VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 September 2014 / 6 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
TENTERA

ARKIB : 01/05/2003

Musa Hussain - Peristiwa pahit hampir meragut nyawa

SETIAP kali menanggalkan baju di depan cermin dan terpandang kesan parut di bahu kanannya, spontan fikiran Koperal Musa Hussain, 48, menerawang teringat peristiwa pahit yang hampir-hampir meragut nyawanya kira-kira 28 tahun lalu.

Tragedi berdarah yang berlaku Hutan Keramat Pulai, Ipoh, Perak pada 3 Jun 1976 itu masih segar dalam ingatannya kerana di situlah beliau nyaris terkorban akibat terkena tembakan oleh pengganas komunis.

Lebih menyayat hatinya, di hutan itulah beliau menyaksikan sendiri empat orang rakan seperjuangannya gugur sebagai perwira negara.

Musa merupakan satu-satunya anggota rekrut konstabel Pasukan Polis Hutan (PPH) yang bernasib baik kerana sempat diselamatkan walaupun mengalami pendarahan teruk selepas sebutir peluru musuh menembusi bahu kanannya.

Peristiwa bersejarah ini berlaku ketika lebih 360 rekrut konstabel menjalani fasa terakhir latihan `Final Ops'. Latihan tersebut dijangka diadakan selama dua minggu mulai 1 Jun 1976.

``Lima hari sebelum memulakan latihan tersebut, kami telah diberikan taklimat tentang keadaan di dalam hutan oleh Komandan Sekolah Latihan Asas PPH Ulu Kinta, Deputi Supritendan Arbis.

``Dalam taklimat tersebut, kami dimaklumkan bahawa latihan akan diadakan di Ops Setia 8, Perak. Sebahagian daripada kawasan ini selamat tetapi ada yang masih menjadi kawasan hitam kerana diduduki oleh pengganas komunis,'' kata Musa menceritakan semula detik-detik cemas yang pernah dilaluinya.

Menurutnya, beliau bersama 35 orang rakannya dipilih menganggotai Platun 11 untuk ditempatkan di kawasan Keramat Pulai yang masih diisytiharkan sebagai kawasan hitam.

Masuk hari ketiga latihan iaitu 3 Jun 1976, Musa bersama 20 rakannya diketuai jurulatih mereka, Koperal Ridzuan telah diarahkan oleh Ketua Platun 11, Sarjan Ramli keluar membuat rondaan. Baki beberapa anggota lagi tinggal di pangkalan menjaga keselamatan barang-barang.

``Saya dapat rasa rondaan yang dijalankan mulai pukul 8 pagi itu terlalu jauh meredah hutan dan bukit-bukau. Tiba di bukit pertama pada pukul 12 tengah hari, kami sudah penat dan bersedia untuk berhenti rehat dan makan tengah hari.

``Koperal Ridzuan berbincang dengan kami untuk mencari tempat makan yang sesuai dan mencadangkan supaya kami meneruskan perjalanan ke bukit kedua,'' katanya kini bertugas di Platun 3, Kompeni A, Batalion Ke 4, Pasukan Gerakan Am di Cheras, Kuala Lumpur.

Semasa mendaki bukit kedua yang dikenali sebagai Bukit Keramat Pulai, kata Musa, Koperal Ridzuan langsung tidak terfikir bahawa kawasan itu mungkin bahaya kerana ada kesan mencurigakan berdasarkan kepada tulisan Cina yang dijumpai pada pokok-pokok dan dahan-dahan kayu yang patah.

Pada pukul 12.45 tengah hari, katanya, mereka tiba di kawasan lapang di tengah bukit berkenaan. Koperal Ridzuan mengarahkan mereka berehat di situ.

Bagi memastikan keadaan benar-benar selamat, Koperal Ridzuan telah mengarahkan tiga anggotanya iaitu rekrut konstabel Zainal, Yusof dan Md. Saad membuat pemeriksaan setempat.

``Semasa hendak melabuhkan punggung, tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kuat seperti mercun. Timbul rasa hairan di fikiran saya kerana mustahil orang bermain mercun di dalam hutan.

``Kami tersentak apabila mendengar Zainal, Yusof dan Md. Saad menjerit kuat perkataan `komunis'. Mendengar jeritan itu, Koperal Ridzuan segera bangun untuk melihat apa yang berlaku tetapi malangnya beliau sendiri terkena tembakan pada sebelah matanya,'' kata Musa.

Keadaan menjadi kelam-kabut apabila mereka menyedari sudah diserang hendap oleh komunis dari setiap sudut di atas bukit tersebut menyebabkan pasukan mereka berpecah.

Kata Musa, kebanyakan daripada anggota pasukannya dapat melarikan untuk meminta bantuan dari Balai Polis Teluk Pulai, manakala tiga lagi rakannya yang lain sempat turun ke kaki bukit dan berlindung di kawasan paya berhampiran.

``Yang tinggal hanya saya bersama tiga lagi anggota yang lain iaitu Mohd. Nor, Mohamad Salim dan Saari.

``Walaupun menyedari Koperal Ridzuan, Zainal, Yusof dan Md. Saad sudah mati tetapi kami berempat tidak panik.

``Walaupun tanpa ketua, dengan bersemangat kami mara ke hadapan membalas tembakan musuh sambil menjerit kuat perkataan `platun', `kompeni' dan `divisyen mara beramai-ramai','' katanya sambil menjelaskan tujuan mereka membuat bising adalah bagi mengelirukan musuh kononnya anggota mereka masih ramai.

Semasa sedang berbalas-balas tembakan itu, tiba-tiba Musa terasa bahu kanannya sakit seperti terkena gigitan nyamuk. Sangkaannya meleset apabila beliau melihat tapak tangannya berlumuran darah selepas menepuk bahunya itu.

Perlahan-lahan beliau merasakan separuh daripada tubuhnya tidak boleh bergerak akibat tembakan itu. Musa terpaksa membiarkan tiga rakannya berjuang sendirian sementara beliau menyerahkan nasibnya kepada Tuhan.

Kira-kira pukul 2 petang, barulah bunyi tembak-menembak berhenti. Musa yang lemah kerana kehilangan banyak darah mendengar komunis menyebut perkataan `cau...cau...cau' mengarahkan anggota mereka berundur.

Setelah keadaan tenang, enam anggota yang selamat termasuk mereka yang berlindung di kawasan paya datang membantu membalut luka pada bahu Musa.

``Sehingga pukul 6 petang, masih tidak ada orang datang memberi bantuan kepada kami menyebabkan enam kawan saya tadi terpaksa memapah saya keluar dari hutan.

``Setelah meredah belukar dan paya, kami akhirnya tiba di sebuah kawasan lombong bijih timah di Keramat Pulai.

``Di situ, kami meminta seorang lelaki tua Melayu membantu menelefon ke Sekolah Latihan Asas Ulu Kinta untuk memaklumkan kejadian tersebut,'' katanya sambil memberitahu mayat Koperal Ridzuan, Zainal, Yusof dan Md. Saad serta senjata mereka terpaksa ditinggalkan di dalam hutan.

Pada pukul 10 malam, katanya, barulah bantuan dari Ulu Kinta dan anggota tentera tiba ke situ. Musa segera dihantar ke Hospital Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut. Beliau menerima rawatan selama sebulan di situ sebelum dipindahkan ke Hospital Tentera Kem Terendak, Melaka.

Selepas sebulan dirawat di Hospital Kem Terendak, Musa dibenarkan pulang ke rumahnya di Kampung Keru, Tampin di Negeri Sembilan.

Kesan kecederaan yang dialaminya menyebabkan tangan kanannya lumpuh. Bagaimanapun, atas nasihat doktor beliau dapat pulih seperti sedia kala kerana rajin membuat senaman. Namun, sekali-sekali beliau masih lagi terasa kebas dan sengal pada tangannya itu.

Nasib Musa agak berbeza berbanding beberapa rakannya yang sama-sama bertempur di Bukit Keramat Pulai. Bagi menghargai pengorbanannya, beliau dihadiahkan sejumlah wang sagu hati. Wang tersebut habis digunakannya untuk berubat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:24
Maghrib 7:21
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.