO mesti sedar risiko kalau duduk diam terhadap rasuah - ia boleh tumbang.''

MINGGUAN: Sebagai bekas Ketua Pengarah pertama BPR, bagaimanakah Tan Sri melihat perbezaan atau perkembangan badan itu antara dulu dan sekarang?

HARUN: Biar saya ceritakan latar belakangnya dulu. Pada 1967, saya dipanggil oleh Tunku Abdul Rahman yang memaklumkan keputusan kabinet mahu menubuhkan BPR.

Kata Tunku, dia tidak mahu imej negara terjejas di mata dunia kerana terletak di tengah-tengah beberapa negara yang terkenal begitu korup. Dia mahu memberitahu negara luar kita tidak korup. Kita mahu tanda-tanda menunjukkan sebaliknya dihapuskan. Itu amanatnya kepada saya.

Saya bernasib baik kerana diberi kebebasan memilih mana-mana pegawai kerajaan yang membantu amanah itu. Saya juga diberi kelonggaran memohon peruntukan daripada Tun Tan Siew Sin (Menteri Kewangan ketika itu) tanpa banyak soal.

Saya diberi kuasa penuh bukan saja sebagai pentadbir tetapi timbalan pendakwa raya. Jadi Peguam Negara tidak boleh campur tangan keputusan saya sama ada mahu mendakwa atau tidak sesuatu kes.

Saya memberi tumpuan kepada amalan rasuah hanya di kalangan kakitangan kerajaan apatah lagi saya hanya ada lebih kurang 200 kakitangan di seluruh negara.

Apa yang mustahak ketika itu ialah political will mahu melihat rasuah dihapuskan. Senang saya buat kerja kerana boleh mengambil tindakan tanpa mengira bulu.

Satu perkara lagi yang penting, ekonomi kita ketika itu tertumpu kepada pertanian. Peluang untuk rasuah terhad, kalau ada pun hanya melibatkan kes-kes kecil.

Jumlahnya juga kecil dan sekadar sebagai duit pelincir mempercepatkan proses dan bukannya untuk membuat duit atau mempengaruhi keputusan.

Sekarang ini pula, ekonomi negara kita berasaskan industri dan ada banyak projek yang besar melibatkan berjuta-juta ringgit. Peluang untuk rasuah lebih luas kalau hendak dibandingkan dengan dulu.

Kalau hendak dibuat perbandingan lagi, saya rasa penguatkuasaan dulu lebih efektif kerana hanya melibatkan kes-kes kecil dan ada sokongan political will yang kuat.

Saya juga mendapat sokongan kuat daripada media yang sentiasa melaporkan berita tentang BPR. Media banyak membantu BPR dan ia sangat berkesan.

Apabila Datuk Seri Abdullah Badawi meminta BPR supaya lebih telus dan bertanggungjawab, gambarannya BPR sekarang tidak telus dan bertanggungjawab?

HARUN: Wallahualam. Tetapi pada saya BPR sekarang tidak begitu telus. Sebab itulah Timbalan Perdana Menteri meminta badan itu lebih telus dan bertanggungjawab.

Beliau mungkin tidak puas hati dengan prestasi BPR. Kepada BPR, kalau sudah diberi kuasa kenalah buat kerja.

Dalam tempoh dua minggu ini, Perdana Menteri dan timbalannya bercakap tentang isu rasuah. Adakah ini mesej kepada BPR tentang tahap keberkesanannya?

HARUN: Ya, memang saya setuju. Saya kira ini mesej yang jelas kepada BPR.

Bagaimanakah peranan media dalam isu rasuah dan BPR ini?

HARUN: Dulu media terbuka kerana ada political will untuk menghapuskan rasuah. Saya tidak perlu keluarkan kenyataan banyak kali. Publisiti datang kepada BPR, bukan saya yang cari.

Hasil laporan-laporan media itu, BPR menjadi tumpuan banyak negara luar yang mahu belajar daripada kita. Banyak kejayaan kita tercapai kerana bantuan media.

Media banyak mendidik tentang bahaya rasuah. Saya sendiri percaya kepada merawat punca penyakit dan bukannya simptom.

Apakah punca sebenar rasuah?

HARUN: Ini masalah individu yang hidup di luar kemampuan, lebih besar kerak daripada periuk. Mereka hendak berlagak.

Standard dia pakai kereta Kancil tetapi mahu Perdana; bukan standard bermain golf tetapi main golf. Pendek kata bermewah-mewah. Masalahnya gaji mereka hanya setakat itu, jadi terpaksa salah guna kuasa untuk mendapatkan duit lebih.

Selain itu, ada juga yang tamak hendak menghimpun duit, hendak kumpul harta dan jadi kaya. Tetapi mereka ini tidak kaya juga akhirnya kerana duit seperti itu orang kata tidak berkat dan hangus begitu saja.

Tan Sri mahu memberitahu rasuah ada kaitan dengan nilai yang salah tentang hidup. Bagaimanakah mahu mengatasinya?

HARUN: Senang saja. Jangan bertolak ansur dengan mereka. Kalau nampak ada pegawai yang hidup bermewah-mewah kita siasat.

Adakah rumah yang didiaminya itu sesuai dengan pendapatannya? Bagaimanakah dia membelinya? Kalau berhutang sekalipun, adakah sesuai dengan gajinya?

Kalau kita buat begitu, tidak ada tolak ansur dan ketepikan mereka yang rasuah, orang lain tidak akan berani menyeleweng. Ia akan jadi teladan kepada masyarakat.

Tan Sri menekankan tentang penerima tetapi kalau tiada orang yang menyogok, mereka tidak gelap mata. Apakah komen Tan Sri?

HARUN: Saya setuju. Orang yang memberi salah dan yang menerima pun salah juga. Tetapi kalau ada orang yang mahu memberi sogokan, mereka sepatutnya buat laporan dan kita tangkap orang itu.

Selalunya kalau diberi takkan tidak diambil. Kata mereka, orang beri bukan minta.

HARUN: Itu salah. Mereka kena tolak. Kalau orang itu hendak beri juga, dia kena buat laporan kepada BPR. Akhirnya masyarakat akan takut memberi rasuah.

Cara itu memang ideal. Masalahnya bolehkah kita harapkan itu berlaku?

HARUN: Kita mesti membina budaya itu supaya ada pada mereka. Kita beritahu mereka bahawa kerja itu adalah satu tanggungjawab dan kewajipan.

Kalau mahu kaya, jangan jadi pegawai kerajaan - pergi berniaga. Saudara sendiri pun sebagai orang makan gaji sampai bila pun tentu tidak kaya. Tetapi saudara bekerja kerana saudara suka kerja itu dan dapat kepuasan. Kepuasan bekerja itulah yang harus ada pada semua orang.

Tan Sri ingin memberitahu selagi ada pegawai yang menerima, selagi itu rasuah tidak boleh dihapuskan?

HARUN: Ya. Kalau pegawai kita jujur, saya percaya rasuah tidak akan berlaku.

Adakah aspek penerima ini tidak diberikan perhatian dengan tidak memantau para pegawai yang di barisan hadapan itu?

HARUN: Kerajaan sepatutnya membuat kursus menanam nilai-nilai agama kepada para pegawai dan kakitangan. Kita tidak saja mengajak mereka beribadat tetapi beritahu mereka tentang etika kerja.

Tadi Tan Sri sebut tentang perubahan ekonomi negara memberi lebih peluang untuk rasuah. Tentu cara baru diperlukan bagi mengatasinya. Apakah caranya?

HARUN: Kita perlu lebih telus dalam meluluskan projek-projek besar. Isytihar projek itu dan membuka tender. Kita buka tender di hadapan orang ramai. Media juga boleh hadir. Kita buka satu per satu.

Sekarang kita tidak buat begitu. Apabila ada ketelusan, rasuah akan kurang. Tiada lagi kelulusan dibuat secara sulit. Kalau diputuskan secara sulit, tidak rasuah pun orang kata rasuah juga.

Apa lagi yang boleh kerajaan lakukan untuk membendung dan menyekat rasuah?

HARUN: Saya rasa apa yang penting ialah BPR perlu lebih efektif memantau para pegawai yang disyaki terlibat.

Kita juga perlu menggalakkan orang ramai membuat laporan dan kita mesti beritahu mereka apa yang dilakukan kepada laporan mereka itu.

Betulkah pandangan mengatakan BPR lebih senyap daripada dulu?

HARUN: Mungkin juga. Mereka tidak cerita kepada media apa yang dibuat. Atau dia memang ada cerita tetapi dia tidak mahu umumkan.

Adakah tindakan itu betul?

HARUN: Barangkali mereka tidak mahu publisiti. Mereka hanya mahu buat kerja diam-diam.

Tetapi mereka kena sedar bahawa orang ramai tahu apa yang berlaku di luar dan mereka bertanya apa yang kerajaan buat.

Melawan rasuah ini tugas BPR tetapi imej yang terjejas ialah kerajaan seluruhnya. Kalau itu berlaku, orang akan ambil mudah tentang rasuah dan kata ``semuanya bisa (boleh) diatur''. Ini membahayakan negara.

Saya menyokong kenyataan Dr. Mahathir dan Pak Lah baru-baru ini. Akibat daripada rasuah ialah kedudukan negara terjejas di peringkat antarabangsa. Kita akan dicap sebagai negara yang korup. Kita tidak mahu reputasi buruk itu.

Adakah gejala rasuah diukur dengan banyak pendakwaan atau bagaimana?

HARUN: Kalau orang sudah bercakap jika tidak beri duit tidak akan jalan atau tidak dapat kelulusan, itulah tandanya.

Malah saya tahu pernah seorang Menteri Besar semasa diberitahu sebuah pejabat tanah dalam negerinya korup, dia jawab: ``Memang pejabat tanah itu paling rasuah dalam negeri ini.'' Seolah-olahnya dia sudah tidak boleh buat apa-apa. Ini kisah benar.

Adakah kita sudah menerima rasuah sebagai budaya?

HARUN: Itulah yang ditakuti. Kalau kita bendung sekarang, itu tidak akan berlaku. Kita belum terlambat bagi menyekat budaya itu daripada menyerap. Dan kita perlu tegas dan harus ada political will yang kuat.

Kenyataan pucuk pimpinan kerajaan kebelakangan ini menggambarkan political will yang kuat. Soalnya bagaimanakah mahu menterjemahkan semangat itu?

HARUN: Saya setuju tentang political will itu tetapi BPR juga mesti berkesan. Kalau dapat maklumat, segera bertindak. BPR perlu lebih agresif. Itulah ubatnya kepada rasuah iaitu tegas dan tiada tolak ansur.

Kenapakah ada pegawai kerajaan rasuah?

HARUN: Kita perlu lihat kepada masalah akar. Pada 1969 kita dalam BPR buat kajian tentang ada polis rasuah di Kuala Lumpur.

Tetapi kita tahu kalau ditangkap, buang kerja dan ganti orang lain, polis baru itu akan rasuah juga. Cerita sama berulang.

Jadi kita panggil dan tanya kenapakah dia ambil rasuah? Dia kata bukan suka rasuah tetapi gaji dan elaun rumah tidak cukup. Orang begini bukan hendak mewah.

Jadi kerajaan menyediakan rumah untuk anggota polis di Kuala Lumpur ketika itu. Apa yang saya hendak beritahu ialah kita selesaikan masalah akar dan puncanya. Mana yang boleh dibetulkan, kita perbetulkan dulu.

Hari ini ada yang hendak hidup mewah?

HARUN: Tidak semua begitu. Ada yang kesempitan gaji tetapi tanggungjawabnya besar terutama orang Melayu, terpaksa membantu keluarga dan adik-beradik.

Bercakap tentang orang Melayu, kenapakah mereka boleh mengajar anak-anak tentang jijik dan haramnya babi tetapi tidak rasuah?

HARUN: Boleh. Kita boleh ajar mereka bencikan rasuah, kenapa tidak boleh? Dalam al-Quran ada banyak ayat menyebut tentang rasuah. Ajarlah ayat-ayat itu. Pembinaan watak banyak bergantung kepada asas dan nilai-nilai agama yang kukuh.

Dalam hal ini media perlu memainkan peranan. BPR juga perlu menggunakan pendekatan agama untuk menyedarkan tentang keburukan rasuah.

Tetapi BPR sudah melakukannya?

HARUN: Mesej BPR tidak sampai kepada orang ramai dan pegawai kerajaan yang terima rasuah. Pegawai yang lebih mewah daripada kemampuan atau mereka yang terdedah kepada rasuah patut kerap dihantar mengikuti kursus kesedaran.

Ada cadangan mengehadkan tempoh pegawai memegang jawatan di sesuatu tempat. Adakah ini patut dipertimbangkan?

HARUN: Ya. Sistem ini pernah diamalkan oleh penjajah British dulu dan ia sistem yang baik serta patut diamalkan semula. Pegawai penguat kuasa misalnya patut ditukarkan ke tempat lain setiap tiga tahun.

Dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) ada ahli majlis yang pegang jawatan dua atau tiga penggal. Adakah sistem ini baik?

HARUN: Kalau tanya saya, jawapan saya satu saja. Pilih ahli majlis PBT menerusi pilihan raya. Tidak ada ubat lain.

Bolehkah rasuah diatasi kalau diadakan pilihan raya PBT?

HARUN: Rakyat tentu menukar ahli-ahli majlis yang mewakili mereka kalau tidak berkesan atau disyaki rasuah. Pilihan raya boleh diadakan tiga tahun sekali.

Beri syarat calon ahli majlis mestilah orang yang tinggal di kawasan itu. Bukannya tinggal di Kuala Lumpur tetapi menjadi ahli majlis PBT di Shah Alam atau Petaling Jaya. Macam mana hendak tahu masalah di Shah Alam dan Petaling Jaya?

Sebenarnya kerajaan tidak perlu runsing. PBT cuma menjaga tugas bersifat tempatan dan melaksanakan dasar kerajaan bukannya menggubal dasar negara.

Apakah yang diharapkan daripada kerajaan?

HARUN: Pertama seperti saya jelaskan tadi ialah pemantauan pegawai-pegawai yang hidup mewah. Ambil tindakan terhadap mereka. Kedua, lakukan apa saja terutama memanfaatkan media bagi menyedarkan orang ramai membenci rasuah.

Biar setiap orang ada perasaan ``aku tidak mahu rasuah, aku benci rasuah, nanti negara aku rosak''. Memang dengan rasuah, negara boleh runtuh, ini terbukti dalam sejarah sejak ratusan tahun lalu. Adakah UMNO - parti pemerintah sejak merdeka - tidak menyedari risiko sekiranya mereka duduk diam. Mereka juga boleh tumbang.

Calon wakil rakyat yang rakyat fikir rasuah atau telah menggunakan kedudukan untuk mewah tidak akan dipilih. Mereka perlu diketepikan. Saya melihat dan ada pengalaman dalam kes wakil rakyat begini.

Apakah antara pengalaman Tan Sri itu?

HARUN: Satu yang saya masih ingat ketika menjadi Ketua Pengarah BPR dulu. Seorang tentera yang baru bersara pulang ke kampungnya di Pahang. Untuk kelangsungan hidup dia memohon permit teksi bagi kawasan kampungnya yang tiada pengangkutan awam. Tetapi permohonannya ditolak.

Tiba-tiba muncul teksi lain di kampungnya. Beliau menulis surat kepada saya selaku Ketua Pengarah BPR dan mengadu bahawa dia sudah bergadai nyawa termasuk menentang komunis dan bertanya ``tetapi inikah balasan kerajaan kepada saya?''

Saya pun siasat sendiri. Rupa-rupanya wakil rakyat kawasan itu yang mendapat permit baru di kampung itu. Disiasat lagi, wakil rakyat itu sebenarnya ada sembilan permit teksi. Dia asyik pasang telinga, asalkan ada orang memohon dia akan pintas menggunakan kedudukannya.

Saya mengadukannya kepada Tun Razak. Saya kata, ``tidak cukupkah gaji Yang Berhormat itu sampai sanggup merampas nafkah orang lain.'' Kemudian Tun Razak mengarahkan permit itu dibatal dan diserahkan kepada bekas tentera itu.

Kalau begitu, wajarlah setiap calon pilihan raya diwajibkan mengisytiharkan harta?

HARUN: Ya. Ini baik dan saya sokong. Ini memudahkan presiden parti memilih orang untuk menjadi calon dengan mengeluarkan nama-nama yang rasuah.

Adakah itu memadai kerana dilakukan di peringkat dalaman parti?

HARUN: Saya ingin mencadangkan supaya ada susulan selepas calon itu menang. Wakil rakyat baru ini mesti mengisytiharkan hartanya kepada Speaker Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika dewan bersidang. Tidak mengira siapa, sama ada mereka menteri atau tidak, asalkan mereka wakil rakyat.

Jadi ia akan menjadi dokumen awam. Sesiapa saja boleh ke Parlimen atau DUN untuk menyemak harta wakil rakyat masing-masing.

Salahkah ahli politik menjadi kaya?

HARUN: Tidak. Tetapi kaya dengan cara bagaimana? Kalau sudah kaya kemudian baru menjadi wakil rakyat, itu soal lain.

Sebaliknya kalau asal tinggal di `pondok buluh' tiba-tiba bertukar menjadi `istana', ada sesuatu yang tidak kena berlaku.

Banyak mana sangat elaun wakil rakyat? Jadi Menteri Besar pun tidak mampu bina rumah sebesar istana. Bagaimanakah cara mereka dapat buat rumah besar ini? Ini tentu menjadi tanda tanya. Ketika inilah peranan BPR untuk menyiasat wakil-wakil rakyat ini.

Dulu di BPR, saya siasat sendiri kes begini termasuk kes seorang menteri besar yang akhirnya terpaksa melepaskan jawatan. Sejurus menjadi Menteri Besar, rumahnya sebesar istana.

Saya kata padanya: ``Datuk, kalau Datuk makan rumput, minum air hujan saja dan setiap sen elaun disimpan masih tak boleh buat rumah macam ini.''

Semasa Tan Sri di BPR terdapat beberapa kes rasuah membabitkan orang kenamaan disabitkan salah oleh mahkamah. Ini menampakkan ketegasan tidak memilih bulu. Tetapi kenapakah kini BPR lewat dalam siasatan kes-kes begini?

HARUN: BPR sepatutnya membuat kenyataan mengenai perkembangan apa saja kes termasuk yang melibatkan orang kenamaan tanpa perlu tekanan daripada mana-mana pihak termasuk media.

Kalau tiada atau tidak cukup bukti sekalipun kenalah diumumkan. Beritahulah kes itu ditutup kerana tidak boleh dibawa ke mahkamah. Orang ramai berhak tahu.

Ada pemimpin negeri masih menamakan wakil rakyat yang sudah dituduh rasuah di mahkamah sebagai calon pilihan raya. Bukankah calon patut bersih malah juga kelihatan bersih daripada rasuah?

HARUN: Itu kena tanya kepada parti berkenaanlah.

Tetapi patutkah kita ada calon begini?

HARUN: Tidak, tidak perlu. Tidak mungkin tiada lagi calon lain. Kita tidak pernah ketandusan calon yang sesuai.

Kepada UMNO, berhati-hati dalam hal ini. Secara teknikalnya dia tidak bersalah selagi Mahkamah Rayuan belum membuat keputusan. Tetapi dari segi politik, adakah mengambil semula dia menjadi calon pilihan raya suatu langkah bijak?

Kepentingan parti lebih diutamakan daripada wakil rakyat yang sudah dituduh rasuah. Sebab itu juga saya menyokong tindakan mewajibkan pengisytiharan harta calon-calon pilihan raya yang mahu dilaksanakan oleh UMNO.

Isu rasuah nampaknya dibincangkan secara bermusim di Malaysia. Bagaimanakah yang sepatutnya?

HARUN: BPR wujud sejak 1967. Badan ini perlu menggunakan peranan media massa untuk membanteras rasuah. Tugas media termasuk mendedahkan kes rasuah, itu tidak boleh dihalang. Di samping itu ialah menyedarkan orang ramai tentang keburukan rasuah. Peranan media ini perlu diterima dan diakui.

Bagaimanakah kalau ketua pengarah sendiri yang tidak mahukan publisiti?

HARUN: Beliau kena melepaskan jawatannya. Dia tidak patut berada di situ. Isu sebenarnya bukan berkaitan publisiti tetapi BPR mestilah telus. Publisiti cuma mempunyai peranan besar dalam memberi kesedaran tentang keburukan rasuah.

Rakyat ada hak untuk mengetahui apa yang dilakukan oleh BPR. Kalau mata mereka nampak rasuah di sana sini, mestilah mereka bertanya ``BPR buat apa?''

Itulah persepsi orang ramai sekarang.

HARUN: Sebab itulah sama ada suka atau tidak, BPR mesti membenarkan publisiti tentang pencegahan rasuah.

Apakah yang BPR perlu beritahu?

HARUN: BPR perlu menghebahkan apa saja tindakan yang telah diambil. Berapa kes bulanan yang ditangani, laporan ini mesti diberitahu kepada umum. Setiap bulan kena dihebahkan.

Ini termasuk tahap atau peringkat siasatan yang sedang dilakukan terhadap mana-mana kes. Dari semasa ke semasa, orang ramai ada hak mengetahui perkembangan siasatan itu. BPR juga mesti mengumumkan laporannya tentang jenis kesalahan dan jumlah yang dihadapkan ke mahkamah.

Kadang-kadang BPR hanya bertindak apabila media bongkarkan kes-kes rasuah atau menerima tekanan pelbagai pihak. Apakah komen Tan Sri?

HARUN: Baguslah media melaporkan begitu. Maknanya media mengambil berat soal rasuah. Memang pun wajar mereka memberi perhatian terhadap isu rasuah.

Dengan itu tentunya BPR akan menyegerakan tindakan dan siasatan. Kalau tidak tentu rakyat dan media mahu tahu perkembangan terbaru mengenainya.

Kenapakah beban itu kepada media?

HARUN: Pegawai atasan BPR perlu menjelaskan bahawa media sebenarnya membuat laporan mengenai sesuatu kegiatan rasuah bukannya bertujuan mahu memberitahu apa yang patut dilakukan oleh BPR.

Beginilah. Kalau sebenarnya ketua yang tidak berfungsi, cadangan saya ialah gantikan saja dengan ketua baru.

Tetapi bagi BPR, pandangan umum mengenai rasuah harus menerusi penyelidikan bukan berdasarkan cakap orang kebanyakan. Bagaimanakah pula pandangan Tan Sri?

HARUN: Jawapan saya begini saja. Kalau saudara berjumpa pegawai BPR yang kata begitu, tolong tanya ``dalam sehari berapa surat diterimanya daripada rakyat dan berapa yang dia buka serta membacanya.''

Kandungan surat itu perlu dihebahkan?

HARUN: Ya. Bagaimanapun, sebelum itu saya ingin tanya, selepas menerima surat daripada rakyat itu, mereka baca atau tidak? Semasa menjadi ketua pengarah dulu, saya membaca sendiri semua surat yang dihantar oleh rakyat jelata setiap hari. Walaupun ia salinan kepada BPR negeri-negeri, saya baca dulu surat itu.

Bukan membacanya saja tetapi kena ambil tindakan segera. Saya percaya setiap hari ada surat yang dihantar oleh rakyat.

Malaysia selalu dibandingkan dengan negara lain dari segi ranking pengawalan rasuah. Kata mereka, kita lebih baik daripada negara lain di rantau ini. Patutkah kita membuat perbandingan sebegini?

HARUN: Tidak boleh begitu. Patutnya kita dengar cakap Dr. Mahathir. Perdana Menteri bukan mahu kita sekadar lebih baik dari negara di rantau ini. Tetapi beliau mahu kedudukan sama atau hampir dengan Finland iaitu negara nombor satu yang tiada rasuah.

Kalau boleh kita lebih baik daripada Finland, itulah yang patut jadi sasaran kita.

Maksudnya adalah salah membandingkan Malaysia ini dengan negara yang buruk prestasi pengawalan rasuah?

HARUN: Ya. Saya setuju bahawa kita juga patut tanya kenapa kita lebih buruk daripada negara lain yang prestasi pengawalan rasuahnya bagus seperti Finland.

Bolehkah kita menjadi seperti Finland?

HARUN: Boleh. Caranya, BPR kenalah buat penyelidikan tentang perilaku rasuah di semua jabatan kerajaan dan kenal pasti sebab-sebabnya. BPR juga perlu mengenal pasti golongan pegawai tahap mana yang rasuah. Jadi dengan penyelidikan itu, kita tahu siapa dan kenapa mereka rasuah.

Selepas itu mesti dilakukan susulan. Semasa saya dulu, selepas dapat hasil penyelidikan, kita serahkan kepada kerajaan dan cadangkan itu dan ini yang patut dibuat termasuk pindaan undang-undang.

Saya tidak tahulah apakah yang BPR buat sekarang dan adakah mereka melakukan seperti itu.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.