Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
FORUM

ARKIB : 11/07/2003
<B><I>Bolehwood Awards</I></B> teater komedi yang melampau

Bolehwood Awards teater komedi yang melampau

Saudara Pengarang,
APAKAH sebenarnya yang ingin disampaikan oleh sekumpulan pelakon daripada Instant Caf Theatre Co. (ICT) melalui persembahan komedi The 2nd First Annual Bolehwood Awards - The Directors Cut?

Saya adalah pencinta teater dan setia mengikuti perkembangan teater semasa, terutamanya yang berbahasa Inggeris. Salah satu cara sebenarnya untuk membaiki dan meningkatkan mutu bahasa Inggeris selain minat yang mendalam tentang nilai artistik.

Persembahan pembukaan yang bertempat di Actors Studio, Bangsar, mengisahkan tentang acara penganugerahan Bolehwood Awards kepada `penggiat filem' bermacam kategori di Malaysia.

Maka bergemalah suara-suara yang lahir daripada perasaan kecewa, marah, terkilan, dengki, ketidakpuasan hati tentang pentadbiran negara serta pembaharuan yang ingin dan sudah dibuat oleh kerajaan baik dari segi politik, ekonomi, agama maupun sosial. Juga cemburu terhadap kemajuan yang dicapai oleh Malaysia. Itulah yang dapat saya simpulkan daripada persembahan pembukaan itu.

Yang saya tidak faham, kenapa dan bagaimana mereka ini boleh cemburu dan mengkritik secara berlebihan tentang kemajuan yang dicapai oleh Malaysia sedangkan mereka sendiri adalah rakyat Malaysia? Atau adakah mereka ini sering berulang-alik daripada Malaysia-London. Dengan kata lain, menjadikan Malaysia seperti tempat persinggahan sahaja? Ataupun mereka tidak menetap di Malaysia sama sekali dan hanya mempunyai visa pelancong?

Jika benar tanggapan saya, maka saya tidak hairan golongan ini boleh mempermain-mainkan atau memperlekehkan beberapa negarawan/tokoh politik negara dengan selamba. Mereka perlu faham atau setidak-tidaknya tahu dengan jelas dan sahih tentang kronologi/keadaan sosio-politik negara, sebelum mereka lahir sehinggalah merdeka dan seterusnya pada masa kini. Barulah boleh untuk mengkritik, itupun biarlah secara sihat berlandaskan kata-kata yang berlapik.

Bahasa yang digunakan pada malam pembukaan adalah tidak sopan dan tidak beradab, diselang-seli dengan bahasa carut dalam bahasa Inggeris. Lebih sesuai untuk American stage ataupun Western stage.

Sekiranya di London, anda dialu-alukan untuk mencarut pada bila-bila masa dan kepada sesiapa juga yang anda mahu kerana ia adalah kelebihan kebebasan bersuara di negara itu. Tetapi, sekiranya anda datang ke Malaysia, anda tidak boleh mencarut di khalayak umum. Ini kerana ia bertentangan dengan adat resam dan tatasusila kami, bukan sahaja orang Melayu tetapi semua kaum di Malaysia. Jadi, tugas anda mudah. Anda perlu mengenalpasti khalayak anda. Bukankah anda ingin mempersembahkannya secara umum dan bukannya untuk kaum keluarga anda saja?

Saya seorang yang berfikiran terbuka. Saya tidak nampak apa salahnya menonjolkan adegan mak nyah dalam sesebuah persembahan teater. Saya tidak nampak apa salahnya mengadakan adegan seorang rahib perempuan naik ke pentas untuk menerima anugerah. Saya juga tidak nampak apa salahnya dengan pakaian beberapa pelakon yang dikenakan pada malam itu walaupun ia terlalu seksi pada masa-masa tertentu.

Tetapi, apabila hampir kesemua pelakon itu menyentuh isu sensitif seperti agama Islam, hukum hudud yang digambarkan seperti tidak bertamadun, saya tidak boleh menutup mata dan memekakkan telinga sahaja.

Walaupun saya bukan penyokong parti pembangkang yang heboh memperjuangkan hukum hudud, tetapi saya berasa sungguh jelik kepada para pelakon ini yang telah mempermainkan hukum hudud seperti potong tangan dan sebagainya.

Apa perlunya mengejek/menyindir orang-orang tertentu atau parti politik tertentu secara melampau? Apa perlunya mewujudkan skrip yang mengandungi unsur lucah untuk dipertontonkan kepada umum?

Saya kira sesuatu persembahan itu akan tetap menarik walaupun tanpa bahasa-bahasa sedemikian. Actors Studio perlu lebih peka dengan senario ini. Jangan jadikan pentas di Malaysia ini tidak ubah seperti di West End, London di mana segala yang lucah dan maki-hamun dianggap seni artistik yang tidak ternilai harganya.

Sekiranya tidak puas hati dengan pentadbiran politik, Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Penapisan Filem di Malaysia ini, sila buat kritikan yang membina bukannya emosional atau tidak rasional sama sekali - baik secara sindiran ataupun andaian.

Akhir sekali, saya menjemput Datuk Shahrizat Jalil (kerana nama Datuk ada disebut) malah tokoh-tokoh politik yang lain termasuk PAS untuk sama-sama menghayati karya The Instant Caf Ensemble ini. Ia berlangsung sehingga 13 Julai 2003, bermula jam 8.30 malam.

Satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja dan patut dikongsi bersama. - PENGKRITIK MELAYU YANG SEBENAR, Kuala Pilah.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN