VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 12/01/2003

Orang Melayu matikan Utusan Melayu

Oleh Ku Seman Ku Hussain
PADA 1 Januari lalu tidak ada sesuatu yang luar biasa dirasakan oleh orang Melayu di negara ini. Mereka tidak berasa kekurangan daripada hari-hari biasa.

Tidak ada peristiwa besar kecuali malam sebelumnya orang Melayu bermandi cahaya percikan bunga api melintasi Menara Berkembar Petronas. Malah ada juga yang menutup tirai tahun 2002 di Dataran Merdeka bersama muzik pop.

Hari itu berlalu seperti biasa tetapi sejarah tercatat juga biarpun tidak disedari nilainya pada ketika ini.

Tentunya 1 Januari itu tidak sama dengan 29 Mei 1939 di mana orang Melayu menatang kelahirannya dengan keringat dan air mata bangsa. Enam dekad usia berlalu dan realiti akhirnya terpaksa diterima bahawa kini ia tidak lagi menjadi kebanggaan bangsanya.

Demikianlah nasib yang terpaksa dilalui oleh akhbar jawi, Utusan Melayu pada 31 Disember lalu. Sejarah penting dunia persuratkhabaran Melayu tercatat lagi apabila hari itu adalah keluaran terakhir Utusan Melayu sebagai akhbar harian. Akhbar harian jawi ini ditransformasi menjadi akhbar jawi mingguan dengan nama Utusan Melayu Mingguan.

Setelah lebih 60 tahun, tulisan jawi yang dulunya sinonim dengan orang Melayu tidak dibawa ke dalam arus perdana semasa. Definisi moden bagi kebanyakan Melayu pula membuatkan jawi agak tertinggal di belakang. Jawi tidak mampu menjadi jambatan kaum kerana orang Melayu sendiri tidak meyakinkan kaum lain menghormati warisan yang satu ini.

Tulisan jawi terus kehilangan khalayak. Kalau Utusan Melayu boleh dilihat sebagai cermin, maka transformasi menjadi akhbar jawi mingguan ada kena-mengena dengan sikap Melayu sendiri.

``Orang Melayu kurang kesedaran terhadap sejarah, tradisi dan sumbangan yang tidak ternilai institusi seperti akhbar Utusan Melayu,'' kata Datuk Johan Jaaffar ketika ditanya mengenai transformasi akhbar jawi harian itu menjadi akhbar mingguan.

Johan yang merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan mengakui, beliau antara mereka yang berasa sedih dengan kehilangan Utusan Melayu sebagai akhbar harian.

Akhbar Utusan Melayu diterbitkan oleh syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. Keluaran kedua Utusan Melayu Mingguan telah berada di pasaran. Usaha menerbitkannya dalam bentuk mingguan bukanlah berpaksi sebagai perniagaan tetapi khidmat sosial kepada masyarakat.

Usaha ini adalah satu lagi pengorbanan besar syarikat Utusan Melayu untuk melihat akhbar jawi terus wujud di negara ini. Utusan Melayu mempunyai signifikan yang sangat besar dalam sejarah bangsa dan negara.

Katakan apa saja sejarah besar negara, semuanya ada terakam dalam Utusan Melayu. Daripada pertemuan Tunku Abdul Rahman dengan Chin Peng di Baling, rusuhan kaum 13 Mei 1969, rusuhan Natrah 12 Disember 1950 dan yang paling besar pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, semuanya ada dalam lipatan sejarah Utusan Melayu.

Kerana itu pertimbangan untung dan rugi tidak mudah dilakukan untuk menentukan nasib akhbar jawi ini.

``Syarikat Utusan Melayu telah mengambil langkah realistik tetapi yang menyumbang kepada kehilangan Utusan Melayu adalah masyarakat Melayu,'' tegas Johan.

Akhbar Utusan Melayu, menurut Johan, bukan sekadar sebuah surat khabar tetapi yang lebih penting Utusan Melayu sebuah produk yang membawa nasionalisme Melayu, dimiliki dan dibiayai oleh orang Melayu.

Akhbar jawi ini pernah merentasi zaman gemilang bermula tahun 40-an lagi. Tokoh-tokoh wartawan dan politik tersohor negara ini sebahagian besarnya dilahirkan oleh Utusan Melayu. Antaranya Bapa Wartawan Malaysia Rahim Kajai, Said Zahari, Wartawan Negara Tan Sri Samad Ismail, bekas Presiden Singapura, Yusof Ishak dan Ishak Mohamad (Pak Sako).

Utusan Melayu juga banyak melahirkan wartawan sasterawan yang menghunus pemikiran yang tajam membangkitkan kesedaran orang Melayu.

Antaranya yang menjadi sebahagian daripada kekuatan akhbar jawi ini ialah Allahyarham Usman Awang (Tongkat Warrant), Kamaluddin Muhamad (Keris Mas), Asraf Wahab dan A. Samad Said.

Samad Ismail dalam buku Ketokohan dan Kewartawanan menulis, ``Pengaruh Utusan Melayu terhadap saya tidak berat sebelah. Ertinya kami saling pengaruh-mempengaruhi. Saya membentuk Utusan Melayu dan Utusan Melayu membentuk jiwa saya. Kami saling terhutang budi antara satu sama lain.''

Dalam buku Suara Keramat sempena 50 tahun Utusan Melayu, Samad menulis, ``Nasionalisme Melayu telah melahirkan anak sulungnya berupa sebuah akhbar harian iaitu Utusan Melayu.''

Transformasi Utusan Melayu menjadi akhbar mingguan mungkin memberikan keinsafan khususnya kepada orang Melayu untuk sama-sama memikirkan peranan mereka melangsungkan satu warisan bangsa. Ketiadaan akhbar harian jawi ini boleh dilihat sebagai kesimpulan kepada krisis yang berlaku di kalangan orang Melayu.

Syarikat Utusan Melayu telah melakukan lebih daripada yang sewajarnya untuk akhbar jawi ini. Bayangkan Utusan Melayu hingga hari terakhirnya mencatat jualan 7,300 naskhah sementara akhbar mingguan jawi, Utusan Zaman mencatatkan 7,550 naskhah. Ini bermakna syarikat ini terpaksa menanggung kerugian RM3 juta setahun semata-mata meneruskan penerbitan Utusan Melayu dan Utusan Zaman.

Katakan apa usaha yang tidak dilakukan oleh syarikat Utusan Melayu untuk memanjangkan hayat akhbar harian jawi ini? Apakah usaha menjadikan edisi harian kepada mingguan ini dilihat sebagai tindakan yang tidak patriotik?

Kalau mengikut perkiraan perniagaan, Utusan Melayu dan Utusan Zaman sewajarnya telah lama ditiadakan. Dengan menanggung kerugian yang telah dijangka pada setiap tahun bukanlah tindakan yang bijak dalam perniagaan.

Tetapi bagi syarikat Utusan Melayu nasib akhbar jawi ini tidak ditentukan oleh kepentingan perniagaan semata-mata. Buktinya kerugian RM3 juta setahun boleh dilihat sebagai pengorbanan syarikat ini membina kekaguman orang Melayu terhadap sejarah dan warisan bangsa.

Sudah pasti antara kecaman sesetengah pihak terhadap syarikat Utusan Melayu tidak ada obligasi sosial terhadap masyarakat. Apa salahnya menanggung kerugian RM3 juta kerana kepentingan warisan, kata mereka.

Jangan mempersoalkan obligasi sosial syarikat Utusan Melayu sebaliknya mereka perlu bertanya di mana komitmen orang Melayu untuk memanjangkan jangka hayat tulisan yang mempunyai signifikan dengan orang Melayu?

Akhbar Utusan Melayu menghadapi kehilangan pembaca. Faktor ini membuatkan akhbar ini tidak mendapat sokongan pengiklanan. Dengan kos penerbitan yang tinggi, tidak ada akhbar yang boleh bertahan dengan jualan semata-mata. Apatah lagi Utusan Melayu yang hanya dijual 7,300 naskhah sehari.

Secara mudah tulisan jawi tidak ada nilai komersial lalu ia tidak ada pembaca. Siapa yang menentukan sesebuah akhbar itu komersial atau tidak kalau bukan orang ramai?

Tranformasi yang dilakukan ke atas Utusan Melayu sebenarnya suatu harapan bahawa edisi hariannya akan diterbitkan semula. Tetapi ini bergantung kepada perubahan yang berlaku di kalangan orang Melayu kerana merekalah penentu akhbar harian jawi ini.

Ironiknya ketika akhbar harian jawi yang sinonim dengan Melayu diketepikan oleh orang Melayu, masyarakat Cina dengan bangga dan gembira menyambut kelahiran sebuah lagi akhbar harian Cina, Oriental Daily News. Akhbar ini bernasib baik kerana mendapat sokongan orang-orang Cina.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.