|
Kerana Tanah, MB pening kepala
DENGAR khabar Menteri Besar Selangor tidak senang hati apabila seorang ahli Dewan Undangan Negeri daripada DAP mempersoalkan pemberian tanah kepada beberapa anggota Exco dan pegawai serta kakitangan kerajaan negeri itu.
Beliau telah bersusah payah membuat penjelasan panjang lebar. Menurutnya, daripada 20,000 permohonan lot yang diluluskan setakat ini, cuma 800 orang kakitangan kerajaan sahaja yang dapat.
Awang tidak nampak kenapa Menteri Besar dan Ketua Menteri perlu gusar dengan DAP atau mana-mana parti lain yang membangkitkan soal pemberian tanah ini.
Kerajaan negeri berhak memberi tanah untuk rumah kediaman dan pertanian kepada penduduk negeri termasuk pegawai dan kakitangan awam. Parti Pas tentu lebih mengetahui kerana ia memerintah dua buah negeri.
Pada pandangan Awang, apa yang perlu diberi perhatian cuma satu perkara sahaja - ketelusan.
Proses pemberian tanah negeri hendaklah dibuat dengan cermat, telus dan tanpa pilih kasih. Jika ini dijaga, tidak ada apa yang hendak dirisaukan. Jika tidak dijaga, tentulah akan ada masalah.
Yang penting, kerajaan negeri boleh mempertahankan keputusan yang dibuatnya. Jika semuanya telus dan dibuat mengikut peraturan, Menteri-Menteri Besar tidak akan pening kepala.
Kalaupun ada masalah, ia tentang sama ada pemberian itu adil atau tidak - siapa yang patut dapat, siapa yang tidak.
Menteri Besar hendaklah boleh menjawab dengan penuh yakin jika timbul pertanyaan kenapa si anu dapat, si anu tidak. Atau, kenapa yang sudah lama menabur bakti tidak dapat, tapi yang baru pula dapat.
Hubungan hakim-peguam
PERNAH heboh pada satu ketika dulu tentang seorang hakim bergambar dengan seorang peguam dalam satu percutian di luar negara. Walaupun mereka cuma bersahabat dan bertemu secara kebetulan, gambar pertemuan mereka yang sedang bercuti di tempat yang sama telah mencetuskan sedikit kontroversi.
Persoalannya, sejauh manakah dibolehkan seorang hakim bergaul dengan peguam?
Semasa Awang budak-budak dulu, Awang ada mendengar cerita tentang hidup seorang hakim yang begitu terpisah dengan hidup orang biasa - hakim tidak boleh naik bas, tidak boleh makan di bawah pokok, tidak boleh pergi pasar. Tertanya-tanya Awang siapa yang membelikan ikan dan sayur untuk mereka. Jika dia hendak makan nasi kandar, popia atau roti canai, ke mana dia hendak pergi?
Membosankan. Maka Awang pun tidak mahu jadi hakim dan ingin jadi peguam kerana kerja ini juga hebat dan boleh buat banyak duit. Peguam bebas bergaul dengan sesiapa sahaja.
Hari ini, setelah Awang menjadi seorang dewasa dan hanya mampu bekerja sebagai wartawan, perihal pergaulan hakim masih menjadi isu.
Bapak menteri kita, Dr. Rais Yatim mendedahkan terdapat beberapa tindakan segelintir hakim yang menyebelahi peguam tertentu. Katanya, ini terjadi kerana hubungan rapat antara hakim dengan peguam.
Masalahnya, perkara ini sangat sukar hendak dibuktikan. Pun begitu, ia tidak boleh dibiarkan berlaku kerana kewibawaan mahkamah akan hancur jika orang ramai percaya dalam mahkamah pun boleh berlaku kong kali kong.
Rais tidak pula menghuraikan apa sebenarnya yang berlaku apabila hakim menyebelahi peguam - apakah dia memenangkan kes peguam itu? Jika itulah maksudnya, apakah ini bermakna hakim itu mendapat habuan?
Awang takut memikirkan hal ini. Awang doakan bukan ini yang berlaku dan bukan ini maksud Rais.
Memelihara kewibawaan serta imej mahkamah adalah tanggungjawab kita semua, bukan tanggungjawab mereka yang terlibat dalam profesion itu semata-mata.
Maka Awang mengalu-alukan langkah hendak memberi kuasa lebih besar kepada Ketua Hakim Negara dalam pindaan Kod Etika Hakim 1994 untuk mengawal dan mengambil tindakan disiplin terhadap para hakim.
Dalam hal ini Awang angkat topi kepada Rais kerana menyebut bahawa ``pendapat yang menyatakan bahawa para hakim bebas dan tidak memerlukan satu peraturan merupakan satu fiksyen.'' Memang tepat. Mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan dan kelemahan.
Dalam pada itu, Awang terpaksa juga bertanya, jika semua peguam hanya memikirkan soal duit dan tidak mahu hidupnya terkongkong, siapa yang hendak jadi hakim?
Biarlah mereka sendiri menjawab.
Jangan bergantung pada kerajaan
KERAJAAN akan mengumumkan pakej untuk merangsangkan ekonomi yang dinanti-nantikan itu tidak lama lagi. Ramai yang menjadi semakin tidak sabar menunggunya ekoran gejala SARS yang telah mengacau-bilaukan ekonomi negara-negara yang diserang virusnya.
Pada asalnya, pakej rangsangan itu dibuat bagi menangani kesan daripada perang Iraq. Perang itu tidak berlarutan. Bagaimanapun di luar imaginasi semua, dunia menghadapi ancaman SARS. Nampaknya, kesan yang akan ditinggalkan SARS ke atas ekonomi kita akan lebih teruk daripada kesan perang Iraq.
Mengambil kira keadaan semasa terutama sekali kesan buruk yang dibawa virus SARS ke atas perkhidmatan pengangkutan, peruncitan serta sektor pelancongan, kerajaan perlu memperkenalkan langkah-langkah fiskal supaya pakej itu dapat menggerakkan pertumbuhan jangka pendek.
Sebenarnya, pakej itu dibuat bagi memenuhi keperluan jangka panjang dengan cadangan memperkenalkan langkah-langkah baru ke arah menjadikan Malaysia lebih kompetitif.
Tapi dalam keadaan sekarang di mana faktor keyakinan terjejas teruk, perhatian serta penekanan pakej itu tidak dapat lari daripada mengembalikan keyakinan yang terjejas itu.
Pun begitu, sektor swasta tidaklah boleh mengharapkan kerajaan memperkenalkan satu pakej fiskal yang terlalu besar. Dan lebih penting, mereka tidaklah boleh bergantung sepenuhnya pada kerajaan untuk sekali lagi memikul tugas dan beban memperbaiki keadaan.
Sektor-sektor yang terlibat dalam pelancongan tentunya akan meminta kerajaan membantu mereka mengharungi masa sukar ini akibat SARS. Sektor pembuatan pula akan meminta bantuan untuk melonjakkan pengeluaran di tengah-tengah pertumbuhan perlahan di seluruh dunia.
Kerajaan tidak akan dapat memenuhi segala permintaan mereka. Mereka hendaklah bersedia menerima hakikat ini.
Ingatlah, walaupun Malaysia terjejas akibat perang Iraq dan serangan SARS, kita masih berada dalam kedudukan lebih baik dibandingkan Singapura dan Hong Kong mahupun China.
Kejatuhan dari segi kedatangan pelancong tidaklah seburuk yang dialami Singapura yang merudum sebanyak 65 peratus dalam bulan April sahaja.
Kesimpulannya, setiap kali kita menghadapi masalah, sektor swasta dan orang ramai melihat kepada kerajaan untuk mendapatkan pertolongan. Kita tidak boleh berterusan macam ini.
Sektor perniagaan hendaklah membina daya tahan yang lebih kuat dan menerima hakikat mereka perlu menanggung risiko. Orang ramai pula hendaklah menerima hakikat bahawa seperti ekonomi negara-negara lain, ekonomi Malaysia juga ada pasang surutnya.
Mengharapkan air pasang sentiasa adalah tidak realistik sama sekali.
Degil atau tidak yakin
Awang difahamkan ramai cikgu yang terasa hati sedikit dengan amaran Menteri Pendidikan baru-baru ini.
Kata menteri, guru-guru yang didapati tidak menggunakan bahasa Inggeris (BI) dalam pengajaran Sains dan Matematik akan dikenakan tindakan disiplin.
Amarannya itu adalah sebagai reaksi kepada rungutan ibu bapa bahawa terdapat guru tingkatan enam yang tidak menggunakan BI dalam mata pelajaran yang sepatutnya.
Perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Kerajaan telah menyediakan segala peralatan dan perisian mengajar yang canggih termasuk skrip mengajar yang lengkap. Tidak ada sebab kenapa masih ada guru yang berdegil.
Bahawa guru-guru itu tidak mahu berusaha untuk memperbaiki diri dan menggunakan segala kemudahan yang diberikan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Kita juga tidak mahu ada guru yang tidak melaksanakan apa yang diarahkan kerana mereka sendiri pesimis dengan dasar baru kerajaan itu.
Pun begitu, Awang tidak mahu menyimpan buruk sangka kerana percaya tidak ada guru yang mahu melihat anak didiknya gagal.
Awang juga mahu mempercayai jika benar ada antara mereka yang masih tidak melaksanakan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, ini kerana mereka sebenarnya tidak mampu kerana tidak menguasai bahasa itu dengan cukup baik - bukan kerana mereka sengaja mahu mengingkari dasar itu.
Daripada membiarkan anak murid lebih keliru dengan apa yang disampaikan dalam BI yang mereka sendiri lemah, mereka memilih untuk tidak mahu mencuba langsung. Dan daripada diketawakan murid-murid yang lebih fasih berbahasa Inggeris, guru-guru ini mengambil jalan mudah dengan tidak mengikut arahan.
Awang rasa Kementerian Pendidikan perlu bertolak ansur. Jangan lupa, asas pendidikan guru-guru kita ialah dalam bahasa Melayu, sepenuhnya.
Di pihak kementerian sendiri pun kursus-kursus bagi meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik atau English for Teaching Mathematics and Science (ETeMS) juga masih belum tamat sepenuhnya.
Ini bermakna masih ada guru-guru yang belum diberikan pendedahan bagaimana hendak melaksanakan dasar tersebut dengan berkesan.
Pada peringkat awal pelaksanaan, masalah ini perlu ditangani secara berhemah dengan menerima kelemahan dan kekurangan dan mengambil langkah memperbaikinya.
Pada peringkat awal ini juga adalah tidak adil untuk kita mengukur kejayaan dasar menggunakan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik berdasarkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan mata pelajaran terlibat.
Pun begitu, mengabaikan dasar tersebut tetap satu kesalahan yang tidak boleh dibiarkan.
IKLAN@UTUSAN
|