|
Jangan malukan UMNO
AWANG tidak dapat menerima apa juga hujah yang cuba digunakan untuk mempertahankan langkah memberi insentif RM3 kepada ahli-ahli UMNO yang berjaya mendapatkan seorang ahli baru.
Sesungguhnya, ia satu langkah yang memalukan parti itu yang sudah berusia 57 tahun dan sudah sekian lama menjadi tulang belakang pemerintahan negara.
Langkah tersebut memberi gambaran bahawa ahli-ahli UMNO akan hanya berusaha melakukan sesuatu untuk parti bila dan jika ada ganjaran wang. Tanpa wang, tidak ada apa yang akan bergerak.
Insentif RM3 itu sendiri membuat UMNO kelihatan lekeh. Kalaupun hendak memberi ganjaran, takkanlah RM3?
Insentif ini, pada pandangan Awang, tidak meletakkan UMNO dalam gambaran yang baik jika diambil kira bagaimana ahli-ahli parti lain, khususnya Pas, memberi kepada parti mereka. Begitu juga MCA.
Biar apa pun diperkatakan tentang Pas, ahli-ahlinya masih menghulurkan wang kepada parti. MCA pula dengan cepat dan mudah sudah dapat mengumpul RM200 juta untuk pembinaan universitinya. Mereka tidak meminta sumbangan daripada kerajaan. Yang diminta cuma kelulusan untuk menubuhkan universiti itu.
Nasib baiklah yang hendak memberi insentif RM3 itu hanya UMNO Bahagian Tasek Gelugor di Pulau Pinang. Ketuanya, Mohd. Shariff Omar mempertahankan keputusan beliau. Ada juga pemimpin UMNO lain yang menyokong langkah tersebut.
Secara tulus ikhlas, Awang merayu Shariff supaya memikirkan semula perkara ini dan membatalkan pemberian insentif itu.
Awang juga sangat berharap tidak ada bahagian lain yang akan ikut jejak UMNO Tasek Gelugor itu.
Teori Konspirasi
ULASAN Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad yang agak panjang lebar tentang rencana majalah The Economist serta penilaiannya terhadap prestasi timbalan beliau, Awang harap, akan mematikan sama sekali teori konspirasi berhubung soal peralihan kuasa Oktober ini.
Seperti kata Perdana Menteri sendiri, masih ada yang ragu-ragu bahawa beliau akan bersara dan akan menyerahkan kuasa kepada Abdullah Ahmad Badawi. Dan, ada pula yang mahu beliau pergi lebih awal.
Juga, masih ada yang menaruh harapan Dr. Mahathir akan mengubah fikiran dan meneruskan khidmatnya.
Yang menjadi masalah kepada proses peralihan ialah orang-orang di dalam dan di luar UMNO yang sentiasa penuh dengan teori konspirasi masing-masing. Sebab itu siri rencana yang disiarkan oleh The Economist yang memburuk-burukkan Perdana Menteri semacam menyimbah minyak ke dalam api kepada golongan yang mendukung teori konspirasi itu.
Begitulah halnya dengan politik dan mereka yang menjadi pemainnya. Mainan politik, daripada pengamatan Awang, boleh menjadi kejam, memualkan dan penuh dengan kepura-puraan.
Bagaimanapun Awang yakin Perdana Menteri, sebagai seorang yang sudah sebati serta masak dengan sepak terajang politik, tidak akan terganggu dengan semua itu.
Dengan penegasan bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada tahun hadapan dan bahawa beliau tidak lagi akan mengetuai kempen Barisan Nasional nanti, sewajarnya sudah tidak ada apa-apa lagi spekulasi mahupun pembikinan dan lontaran teori konspirasi yang baru.
Penilaian `lulus cemerlang' yang Perdana Menteri berikan kepada timbalannya selama beliau memangku jawatan, sewajarnya diterima dengan hati terbuka. Usahlah ada yang cuba memperkecilkan penilaian itu.
Sudah tentu perhatian kini semakin tertumpu kepada pengisian kekosongan jawatan Timbalan Perdana Menteri, selepas Oktober nanti. Bahawa ada bahagian UMNO yang membuat resolusi menyokong pemimpin tertentu menunjukkan bahawa ada yang tidak dapat menahan diri daripada cuba mempengaruhi pelantikan tersebut yang merupakan hak mutlak Perdana Menteri pada masa itu.
Jika tidak dikawal, langkah membuat usul seperti itu tentunya akan menggerakkan satu kempen untuk menonjolkan calon masing-masing.
Ini sudah tentu menyusahkan Abdullah. Nasib baik nasihatnya supaya bahagian-bahagian UMNO tidak membuat sebarang usul berhubung siapa yang harus menjadi timbalan beliau, dipatuhi.
Pun begitu, mereka yang berkepentingan akan mencari jalan lain. Tidak kurang juga yang akan terus cuba memberi gambaran tidak positif tentang Abdullah. Tidak sukar mengesan tingkah laku mereka.
Awang percaya Abdullah sedar semua ini dan Perdana Menteri juga sedar. Sebelum mereka itu terlupa, ingatlah - manusia hanya boleh merancang.
Apa motif serangan di Riyadh
APA yang dijangka sudah pun berlaku - berlaku lebih awal daripada yang dijangka.
Pengeboman berani mati di Riyadh Selasa lalu mungkin permulaan kepada tindak balas terhadap keganasan Amerika Syarikat ke atas Iraq.
Penaklukan Baghdad, seperti yang diramal oleh semua, akan mencetuskan satu konfrontasi di antara umat Islam dengan Britain dan Amerika.
Di Iraq sendiri, Awang percaya, rakyat akan bangkit menentang, lambat-laun.
Bahawa pengeboman itu berlaku di Arab Saudi yang bergantung kepada Amerika Syarikat untuk melindunginya, bukan sesuatu yang memeranjatkan. Mungkin ini juga tindak balas ke atas sebuah negara Islam yang bersekongkol dengan Amerika Syarikat.
Bila membaca berita tentang serangan berani mati itu di mana 10 orang rakyat Amerika turut terbunuh, teringat terus Awang kepada satu pendapat yang mengatakan bahawa penaklukan Iraq akan menjadi permulaan kepada perubahan pemerintahan di Asia Barat, khususnya di Arab Saudi.
Arab Saudi didakwa menjadi sarang golongan pelampau. Jangan lupa, Osama bin Laden berasal dari negara ini.
Ada juga yang berpendapat bahawa serangan tersebut bukan disasarkan ke atas orang Amerika, tetapi lebih berupa cubaan untuk menggoncang kerajaan Arab Saudi.
Setiausaha Negara Amerika, Colin Powell, yang kebetulan berada di Arab Saudi, dengan cepat menuduh Al-Qaeda manakala bosnya, Presiden Bush berikrar akan memburu mereka yang bertanggungjawab.
Jika benar Al-Qaeda yang melakukannya, bermakna ia satu tamparan ke muka Amerika. Setelah melakukan dua serangan - ke atas Afghanistan dan Iraq yang dilihat sebagai sumber keganasan, mereka masih tidak ke mana.
Apa tujuan sebenar serangan itu akan diketahui nanti. Tapi pemerhati politik di rantau itu lebih cenderung mempercayai bahawa serangan itu bertujuan melemahkan kerajaan beraja di Arab Saudi dengan harapan membawa masuk ideologi melampau.
Jika Amerika menyerang Iraq atas alasan ia memiliki senjata bahaya, apa pula yang hendak dilakukan ke atas Arab Saudi?
Jangan lupa, tiada senjata pemusnah dijumpai, tapi Iraq diserang juga dengan alasan lain iaitu Presiden Saddam Hussein ada kaitan dengan jutawan Arab yang dikehendaki Amerika, Osama bin Laden.
Bila kaitan ini gagal dibuktikan, mereka beri pula alasan mahu menyelamatkan rakyat Iraq dengan menukar kerajaan kerana Saddam dikatakan pemerintah berkuku besi.
Sesungguhnya, Iraq adalah satu masalah lain yang tiada kena-mengena dengan keganasan. Yang meletupkan World Trade Center di New York pada 11 September tiada kaitan dengan Iraq, tapi ada kaitan dengan Arab Saudi.
Apakah Presiden Bush akan juga menyerang Arab Saudi atas alasan menghapuskan keganasan?
Jangan lupe rakyat biasa
KHABARNYA, pakej ekonomi yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri minggu depan mengandungi pelbagai insentif untuk sektor industri serta perniagaan sederhana dan kecil.
Juga, perhatian khusus akan diberikan kepada sektor pelancongan yang terjejas akibat serangan virus SARS.
Sebenarnya, semua pihak menaruh harapan akan turut mendapat sesuatu daripada pakej tersebut, tidak kira sama ada mereka terjejas atau tidak hingga pakej itu semakin kelihatan seperti satu `belanjawan kecil.'
Pakej ekonomi lazimnya ditujukan kepada sektor industri kerana tujuannya ialah untuk menjana pertumbuhan. Perhatian kurang diberikan kepada pengguna dan `orang kecil.' Awang harap kali ini pakej itu mengandungi habuan bermakna untuk mereka. Tapi janganlah dorong mereka berbelanja dengan cara mengurangkan caruman KWSP pihak pekerja.
Sementara sektor industri dan perniagaan memang wajar diberikan pertolongan, Awang harap kerajaan tidak lupa kepada rakyat biasa yang tidak mampu membeli rumah pertama.
Pembelian rumah pertama, pada hemat Awang, adalah satu keutamaan besar dan kerajaan hendaklah menawarkan sesuatu untuk membolehkan golongan berpendapatan rendah membeli rumah agar taraf hidup mereka dapat dipertingkatkan.
Mengambil kira kadar faedah yang rendah hari ini, Awang rasa sekaranglah masa sesuai bagi kerajaan menolong golongan tersebut yang tidak mampu membayar pendahuluan 10 peratus.
Begitu juga, perlu dicetuskan insentif untuk mereka yang sudah memiliki rumah memperbaiki rumah masing-masing supaya ia lebih selesa. Kita semua sedar bahawa suasana tidak selesa di dalam rumahlah yang mendorong anak-anak melepak di sana sini dan kemudian timbul masalah sosial.
Pemilikan rumah yang selesa sesungguhnya adalah keperluan nombor satu yang perlu sentiasa diberikan perhatian. Pakej itu hendaklah turut menyediakan satu kaedah pinjaman yang mudah untuk golongan yang kurang mampu.
Awang tidak nampak kenapa kerajaan tidak boleh menggunakan Bank Simpanan Nasional untuk tujuan ini.
Bagi membantu pemandu-pemandu teksi yang mengalami masalah ketiadaan penumpang akibat SARS, kerajaan wajar menimbang mengecualikan cukai jalan mereka bagi setahun dua.
Peniaga kecil, terutama sekali peniaga kecil Melayu, seperti selalu juga memerlukan pertolongan dalam suasana ekonomi yang tidak memberangsangkan sekarang. Pun begitu, Awang harap mereka tidak terlalu bergantung kepada kerajaan dan tidak terlalu banyak berhutang.
Awang yakin jika kerajaan memenuhi sebahagian daripada harapan rakyat biasa, pakej ekonomi itu akan lebih bermakna. Membantu rakyat melahirkan keluarga bahagia hendaklah dilihat sebagai tugas besar dan mustahak. Slogan dan retorik tidak membawa kita ke mana.
IKLAN@UTUSAN
|