Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
MUKA HADAPAN

ARKIB : 01/02/2003
Kehilangan ibu Naim pula jadi misteri

Kehilangan ibu Naim pula jadi misteri

Oleh: METRA SYAHRIL MOHAMEDKUALA LUMPUR 31 Jan. - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang ditemui dalam keadaan kelaparan di pinggir hutan berhampiran tempat longgokan sampah di Jalan Tekali dekat Semenyih, Selasa lalu, dituntut oleh bapanya hari ini.

Kanak-kanak itu, Mohd. Fauzan Naim Sufian dituntut oleh bapanya, Sufian Mat Noor, 31, di Balai Polis Batu 14, Hulu Langat pada kira-kira pukul 5 petang setelah membaca berita mengenai penemuan seorang budak di pinggir hutan oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Tetapi pertemuan antara kedua-dua beranak itu bagaimanapun menimbulkan misteri terhadap `kehilangan' isteri Sufian.

Sufian yang berniaga sendiri di kampungnya di Trolak, Perak, sebelum ini menyangka anaknya masih berada bersama isterinya, Norhanani Yahya, 30, walaupun gagal menghubungi isterinya yang bekerja di sebuah bank di Ampang, sejak Rabu lepas.

Beliau biasanya pulang ke Ampang pada hujung minggu.

Bagaimanapun, kakitangan bank itu memaklumkan kepada beliau bahawa isterinya sudah dua hari tidak datang bekerja.

Selain telefon bimbit isterinya dimatikan, Sufian dimaklumkan bahawa anaknya yang biasa dipanggil `Naim' sudah dua hari tidak dihantar oleh Norhanani ke pusat jagaan kanak-kanak di Ampang.

``Saya mula mengesyaki sesuatu telah berlaku ke atas keluarga saya ketika diberitahu pula oleh pengasuh Naim di pusat jagaan kanak-kanak itu kelmarin yang menyatakan isteri saya sudah dua hari tidak menghantar Naim ke situ.

``Isteri saya biasanya akan menghantar Naim ke pusat itu di Lembah Jaya, Ampang dan mengambilnya, disebabkan tiada siapa yang akan menjaganya kerana datuk dan nenek Naim sedang mengerjakan haji.

``Selepas mengesyaki sesuatu, saya terus berkejar ke Ampang dari Trolak pada hari yang sama untuk mengetahui apa yang sebenarnya telah terjadi,'' katanya ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di Balai Polis Batu 14.

Menurut beliau, setelah usaha mencari isteri dan anaknya gagal, beliau terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

Walaupun sudah menemui anaknya, Sufian masih keliru apakah kaitan penemuan Naim di pinggir hutan tersebut dengan kehilangan isterinya.

Beliau bertambah keliru kerana semasa baru pulang ke rumahnya di Ampang Rabu lalu, jirannya di kampung (Trolak) memberitahu ada seorang perempuan yang mengaku dirinya Norhanani menelefonnya dalam keadaan pelik.

``Kebiasaan isteri saya akan memanggil nama saya dengan panggilan Mat Shah apabila membuat panggilan telefon ke kampung dan hanya panggilan itu sahaja yang orang kampung mengenali diri saya.

``Tetapi kali ini perempuan itu yang mengaku isteri saya memanggil dengan panggilan nama Sufian,'' katanya.

Tambah beliau, polis masih menyiasat mengenai kes tersebut.

Sufian juga tidak mahu mengaitkan terlalu awal bahawa isterinya telah diculik dan berharap sesiapa yang mempunyai maklumat supaya menghubungi IPD Ampang di talian 03-42522222 atau 03-42524866.

Sementara itu, Sufian memberitahu bahawa anaknya telah memberitahu polis bahawa dia diletakkan di pinggir hutan itu oleh seorang lelaki.

Katanya, Naim memberitahu: ``Abang letak Naim dekat longkang.''

Kanak-kanak tersebut yang berpakaian baju tidur ditemui dalam keadaan kelaparan dan kesejukan oleh seorang lelaki Cina yang hanya mahu dikenali sebagai Angah, 47, semasa dia dalam perjalanan ke kebunnya di Jelebu, Negeri Sembilan pada pukul 6.15 pagi.

Sufian ketika diminta menjelaskan mengenai kenyataan anaknya itu, berkata, `abang' yang dimaksudkan oleh anaknya itu tidak diketahui dan masih menjadi tanda tanya.

``Naim tidak akan memanggil seseorang dengan panggilan abang jika tidak dikenali dan hanya orang yang betul-betul rapat dengannya sahaja akan dipanggil sedemikian,'' ujar beliau lagi.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN