VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 01/08/2002

Dasar baru perlu untuk sokong susu ibu

Oleh NOOR AZAM SHAIRI
(Wartawan Utusan)
Kalau ditanya kepada banyak ibu kenapa beralih kepada susu formula dan tidak menyusukan sendiri anak mereka, barangkali ada banyak jawapan yang akan kita dengar.

Ayu Aima Yusuf dalam bukunya bertajuk Penyusuan Susu Ibu Menurut Perspektif Islam (2002) menggariskan 7 faktor kenapa para ibu cenderung memberikan susu gantian kepada anak-anak.

Selain rintangan masa dan jadual kerja, ada sesetengah ibu yang melihat penyusuan ibu itu amalan tradisional yang sudah tidak lagi sesuai dipakai pada zaman moden ini.

Ada juga segelintir ibu yang merasakan buah dada adalah objek seks yang mesti dijaga, dan penyusuan ibu akan menyebabkan bentuk badan mereka berubah dan jadi tidak menarik. Ada juga ibu yang beralih kepada susu formula kerana masalah psikologi - takut sakit dan cepat mengalah.

Ketika terpaksa berperang melawan perasaan-perasaan itu, ibu-ibu juga berhadapan dengan serangan iklan susu formula yang mempengaruhi pemikiran mereka supaya meninggalkan amalan yang sihat dan mulia itu.

Selebihnya, ada juga ibu-ibu bekerja yang bersemangat dan bersungguh-sungguh mahu menyusukan sendiri anak mereka tetapi hasrat itu terbantut kerana tiada sokongan infrastruktur seperti bilik khas di tempat kerja atau di tempat awam.

Oleh itu, tentulah tidak salah untuk kita merumuskan bahawa tiada satu faktor eksklusif kenapa masyarakat masih tidak menjadikan penyusuan ibu sebagai satu amalan yang menyeluruh.

Seperti yang digariskan oleh Ayu Aima, ada banyak faktor penghalangnya, dan setiap satu faktor itu tentunya ada jalan penyelesaian yang tersendiri.

Minggu Penyusuan Ibu Sedunia yang bermula hari ini barangkali adalah ruang terbaik untuk kita sekali lagi melihat tahap penyusuan ibu di negara ini.

Ia dianjurkan oleh World Alliance for Breastfeeding Action (WABA), jaringan pertubuhan dan orang perseorangan di seluruh dunia yang percaya bahawa penyusuan ibu adalah hak asasi kanak-kanak dan ibu. Badan dunia yang berpejabat di Pulau Pinang itu komited dalam menggalak dan menyokong hak berkenaan sejak penubuhannya pada 14 Februari 1991.

Minggu yang diraikan setiap tahun itu kali ini mengambil isu Ibu Sihat, Anak Cergas sebagai tema sambutan. Kempen pada tahun ini mahu mengingatkan bahawa penyusuan ibu bukan saja memberi faedah jangka masa panjang kepada bayi tetapi juga kepada kesihatan ibu.

Pakar pendidik keibubapaan, Jennifer Hor berkata, secara umumnya, ada dua faktor kenapa ibu-ibu tidak menyusukan bayi mereka - kurang sokongan dan kurang bimbingan.

``Dari segi kesedaran saya berani mengatakan bahawa ibu-ibu hari ini sudah tahu manfaat susu ibu,'' katanya yang menyediakan perkhidmatan sokongan dan bimbingan selepas bersalin.

Apa yang mahu diingatkan oleh Jennifer ialah walaupun ada banyak halangan, ibu masih boleh menyusukan sendiri bayinya jika ada sokongan dan bimbingan yang sewajarnya.

Namun ada juga pihak yang melihat faktor cuti bersalin yang pendek - 60 hari dan bukan 14 minggu seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) - menjadi antara penyebab kenapa ibu-ibu yang bekerja lebih selesa memberi susu formula kepada anak-anak mereka.

Presiden Persatuan Pekerja Wanita Malaysia (PPWM), Shilam Hassan berkata, masanya sudah tiba untuk kerajaan mengadakan satu kajian yang terperinci tentang letak duduk isu pekerja wanita dan penyusuan ibu.

``Dasar yang ada sekarang mesti diubah demi kepentingan generasi akan datang,'' katanya.

Cadangan menambah cuti bersalin untuk pekerja wanita daripada 60 hari kepada 90 hari telah dibangkitkan oleh Bahagian Wanita MTUC yang ketika itu dipengerusikan oleh Shilam pada awal tahun ini.

Cadangan itu bagaimanapun menjadi kacau-bilau apabila sesetengah pihak `menyampuk dan melatah' dengan meminta cuti untuk bapa juga dinaikkan.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang melihat pertambahan cuti itu dari sudut kos ekonomi cepat membantah. Pada masa yang sama, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dilaporkan masih lagi mengkaji cadangan itu.

Shilam berharap kajian yang dilakukan oleh kementerian itu akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pekerja dan majikan.

Merujuk kepada Konvensyen 183 ILO tentang perlindungan dan hak-hak ibu bersalin yang dipersetujui setelah mengambil kira pandangan tiga pihak - pekerja, majikan dan kerajaan, Shilam berkata, tiada alasan kenapa hal yang serupa tidak boleh dicapai di negara ini.

Dari satu sudut lain, Jennifer berpendapat, cuti bersalin yang pendek bukanlah faktor utama kenapa ibu-ibu tidak menyusukan bayi. Katanya, cuti yang panjang tidak menjamin ibu-ibu akan menyusu badan jika amalan itu tidak digalakkan dari awal selepas bersalin.

``Tetapi cuti bersalin yang pendek itu boleh menjadi faktor penghalang kepada ibu-ibu yang ingin menyusukan bayi mereka untuk satu jangka masa yang panjang,'' katanya.

Biar apa pun keadaannya, ibu-ibu harus digalakkan untuk menyusukan sendiri anak mereka dengan susu badan yang dikurniakan Tuhan. Selain menyihatkan badan ibu dan anak, langkah itu juga menjimatkan kos ekonomi perbelanjaan susu dan masalah kesihatan yang berbangkit kemudian.

Kementerian Kesihatan sejak kebelakangan dilihat ini mengambil pendirian menyokong penuh usaha penggalakan itu. Awal tahun ini saja, ia menggesa hospital swasta supaya bersikap lebih mesra kepada bayi dalam menggalakkan penyusuan ibu. Sekarang ini hanya 2 daripada 92 hospital swasta yang mesra bayi berbanding hospital kerajaan yang sudah mencapai tahap 100 peratus.

Kementerian Kesihatan juga dilaporkan sedang dalam proses mahu mengharamkan semua bentuk iklan susu formula bagi memenuhi Kod Pemasaran Gantian Susu Ibu Antarabangsa yang dipersetujui oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Dengan kadar hanya 29 peratus bayi di bawah umur empat bulan yang diberi susu ibu dan 11.7 peratus bayi disusui sehingga berumur 2 tahun, kementerian itu memang perlu melakukan sesuatu dengan lebih tegas.

Kementerian Kesihatan dan kerajaan amnya barangkali sudah tiada alasan untuk tidak menetapkan satu dasar yang menyokong penyusuan ibu terutama selepas wujudnya Dasar Pengguna Negara baru-baru ini. Dasar Pengguna Negara yang diluluskan oleh Kabinet pada Mei lalu dan dilancarkan akhir minggu lepas dilihat boleh menjadi landasan perubahan yang akan menggembirakan para ibu, dan tentunya bayi juga.

Selain mahu menjaga kepentingan dan hak pengguna, dasar itu berhasrat menggalakkan penggunaan lestari di kalangan anggota masyarakat. Penyusuan ibu adalah satu aspek yang perlu diketengahkan dalam penggunaan lestari. Selain menjimatkan wang, ia hormat kepada alam sekitar dan merupakan pelaburan yang baik kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.