VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
TENTERA

ARKIB : 22/05/2003

Rosman - Minat komando sejak kecil

KOMANDO 69 atau Pasukan Gerak Khas (PGK) merupakan pasukan elit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sesuai dengan pengiktirafan yang diterima, anggotanya terdiri daripada orang-orang yang terpilih saja.

Tidak ada kompromi untuk bergelar seorang komando. Hanya mereka yang benar-benar lasak dan kuat mental mampu menamatkan latihan masing-masing.

Seorang komando, Rosman Kasman, 34, berkata, terlalu banyak keistimewaan terpaksa dikorbankan ketika menjalani latihan komando kerana terlalu minat untuk bergelar seorang komando.

Bagaimanapun, semua itu tidak sedikit pun membuatnya menyesal dengan keputusannya memilih menyertai pasukan PGK.

Malahan, tegas Pegawai Penjaga Terup 12A Skuadron PGK Ulu Kinta itu, kehidupan sebagai seorang komando amat sesuai dengan jiwanya yang sentiasa mahu melakukan kerja-kerja berisiko dan mencabar.

Beliau yang berasal dari Pengerang, Johor itu berkata, minatnya untuk menjadi komando banyak dipengaruhi oleh filem-filem ala komando dan perang yang ditontoni dalam televisyen sejak kecil.

``Kalau ada cerita komando ataupun perang saya tidak akan melepaskan peluang untuk berada di depan televisyen dan daripada situ juga saya akan memasang angan-angan untuk beraksi seperti itu,'' jelasnya yang lebih dikenali sebagai Mahmud di kampungnya.

Selain itu, anak ketiga daripada lima beradik ini juga memberitahu, kehidupannya di kampung juga banyak mempengaruhi cita-citanya di mana beliau selalu mengikut bapanya masuk hutan untuk memburu.

Oleh itu, sebaiknya saja menamatkan Sijil Tinggi Persekolahannya (STPM) Rosman yang memang terkenal dengan kelasakan semasa kecil terus memohon memasuki polis pada tahun 1988.

``Saya menjalani latihan asas konstabel di Pusat Latihan Polis (Pulapah) Negeri Sembilan selama enam bulan dan selepas itu saya ditugaskan ke Pasukan Gerakan Am (PGA) di Batalion 1,'' katanya yang telah berkahwin dan dikurniakan empat puteri comel.

Ketika itu cita-citanya dalam komando belum lagi dicapai sehinggalah pada satu hari beliau mendapat berita terdapat pemilihan untuk memasuki pasukan Komando 69.

Tanpa berfikir panjang beliau terus menawarkan diri dan telah dihantar ke Ulu Kinta untuk menjalani latihan asas dan kemudiannya ke Gunung Jerai di Sungai Petani, Kedah.

``Latihan memang teruk, tetapi bagi saya lagi teruk latihan itu lagi saya minat,'' jelasnya yang memang cukup disegani oleh rakan-rakan sejawatannya kerana semangatnya jelas sanggup memikul tugas-tugas mencabar.

Sepanjang menjalani latihan, menurut Rosman, beliau tidak dapat melupakan tindakan jurulatihnya yang sengaja melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah kakinya dengan satu das terkena tepi kasutnya tetapi tidak mencederakannya.

``Ketika itu saya langsung tidak takut malah menjadi lebih berani dengan bertindak menjatuhkan diri untuk mengelakkan daripada dicederakan,'' katanya sambil memberitahu itulah antara latihan dalam komando untuk menjadikan seseorang itu berani.

Rosman yang mahu terus cemerlang dalam pasukan memberitahu, sebenarnya ramai yang bercita-cita untuk menjadi komando tetapi tidak ramai yang sanggup menghadapi kesusahan semasa menjalani latihan.

``Latihan dalam komando sebenarnya latihan yang tidak mahu kita merasa senang dan kalau seseorang itu tidak kisah dialah yang akan menjadi pilihan pasukan,'' katanya dengan penuh kebanggaan.

Menurutnya, daripada 50 orang yang dipilih menjalani latihan bersamanya hanya 24 orang saja berjaya menamatkan latihan.

``Itulah yang dikatakan komando, mereka yang terpilih adalah di kalangan orang-orang terbaik saja,'' jelasnya yang juga merupakan Jurulatih Unit Payung Terjun PGK sejak lima tahun lalu.

Penglibatan Rosman dalam Unit Payung Terjun cukup menyerlah sehingga beliau pernah menjadi Juara Kebangsaan Payung Terjun sebanyak dua kali berturut-turut pada 1997 dan 1998 dan Juara Berkumpulan Acara Ketepatan Payung Terjun selama empat tahun berturut-turut sejak 1998 hingga 2001.

Rosman yang banyak terlibat dalam penerjunan peringkat antarabangsa itu juga pernah menjuarai Acara Canopy Relative Work (CRW) Payung Terjun pada 2001.

Selain itu, Rosman yang sentiasa aktif itu merupakan Pengurus Pasukan Eco-challenge yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu.

``Misi saya dalam sukan ialah tidak mahu pasukan saya setakat bergelar jaguh kampung saja,'' katanya.

Justeru itu, Rosman yang sukar mengaku kalah dalam apa juga keadaan memberitahu, setiap latihan yang diterapkan mesti mempunyai potensi mencapai kemenangan.

Formulanya terbukti memihak kepadanya apabila Pasukan Eco-challenge Komando 69 menang dalam pertandingan yang diadakan di Muar, Johor dan Hulu Langat pada April lalu.

Baru-baru ini, Pasukan Eco-challenge di bawah pimpinannya juga dipilih menjuarai sukan tersebut di peringkat Asia dan menduduki tangga kelima di peringkat dunia pada tahun lalu.

Sejak hampir 13 tahun berada dalam Komando 69, beliau merasa puas dengan kerjaya yang dipilihnya.

``Latihan dan latihan merupakan rutin kehidupan seorang komando sekiranya mereka tidak terlibat dengan tugas-tugas khas,'' katanya yang amat menitikberatkan disiplin dan tidak suka melengah-lengahkan kerja.

Beliau yang berpengalaman dalam menjadi pengiring rapat perdana menteri dan kenamaan-kenamaan asing berkata, kehidupan seorang komando tidak menentu kerana tugas-tugas yang datang sememangnya tidak dirancang.

Beliau bersyukur kerana isterinya, Zuraini Majid dan anak-anaknya Nur Naqhirah, Nur Naqibah, Nur Nabihah dan Nur Nafizah memahami tugasnya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.