Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 05/02/2003
Polis siasat misteri 2 mayat wanita ditemui berdekatan

Polis siasat misteri 2 mayat wanita ditemui berdekatan

Oleh:SYAHRIL ABDUL KADIR dan METRA SYAHRIL MOHAMED
KAJANG 4 Feb. - Polis sedang menyiasat bagaimana dua mayat wanita - ibu kepada Mohd. Fauzan Naim Sufian, Norhanani Yahya, yang disahkan oleh keluarganya hari ini dan seorang lagi masih belum dikenali,- ditemui berdekatan antara satu sama lain di Semenyih dekat sini semalam dan kelmarin.

Norhanani, 30, seorang kakitangan Maybank di Ampang ditemui mati petang semalam dan mayatnya disahkan oleh suami dan adiknya di bilik mayat Hospital Kajang petang ini.

Kehilangan Norhanani sejak 28 Januari lalu menjadi `misteri' apabila seorang lelaki menemui anaknya, Naim, pada hari itu dalam keadaan kelaparan di pinggir hutan berhampiran tempat longgokan sampah di Jalan Tekali dekat Semenyih.

Utusan Malaysia difahamkan Norhanani tidak lagi tinggal bersama suaminya Sufian Mat Noor, walaupun mereka masih suami isteri.

Polis sehingga kini masih `kebingungan' mengenai kes tersebut, sama ada kedua-dua mayat yang ditemui itu mempunyai kaitan atau tidak dan jika ada apakah motifnya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kajang, Deputi Supritendan Zainuddin Ahmad, polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat penemuan kedua-dua mayat wanita itu.

Zainuddin berkata, mayat Norhanani ditemui dalam keadaan reput mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan polis percaya mangsa telah dipukul dengan menggunakan benda keras.

``Mulut mangsa juga didapati ditampal dengan menggunakan pita pelekat.

``Sehubungan itu, pihak polis akan menjalankan siasatan rapi ke atas kes tersebut dan meminta mereka yang mempunyai sebarang maklumat agar tampil untuk membantu siasatan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penemuan Naim tempoh hari dituntut oleh bapanya, Sufian tiga hari selepas kehilangan Norhanani di Balai Polis Batu 14, Hulu Langat.

Sufian yang berniaga sendiri di kampungnya di Trolak, Perak, sebelum ini menyangka anaknya masih berada bersama isterinya walaupun gagal menghubungi isterinya sejak minggu lepas.

Sementara itu suasana sedih menyelubungi rumah mayat Hospital Kajang apabila ramai saudara mara mangsa berkumpul di sana sebaik sahaja diberitahu mengenai penemuan mayat Norhanani.

Menurut adik mangsa, Norhalimin Yahya, beliau yakin mayat berkenaan adalah kakaknya kerana dapat mengecam seluar, baju, tudung, manik dan rantai emas yang dijumpai bersama mayat tersebut.

Norhalimin yang dipanggil polis ke bilik mayat Hospital Kajang menambah, keyakinan itu bertambah apabila beliau melihat rambut mangsa yang memang seiras dengan rambut Norhanani.

``Kami akan membuat persiapan untuk menguruskan jenazahnya manakala ibu dan bapa saya yang kini sedang menunaikan ibadat haji di Mekah juga sudah dimaklumkan mengenai perkembangan perkara tersebut,'' katanya.

Sementara itu menurut Sufian, beliau dapat mengecam mayat isterinya berdasarkan tanda tahi lalat di bawah bibir di samping pakaian yang ditemui bersamanya.

``Saya dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pagi ini dan terus bergegas ke hospital selepas itu,'' katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tragedi yang menimpa isterinya itu dan menyerahkan perkara berkenaan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN