VERSI : Mobile | Akhbar Digital
26 Julai 2014 / 28 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 28/04/2002

Hukuman mati tidak selesaikan masalah

Adakah undang-undang sumbang mahram yang sedia ada di Malaysia sekarang mencukupi?

ZAITOON: Saya berpendapat kes-kes sumbang mahram terus berlaku kerana undang-undang yang ada sekarang kurang berkesan dalam mencegah jenayah itu.

Cadangan dan syor daripada pelbagai pihak telah dikemukakan sejak seminggu dua ini mengenai cara mengurangkan kejadian yang hina dan keji itu. Ini termasuk menggubal semula undang-undang.

Saya rasa kita wajar menggubal undang-undang baru bagi memperuntukkan hukuman yang lebih berat ke atas pesalah sumbang mahram.

Adakah puan merasakan hukuman lebih berat seperti hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dapat menyelesaikan salah laku sumbang mahram?

ZAITOON: Langkah itu mungkin boleh menjadi salah satu cara mengurangkan kejadian sumbang mahram tetapi ia tidak semestinya berkesan.

Kita telah tengok kes-kes seperti dadah, rogol dan lain-lain sebelum ini. Sungguhpun negara kita mewujudkan hukuman mati ke atas pesalah dadah, jenayah membabitkan dadah masih terus berlaku.

Mungkin kalau kita memperkenalkan hukuman mati ke atas pesalah sumbang mahram, kes-kes itu boleh berkurangan, tetapi saya rasa sumbang mahram tidak mungkin dapat dihapuskan.

Selain melihat dari aspek perundangan, apakah kaedah lain yang boleh digunakan untuk membendung masalah sumbang mahram?

ZAITOON: Dalam konteks ini kerajaan mungkin boleh mensyaratkan pemaju-pemaju perumahan membina sekurang-kurangnya tiga bilik untuk setiap jenis rumah. Dengan cara itu, kita boleh mengasingkan anak lelaki dan perempuan serta ibu dan ayah mereka.

Mungkin undang-undang penyiaran juga boleh diperketatkan supaya anak-anak kita tidak terdedah dengan pengaruh yang tidak baik daripada TV, radio, wayang ataupun Internet.

Kita juga perlu dari masa ke masa memberi didikan dan kesedaran kepada orang ramai tentang akibat perbuatan sumbang itu kepada keluarga dan masyarakat.

Mereka bukan sahaja perlu disedarkan tentang akibat yang bakal diterima di dunia tetapi juga di akhirat kelak.

Perbuatan sumbang mahram akan melibatkan semua anggota keluarga dan kesannya berpanjangan.

Akibat kejadian itu, mangsa bukan sahaja tertekan tetapi juga akan mengalami tekanan emosi dalam jangka masa panjang.

Mangsa-mangsa mungkin akan berasa takut untuk membina keluarga dan sangsi terhadap kasih sayang.

Antara langkah yang boleh diambil ialah kita boleh membawa pesalah-pesalah sendiri menjalani rawatan perubatan.

Kita perlu mengkaji apa yang membuatkan bapa tidak dapat menahan nafsu. Mungkin ini ada kaitan dengan satu bentuk penyakit.

Undang-undang baru yang hendak kita perkenalkan perlu digubal setelah kita membuat kajian komprehensif tentang kes-kes sumbang mahram dan mencari jalan bagaimana jenayah itu boleh dibanteras.

Dalam menangani kes-kes jenayah, saya yakin penggubalan undang-undang berpotensi membantu mengurang dan mengelakkan perlakuan jenayah daripada berulang.

Fungsi undang-undang bukan sahaja untuk menghukum pihak yang salah tetapi juga menjadi contoh kepada orang ramai tentang akibat yang akan berlaku jika sesuatu kesalahan dilakukan.

Apakah pengadilan bagi kes-kes sumbang mahram dalam undang-undang sivil dan undang-undang syariah boleh diselaraskan?

ZAITOON: Jawapannya ialah tidak. Kalau diikutkan, hukuman undang-undang syariah lebih berat berbanding undang-undang biasa.

Hukuman hudud yang diamalkan oleh sesetengah negara Islam tidak diamalkan di negara ini.

Kalau hendak diperkenalkan hukuman sebat di khalayak ramai, saya berharap kajian terperinci dibuat terlebih dahulu terutama dalam konteks perkembangan semasa.

Kita perlu melihat undang-undang itu dari perspektif yang lebih luas, misalnya adakah ia baik pada mata masyarakat antarabangsa.

Hukuman sebat di khalayak ramai jika dilaksanakan mungkin boleh memberi kesan kepada ekonomi negara, lebih-lebih lagi selepas peristiwa 11 September 2001.

Sejak tarikh itu, orang Islam di seluruh dunia dilihat di bawah kanta pembesar. Mungkin jika kita laksanakan hukuman itu ada pihak akan bimbang untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

Tambahan pula, tidak semua masyarakat di Malaysia boleh menerima cadangan tersebut walaupun tujuan kita adalah baik.

Kalau itulah pandangan puan, bagaimanakah seseorang pesalah sumbang mahram perlu dihukum?

ZAITOON: Kalau mengikut hukum hudud yang diamalkan dulu, mereka direjam dan disebat di khalayak ramai.

Tetapi di negara ini, kesalahan jenayah yang dilakukan akan dihukum mengikut undang-undang jenayah.

Setakat ini undang-undang syariah yang digunakan dalam sistem undang-undang negara kita hanya merangkumi khalwat, tinggal puasa, murtad, kahwin, cerai dan sebagainya tetapi tidak termasuk kes-kes sumbang mahram.

Sebagai sebuah negara yang adil, kita perlu ada satu undang-undang yang apabila dilaksanakan boleh membabitkan semua bangsa dan agama. Dalam kes-kes sumbang mahram, kita perlu ada satu undang-undang untuk semua pihak.

Bagaimanakah idea itu boleh dilaksanakan?

ZAITOON: Kita, misalnya, boleh memasukkan satu lagi peruntukan undang-undang dalam Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sumbang mahram.

Bagi kes-kes liwat, sering terdapat pertelingkahan kerana bentuk hukuman dalam undang-undang syariah berbeza dengan bentuk hukuman dalam undang-undang jenayah negara.

Kalau saya orang Islam, saya mesti pilih undang-undang yang mengenakan hukuman yang lebih ringan. Jadi, hukuman yang setimpal itu penting dalam konteks keadilan.

Selain persamaan hukuman, apakah aspek lain yang perlu diberi penekanan?

ZAITOON: Yang paling penting ialah kita melindungi mangsa-mangsa sumbang mahram.

Dalam kebanyakan kes yang melibatkan jenayah seks, mangsa tidak akan tampil ke hadapan sekiranya dia tidak dilindungi.

Kita, misalnya, boleh mengadakan rumah perlindungan supaya mangsa boleh dilindungi dan dirahsiakan daripada pengetahuan mereka yang berkenaan.

Bermula dari saat dia membuat aduan sehinggalah selepas kesnya selesai, mangsa-mangsa perlu dilindungi. Saya difahamkan telah ada beberapa negeri di Malaysia yang menyediakan rumah perlindungan untuk melindungi mangsa-mangsa jenayah seks.

Selanjutnya kita juga perlu memahami persekitaran mangsa. Ada juga mangsa yang dimarahi oleh ibu dan adik-beradik kerana ingin melaporkan kejadian sumbang mahram yang dilakukan oleh bapa.

Ada ibu yang takut hilang suami sebagai tempat bergantung tetapi mereka tidak sedar bahawa perbuatan menyorokkan kejahatan suami itu akan mendorong si suami memanjangkan lagi perbuatan buruk mereka.

Adakah puan bersetuju sekiranya pesalah sumbang mahram yang telah dihukum kembali ke pangkuan keluarganya?

ZAITOON: Pada pendapat saya, langkah itu penting. Kita tidak boleh dan tidak patut memutuskan silaturahim sesama mereka.

Mangsa-mangsa perlu sedar bahawa itulah bapanya sama ada dia baik atau jahat.

Jika seorang isteri itu tidak mahu dimadukan, misalnya, dia perlu bersikap adil kepada suaminya dan memberi peluang kedua kepada suami selepas dia insaf.

Setiap manusia mesti diberi peluang kedua walau sebesar manapun kesalahan yang dilakukan lebih-lebih lagi di kalangan ahli keluarga.

Saya percaya perbuatan menjauhkan diri daripada mereka akan hanya menimbulkan lebih banyak masalah. Sebagai contoh, seorang wanita Islam memerlukan bapanya untuk mewalikannya ketika bernikah.

Dari segi agama dan perikemanusiaan, perbuatan meminggirkan pesalah-pesalah yang insaf tidak sepatutnya berlaku.

Mungkin pesalah sumbang mahram boleh menjadi seorang manusia yang baik selepas dia dihukum.

Secara peribadi, apakah hukuman yang puan rasakan setimpal dengan kesalahan sumbang mahram?

ZAITOON: Kita perlu tengok kes-kes sumbang mahram secara mendalam. Adakah ia timbul kerana pesalah menghidap penyakit atau dia memang mengambil peluang?

Kalau tertuduh itu didapati mengambil peluang, kita perlu menjatuhkan hukuman yang lebih berat.

Hukuman mati kepada saya bukan jawapan kepada kes-kes sumbang mahram. Kita mesti pandang dari segi kemanusiaan. Hukuman yang ada pada masa ini memang perlu ditambah tetapi bukanlah dengan mengenakan hukuman bunuh.

Pada saya, adalah wajar sebatan diwajibkan dalam setiap kes jenayah sumbang mahram. Selain itu, cadangan mengkasi pesalah juga boleh dilakukan dengan mengikut cara moden iaitu menggunakan suntikan kimia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.