VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 06/06/2002

Maahad Tahfiz Sumal - Mendidik generasi celik al-Quran

Anakku Sayang
Oleh Rahana MD
ALANGKAH sejuknya hati ibu apabila mendengar kepetahan anak-anak yang baru berusia setahun jagung begitu lancar menghafal ayat-ayat suci al-Quran.

Lebih mengharukan apabila anak-anak kecil ini yang meminta untuk dihantar ke sekolah-sekolah Maahad Tahfiz khusus mendalami ilmu hafalan dengan cara yang lebih konsisten dan berterusan.

Inisiatif membuka sekolah dan kelas Maahad Tahfiz kini semakin ketara kerana mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa.

Ada di antara mereka yang sanggup mengeluarkan belanja hampir seribu sebulan, semata-mata untuk memastikan anak-anak mendapat ilmu hafalan yang terbaik.

``Ini menunjukkan ibu-bapa sekarang amat menitik-beratkan ilmu agama walaupun mereka berfikiran moden dan melangkau jauh melepasi sempadan dunia,'' ujar Penasihat Maahad Tahfiz Sumal, Zakiah Salleh.

Menurut Zakiah, kebanyakan ibu bapa kini mulai sedar, tidak semestinya anak-anak yang mendapat latihan hafalan ayat-ayat suci al-Quran mesti melibatkan diri sepenuh masa menjadi pakar agama.

``Anak-anak ini masih boleh meneruskan cita-cita menjadi doktor atau jurutera tetapi sebaiknya menjadi doktor atau jurutera yang menghafal ayat-ayat suci al-Quran,'' tegasnya.

Memegang falsafah Generasi al-Quran Pemangkin Ummah, Zakiah yang ditemui di Maahad Tahfiz Sumal di Paya Jaras, Selangor baru-baru ini menjelaskan, pengisian dari segi kerohanian dan intelektual terhadap anak-anak wajar diberikan ketika mereka masih hijau.

Katanya, kesedaran dan tanggungjawab itu wajar ada di dalam diri pelajar itu sendiri agar amanah dapat dijalankan dengan sempurna.

``Untuk menanamkan rasa cintakan ilmu agama pula, menjadi tanggungjawab semua pihak memberi latihan, mengajar dan membimbing pelajar agar matlamat dan sasaran mereka berada di landasan yang betul.

``Tujuannya mewujudkan negara yang bukan sahaja maju dari segi teknologi dan inteleknya, bahkan termasuk sahsiah penghuninya,'' katanya.

Merealisasikan impian itu, Mahaad Tahfiz Sumal telah menganjurkan Minggu Penghayatan al-Quran dan Pembentukan Syahsiah Diri sempena cuti persekolahan baru-baru ini.

Salah seorang tenaga pengajar, Ustaz Mohd Helmi berkata, program yang dilaksanakan selama tiga hari dan dua malam itu padat dengan aktiviti-aktiviti yang merangsang minda pelajar menyintai ilmu hafalan dan juga pengisian sahsiah diri, mantap dari segi duniawi dan ukhrawi.

``Berasaskan kepada objektif membimbing dan memberikan panduan, mereka didedahkan kepada al-Quran sebagai perundangan hidup.

``Di samping itu, pelajar dibekalkan dengan ilmu untuk menguatkan jiwa, bertanggungjawab menghadapi cabaran hidup dengan cekal dan berani,'' jelasnya.

Tambahnya lagi, sepanjang tempoh itu, para pelajar telah berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk ayat suci al-Quran serta menggalakkan mereka meneruskannya apabila kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Sementara itu, para pelajar yang ditemui mengakui, program cuti sekolah di Maahad Tahfiz Sumal itu amat bermakna.

Mohd Danial Mohd Daud, 9, dari Bandar Sunway, Selangor berkata, musim cuti persekolahannya kali ini berupaya diisi dengan perkara yang bermanfaat.

``Sebelum ini saya seronok mendengar cerita abang dan kakak yang belajar di sekolah Maahad Tahfiz di Kelantan.

``Kali ini saya pula berpeluang dan ternyata ia memberi banyak manfaat,'' ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.

Mohamad Nazri Mat Isa, 11, dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur pula mengakui, beliau cukup seronok dapat menyertai program di Maahad Tahfiz Sumal kerana berjaya menggunakan masa cuti sekolah sebaik mungkin.

``Cuti kali ini sungguh bererti dan banyak pengalaman yang saya dapat. Misalnya, melatih diri bangun pagi dan sebelum subuh melakukan qiamullail, sembahyang jemaah bersama cikgu dan rakan-rakan. Sebelum tidur pula kami tadarus al-Quran beramai-ramai dan akhirnya kami berjaya khatam,'' ujarnya bangga.

Afiqah Farhana Aziz, 13, dari Sungai Buloh, Selangor pula merasakan program yang diikutinya amat berguna sebagai bekalan pada masa hadapan.

``Saya bersekolah biasa dan apabila sesekali mendapat pendedahan dan latih tubi berterusan untuk membaca a-Quran, ianya satu pengalaman yang cukup indah.

``Latihan bangun seawal 4.30 pagi untuk sujud kepada Allah diikuti dengan tadarus amat menenangkan hati,'' katanya sambil memberitahu, jika diizinkan keluarga, beliau mahu menyertai program seumpamanya pada masa akan datang.

Adik beradik Nur Atikah Zulkifli, 12, dan Nur Athirah, 8, yang sememangnya belajar sepenuh masa di Maahad Tahfiz Sumal menyifatkan pengajian mereka di sekolah itu adalah hadiah istimewa daripada keluarga.

Kedua-duanya yang telah berjaya menghafal lapan juzuk ayat suci al-Quran sepakat mahu menyambung ke peringkat yang lebih tinggi.

``Saya memang suka ilmu menghafal al-Quran sejak kecil lagi dan di sini teknik hafalannya cukup saya minati.

``Walaupun tinggal berjauhan dengan keluarga tetapi mereka kerap datang dan memastikan pelajaran lain tidak ketinggalan. Emak dan ayah tetap menghantar kami ke kelas tuisyen untuk mata pelajaran lain kerana saya mahu menjadi doktor yang hafal al-Quran,'' kata Atiqah.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.