VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 September 2014 / 28 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 21/04/2002

Syirik dosa yang tidak diampuni Allah

Soal Jawab Bersama Dr. Amran Kasimin
SOALAN:
Semasa balik kampung bercuti semester lepas, saudara saya sakit kuat dengan tiba-tiba. Dia sembuh tidak lama kemudian selepas berubat. Apa yang menjadi kemusykilan saya ialah keluarga saudara saya ini telah diminta untuk menyemah kampung. Kalau tidak sakitnya akan berulang semula. Saya tidak jelas tentang apa sebenarnya semah. Setakat manakah ia menjejaskan iktikad seseorang? - Abdullah Sani, Parit, Perak.

JAWAPAN:
Dalam erti kata yang mudah semah ialah amalan menyediakan sajian untuk makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin untuk tujuan tertentu. Dalam upacara itu yang melibat jin-jin, upacara diadakan supaya jin-jin yang dipanggil, atau dipuja datang membantu, sama ada untuk tujuan rawatan, permainan atau hiburan. Dalam masa yang sama dipohon agar jin-jin itu melindungi gelanggang di mana persembahan itu diadakan, mereka yang terlibat dengan persembahan juga keselamatan para penonton.

Semah juga diadakan untuk mengelakkan berlakunya gangguan yang melibatkan jin-jin yang menghuni tempat berkenaan, ataupun dari luar, atau daripada gangguan angkara manusia dengan bantuan jin-jin yang diistilahkan sebagai sihir.

Lumrahnya ada beberapa tujuan utama semah dilakukan apabila pesakit sembuh setelah diubati menurut kaedah tradisional, antaranya ialah sebagai memenuhi perjanjian yang telah dipersetujui oleh orang yang melakukan rawatan dan jin-jin yang dikatakan membantu manusia yang dilakukan dalam keadaan menurun, ataupun melalui persembahan teater tradisional, yang juga melibatkan menurun.

Jin yang merasuk pesakit dipujuk dan dijanjikan akan diberi makan (semah) kalau ia sudi keluar dan tidak mengganggu pesakit. Tujuan lain ialah sebagai tanda berterima kasih kepada makhluk ini, yang sudi datang membantu manusia melakukan rawatan, membolehkan pesakit sembuh.

Upacara menyemah berbeza, bergantung kepada kelaziman yang dilakukan orang yang mengetuai sesuatu upacara, ataupun kehendak orang yang berkenaan atas permintaan jin-jin, yang diberitahu melalui mimpi ataupun lain-lain medium. Kerana itu maka bahan-bahan yang disediakan berbeza, selain daripada bergantung kepada bahan makanan yang boleh didapati dan digunakan oleh penduduk tempatan.

Upacara menyemah adakalanya melibatkan darah binatang yang disembelih, ditadah dalam satu bekas, organ dalaman binatang yang disembelih, seperti kambing, kerbau atau lembu. Bahan-bahan tadi diletakkan di satu tempat, sama ada di hujung kampung, di pinggir hutan, dihanyutkan di sungai ataupun di laut. Amalan ini dikenali sebagai menyemah kampung, menyemah pantai, bela kampung, buang ancak dan sebagainya.

Bagi mereka yang melakukan persembahan teater tradisional, bahan-bahan makanan, terutamanya ayam panggang diletakkan, adakalanya sebagai sajian di sepanjang persembahan, atas tujuan yang sama seperti yang dijelaskan di atas.

Seorang pegawai kanan dari Jabatan Perikanan Negeri-Negeri Selat dan petempatan Melayu Persekutuan yang menyaksikan pesta puja pantai di Pulau Ketam, Selangor pada 14 Januari 1936, menjelaskan bagaimana seekor kambing jantan dijadikan bahan utama upacara itu.

Persediaan untuk pesta ini termasuklah tepung tawar, bertih, beras kunyit, kemenyan dan sebotol arak. Kambing dihias cantik. Kemudian orang yang mengetuai upacara ini merenjiskan kepala kambing dengan bertih, beras kunyit dan beras basuh. Selepas itu ia menyapukan beberapa titik arak ke kepala kambing. Sebelum menyapukannya, ia kedengaran membaca bismillah dan ayat-ayat lain yang tidak begitu jelas.

Kambing itu kemudian disembelih setelah direnjiskan dengan air tepung tawar. Darah kambing ditadah ke dalam cawan. Pelbagai jenis makanan diletakkan di dalam dua buah bakul rotan berbentuk empat persegi, termasuk empat kaki kambing itu, kulitnya, perut dan secawan darah sebagai bahan persembahan kepada semangat laut.

Bakul-bakul serta isinya yang dipersembahkan kepada semangat, dinamakan ancak. Kepala kambing digantung di dalam ancak untuk persembahan hantu laut. Keempat-empat kaki kambing tadi adalah untuk sajian penunggu pantai.

Ancak dihias dengan pucuk kelapa muda berwarna keemasan. Persembahan kepada laut diletakkan di atas sampan yang dinamakan naday. Ancak digantungkan di sebatang tripod yang diperbuat daripada kayu bakau dengan sebatang palang pendek tempat mengantungkan ancak.

Pada zaman dahulu di Bachok, Kelantan pesta puja pantai pernah dilakukan dan berlangsung selama empat hari, dilakukan sekali dalam setiap empat atau tujuh tahun. Seekor kerbau balau berusia tiga tahun dikorbankan. Pada hari ketiga kerbau disembelih pada waktu maghrib.

Dagingnya digunakan untuk persembahan dan kulitnya disumbatkan dengan sabut kelapa agar ia terapung ketika dihanyutkan ke laut. Beberapa bentuk teater termasuk menora, makyung dan wayang kulit dipersembahkan. Sampan kecil yang diisi tepung beras dan sajian juga bangkai kerbau diberi kepada semangat laut, yang diluncurkan ke laut lepas.

Menurut Wan Mansor (1959: 23-25), pesta yang sama pernah dilakukan oleh nelayan Mukim Beserah, lima batu dari timur laut Kuantan. Di sini kerbau balau dianggap bahan terpenting.

Bezanya ialah pesta ini tidak diadakan selagi orang yang mengetuai upacara orang kampung tidak bermimpi semangat laut atau jembalang laut meminta mereka mengadakan pesta ini. Bahagian daging yang diberikan kepada jembalang diletakkan di dalam model sampan menangkap ikan yang lengkap, yang diluncurkan ke laut. Kepala kerbau digantungkan pada pokok ketapang di pantai.

Di Kuala Kemaman, pesta ini pernah diadakan sekali dalam masa tiga tahun dan berlangsung selama tujuh hari tujuh malam di pantai. Dalam masa ini, persembahan makyung, wayang kulit dan joget diadakan pada waktu malam sehingga malam terakhir apabila kerbau balau itu disembelih. Kepala kerbau diletakkan di atas batu di teluk yang berdekatan.

Sebahagian daripada daging kerbau diletakkan dalam ancak bersama-sama 20 batang pokok dan daun sirih termasuk buah pinang, gambir, limau dan daun sirih. Bahan-bahan ini kemudian dihantar ke laut lepas pada waktu subuh, hari ketujuh oleh orang yang mengepalai upacara ini.

Persediaan bahan-bahan persemahan untuk semangat laut berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain bergantung kepada keputusan pawang tetapi matlamatnya sama, iaitu untuk memelihara hubungan baik dengan semangat, atau makhluk-makhluk halus untuk memperoleh keselamatan fizikal terutamanya apabila mereka berada di laut dan untuk mendapatkan tangkapan yang lumayan. Terdapat tiga unsur utama dalam membuat persediaan bahan persembahan ini, iaitu animisme, Hinduisme dan Islam yang telah dicampuradukkan.

Unsur-unsur Islam boleh dilihat dalam upacara bismillah, yang disebut semasa melumurkan arak di kepala kambing. Perkataan Allah disebut semasa upacara mengasap kemenyan, alat-alat yang digunakan, juga ketika menyembelih kerbau yang mengikut cara Islam. Kambing jantan disembelih dengan menghalakan mukanya ke arah kiblat.

Unsur-unsur Hindu jelas kelihatan dalam pesta ini termasuk menyediakan bahan yang disediakan seperti tepung tawar, bertih, beras kunyit dan juga upacara melumur kerbau. Terdapat beberapa pantang larang dan tabu yang diikuti semasa pesta ini, yang boleh dianggap sebagai unsur animisme, iaitu larangan membawa pulang daging kerbau yang dijadikan korban, jika larangan tidak dipatuhi, ditakuti bencana akan menimpa seluruh kampung dan penghormatan istimewa yang diberikan kepada binatang, iaitu kambing.

Melumurkan arak adalah sebagai salah satu unsur animisme. Orang Arab praislam pernah mengorbankan kambing ketika menyambut kelahiran bayi dan melumurkan kepala bayi yang baru lahir itu dengan darah kambing tersebut. Amalan ini telah dihapuskan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Seseorang yang melakukan amalan semah, dengan tujuan-tujuan tertentu seperti yang dijelas, bererti bahawa individu berkenaan berkeyakinan bahawa pada makhluk halus yang diberi sajian itu mempunyai ``kudrah'' (kuasa), keupayaan menyakiti atau menimbulkan masalah dan mempunyai kuasa memberi perlindungan apabila diberi, sajian.

Apabila kepercayaan ini berlaku, yang juga disertai dengan pelbagai upacara magis, orang yang berkenaan telah menyamakan kuasa makhluk berkenaan dengan kuasa Allah, yang sebenarnya, yang hakikatnya sifat ini tidak dimiliki oleh sesuatu yang baru, iaitu makhluk ciptaan Allah.

Penyamaan kuasa ini dalam bahasa Arab dinamakan syirk, ataupun ``syirik'' apabila ia disebut dalam bahasa Melayu. Orang yang berbuat demikian, iaitu yang menyamakan kuasa makhluk, dengan kuasa Khaliq, dipanggil ``musyrik''. Syirik adalah dosa yang tidak diampuni Allah.

Seorang pesakit yang menemui doktor untuk mendapatkan rawatan demam dan diberi ubat, tiba-tiba mendapati wangnya tertinggal di rumah. Doktor di klinik yang merawatnya memberi ubat dan memintanya membayar kos apabila berkesempatan. Setelah mengambil ubat yang diberi pesakit sembuh.

Kalaulah pesakit ini terus mendiamkan diri, enggan membayar kos yang wajarnya ditanggung, adalah mustahil sakitnya berulang kembali. Penyakit yang dialami, sama ada berulang semula atau terus sembuh tidak ada kena-mengena dengan kos ubat yang dibayar atau tidak dibayar.

Keadaan ini berbeza dengan orang yang berubat dengan mereka yang berdampingan dengan makhluk-makhluk halus. Di antara orang yang melakukan rawatan dan makhluk yang membantunya ada perjanjian yang mesti dilaksanakan, iaitu memberi sajian setiap kali rawatan dilakukan berjaya.

Di antara perjanjiannya ialah pesakit mesti memberi makan ataupun sajian. Sajian yang dimaksudkan di sini ialah seperti buah-buahan, kuih-muih, darah binatang atau sebagainya yang dikenali juga sebagai semah, sama ada semah pantai, semah laut, semah rumah, semah kampung, puja pantai, puja kampung, ancak dan sebagainya, satu upacara memberi sajian makhluk-makhluk halus yang masih wujud sehingga sekarang ini biarpun ia telah berkurangan.

Pesakit seperti ini, yang tidak melakukan semah, seperti yang diisyaratkan, boleh menyebabkan berulangnya sakit, kerana makhluk ini akan menagih janji, kepada orang yang merawat dan apabila janji yang dipersetujui tidak ditunaikan ia akan mengganggu, menyebabkan sakit berulang. Pada kebiasaannya, sakit seperti ini berpunca daripada gangguan ataupun sihir.

Pembaca yang ada kemusykilan

alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin,

Lot 3673, Jalan Aman,

Kampung Sungai Merab Luar,

43000 Bangi, Selangor.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.