VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 31/03/2002

Siti pukau jutaan peminat

Bunga telipuk mekar semarak,
Mekar tersusun di atas batang;
Awan bertepuk mega bersorak,
Bulan terbit di pagar bintang.
BARANGKALI tiada perumpamaan yang lebih tepat untuk menceritakan kemeriahan temasya Hiburan Minggu Ini (HMI) RTM pada hari Ahad lalu yang menampilkan penghibur paling popular negara, Siti Nurhaliza Tarudin, selain yang diungkapkan oleh pantun di atas.

Apatah lagi pantun zaman tori itu diberikan oleh tokoh budayawan negara, Puan Azah Aziz sebagai menyimpulkan keperibadian anak jati Pahang itu pada majlis pelancaran album Sanggar Mustika tidak lama dulu.

Bahkan, tidak keterlaluan jika dinobatkan Hiburan Minggu Ini yang dipersembahkan secara live oleh Siti Nurhaliza kepada 22 juta rakyat Malaysia itu sebagai yang terbaik pernah diterbitkan oleh RTM dalam tahun 2002 ini.

Gadis berusia 23 tahun itu ternyata semakin matang dan mahir memenangi hati para peminatnya dari segenap lapisan usia, etnik dan bangsa melalui lagu-lagunya yang multi-genre.

Bahkan dalam HMI kali ini, Siti tampil dengan pelbagai idea kreatif yang belum pernah diketengahkan oleh mana-mana artis sebelum ini.

Persembahan dimulakan dengan gimik wayang kulit oleh dua pelawak terkenal tanah air, M. Rajoli (sebagai Tok Cik) dan Abon (sebagai Pak Cik). Kedua-duanya tampil sebagai pembuka tirai persembahan dengan dua loghat berbeza - Kelantan (oleh M. Rajoli) dan Jawa (Abon). Lawak mereka begitu mencuit hati penonton.

Tanpa berlengah, Siti membuka tirai persembahan dengan irama balada Aku Cinta Padamu dengan busana merah. Siti membawanya dengan begitu bersahaja mengikut cara yang tersendiri.

Dengan penuh rasa rendah diri, Siti mengingatkan semua penonton bahawa di pentas itulah kariernya bermula setelah memenangi Pertandingan Bintang HMI RTM dan di situlah terjalinnya satu ikatan antara Siti dan peminat semua. Diva termuda itu kemudian menyampaikan lagu Jalinan Cinta.

Pada segmen kedua, penyanyi kelahiran Kuala Lipis itu tampil berpakaian kimono untuk membawakan lagu ciptaan Ross Ariffin dan lirik oleh Habsah Hassan berjudul Kurniaan Dalam Samaran.

Kawalan vokal Siti ternyata mantap dengan transisi nada soprano dan bass ketika mendendangkan lagu yang menerapkan elemen inka dari Jepun itu.

Berbeza dengan persembahan penyanyi-penyanyi lain dalam HMI sebelum ini, Siti tidak mengundang penyanyi lain untuk berduet dengannya.

Sebaliknya dia menjemput bapa saudaranya, Abdul Rahim Bachik (yang mesra dengan panggilan Ayah Rahim) untuk berduet dengannya. Mereka berduet lagu yang pernah dipopularkan oleh Hetty Koes Endang berjudul Tidakkah Kau Tahu.

Meskipun vokal Ayah Rahim barangkali tidaklah semerdu pada zaman mudanya, namun persembahannya nyata tidak mengecewakan.

Bagaimanapun, mungkin Siti ingin memanfaatkan program HMI itu untuk menghargai orang yang bertanggungjawab membawanya ke sana ke mari meredah lumpur untuk mengadakan persembahan di rumah orang kahwin semasa kecil dulu.

Sehabis duet tersebut, M. Rajoli dan Abon kembali menggeletek hati penonton tetapi kali ini kita menyaksikan kebolehan Siti bergurau senda bersama. Sebagai mengakhiri segmen kedua ini, Siti kemudian menyampaikan lagu ciptaan Helen Yap Engkau Bagaikan Permata.

Untuk segmen ketiga, Siti tampil anggun dengan busana berwarna royal blue yang pernah dipakainya ketika menghadiri Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun lalu. Namun, siapa peduli dengan kostum yang diperagakan kerana kehadirannya sudah cukup membuat hati terpesona.

Barangkali hanya yang bertuah berkesempatan menyaksikan persembahan puteri Pahang itu secara live di Auditorium Angkasapuri. Pancaindera difahamkan, hanya 250 peminat (daripada 1,000 orang yang beratur untuk mendapatkan pas percuma HMI) berjaya memperoleh pas tersebut.

Selebihnya (sebanyak 500 pas lagi) diperuntukkan kepada VIP dan jemputan khas. Ini belum pernah terjadi kepada mana-mana artis yang mengadakan persembahan HMI. Syabas Siti Nurhaliza!

Dengan kostum biru tersebut, Siti menyampaikan lagu Percayalah bersama-sama beberapa peminat yang dipilihnya secara rambang di tangga auditorium. Siti kemudian sempat berseloroh dengan peminatnya dengan mengatakan: ``Berkat sokongan peminat, Siti masih berada di atas pentas. Eh! Atas tangga!'' Komen itu disambut gelak ketawa peminatnya.

Sejurus kemudian Siti menyanyikan single terbaru Celine Dion, A New Day Has Come dengan penuh konsentrasi. Vokal dan slanga Inggerisnya begitu baik, sekali gus membuktikan gadis berkulit cerah itu mempunyai potensi yang tidak harus diperlekehkan.

Keterpesonaan penonton ternyata tidak hanya di situ sahaja. Pada segmen keempat, Siti sekali lagi sempat mengusik M. Rajoli dan Abon yang kononnya bercita-cita untuk memikat Siti.

Namun Siti menyarankan mereka menemui kedua-dua orang tua dan keluarganya terlebih dahulu dengan mengajuk gaya percakapan M. Rajoli dalam lenggok menora: Wei... eay... eay.. eay... yang disambut dengan hilai ketawa penonton di auditorium.

Selepas itu Siti mendendangkan lagu-lagu hitnya, Jerat Percintaan, Purnama Merindu, dan Nian Di Hati secara medley. Tiada kelainan yang ditampilkan pada dua medley pertama. Tetapi pada medley yang ketiga, sebuah buaian diturunkan dan Siti naik ke atasnya sambil mendendangkan lagu Nian Di Hati sambil duduk.

Pada segmen terakhir, Siti mengalunkan lagu Kurik Kundi dari album terkininya Sanggar Mustika. Meskipun ia lagu baru, namun peminat-peminat di auditorium sudah menghafalnya.

Sejurus selepas menyampaikan lagu tersebut, penghibur tajaan kosmetik Maybelline itu melahirkan hasrat merakamkan lagu dalam loghat Pahang pula dalam album tradisional seterusnya. Tetapi kata Siti loghat Pahang terlalu banyak, kalau dimuatkan kesemuanya nanti orang tidak faham. Lain daerah, lain loghatnya. Jadi Siti kenalah mengkaji dulu.

Kata-kata Siti itu disanggah oleh seorang penonton di auditorium, lalu Siti membalas lembut secara spontan: ``Wei, kawan cakap betul wei...'' Kata-kata Siti dalam loghat Pahang itu sekali lagi disambut gelak ketawa penonton.

Kemudian, Siti menyampaikan lagu evergreen yang pernah dipopularkan oleh Toh Puan Rafeah Buang, Bisikan Hati. Kali ini Siti menujukan lagu tersebut khas kepada ibu bapanya yang berada di Kuala Lipis, Pahang selain pak cik dan mak cik yang masih mengingati lagu itu.

Sebelum menyampaikan masterpiece Pak Ngah Suhaimi berjudul Nirmala sebagai lagu terakhir, Siti sempat menerangkan tentang bahaya fitnah dan maksud yang tersirat dalam lagu berirama padang pasir itu.

Meskipun terdapat beberapa kelemahan kecil, misalnya dari segi pemilihan busana dan audio yang tidak sekata, namun HMI Siti Nurhaliza layak dinobatkan sebagai yang terbaik pernah dipersembahkan oleh RTM.

Dalam HMI kali ini, lagu-lagu berirama pop tradisional dipimpin oleh Pak Ngah Suhaimi, manakala bagi irama genre moden pula diterajui Ramli M.S. Selain itu, HMI kali ini turut mendapat khidmat penyanyi latar Swakarya, penari Swatari dan Heintjie Dancers.

Sekalung tahniah kepada penerbit Jack Nadarajah dan penerbit penyelaras yang berpengalaman luas Noriah Letuar, serta kesemua tenaga produksi HMI RTM yang bertungkus-lumus menghasilkan produk hiburan yang bermutu itu. Sekali lagi, syabas RTM! - DEAN

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.