VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 10/03/2002

Daun jambu batu buang jerawat

Oleh RAMLI ABDUL KARIM
MASALAH jerawat yang selalunya tumbuh di muka memang cukup merimaskan kerana ia bukan saja mencacatkan wajah malah menjejaskan keya-kinan diri.

Bagi mereka yang menghadapinya, pelbagai cara tentunya telah dilakukan untuk mengatasi masalah jerawat tersebut walaupun kadang-kadang menemui jalan buntu.

Di pasaran sama ada di farmasi, kedai ubat atau pusat rawatan kulit, terdapat berbagai jenis ubat yang didakwa mampu membuang jerawat.

Pun begitu, di sebalik keghairahan pihak pengeluar mempromosikan barangan mereka, pelanggan terus-menerus kebingungan tercari-cari produk yang benar-benar berkesan dan mujarab.

Wang ringgit tidak menjadi halangan bagi mereka asalkan dapat menyingkirkan jerawat di muka yang telah menghilangkan seri wajah sejak sekian lama.

Kaedah rawatan alternatif bagi mengubati muka yang ditumbuhi jerawat seperti penggunaan herba dengan cara tradisional selalunya kurang menda-pat perhatian.

Walaupun kosnya murah dan terdapat banyak pilihan jenis herba yang boleh membuang jerawat dengan berkesan, rawatannya dianggap rumit dan melecehkan berbanding penggunaan losen atau ubat sapu yang lebih mudah.

Herba pilihan minggu ini, JAMBU BATU yang juga dikenali sebagai BIAWAS atau nama saintifiknya Psidium guajava L. dari keluarga Myrtaceae adalah salah satu herba yang mana daunnya boleh mengatasi masalah jerawat.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, daun jambu batu juga digunakan untuk mengubati kudis, ruam, seriawan mulut (ulser) dan kencing manis.

Katanya, bagi masalah jerawat, satu atau dua genggam pucuk muda direbus terlebih dahulu dan kemudian dilap atau disapukan pada muka menggunakan tuala putih bersih.

``Biarkan muka dibasahi air rebusan dan apabila sudah kering, basahkan semula tuala tersebut dengan air rebusan itu dan ulangi langkah tersebut.

``Pada waktu malam, ambil tuala yang dibasahkan dengan air rebusan yang masih panas atau suam, kemudian diperah separuh airnya sebelum ia tekapkan di muka selama lima minit,'' jelas Tajuddin.

Menurut beliau, kedua-dua kaedah itu perlu diulangi dua atau tiga kali. Ia lebih berkesan jika setelah selesai bahagian muka yang ditumbuhi jerawat digosokkan pula dengan ibu kunyit yang dibelah dua.

``Sambil cuba menahan kepedihan, gosokkan ku-nyit itu selama 10 minit sebelum dibilas atau dibasuh dengan air bersih,'' tambahnya.

Bagi penyakit kudis dan ruam terutama yang banyak dihadapi oleh bayi dan kanak-kanak, air rebusan pucuk muda dan daun matang direbus sebelum dijadikan air mandian ketika ia masih suam.

``Ia perlu dilakukan setiap kali mandi iaitu sekurang-kurangnya dua kali sehari dan teruskan sehingga seminggu sebelum melihat hasilnya,'' ujar Tajuddin.

Penyakit seriawan mulut dirawat dengan menggunakan air rebusan pucuk muda untuk berkumur-kumur dua atau tiga kali sehari.

Sementara itu, bagi merawat kencing manis dan mengurangkan kolesterol, buah jambu batu muda atau mengkal ditumbuk kasar sebelum direbus dan airnya diminum dua kali iaitu pada waktu pagi dan sebelum tidur.

Orang ramai yang ingin memberi maklum balas, maklumat, pandangan dan pertanyaan boleh mengemukakannya menerusi e-mel herba@utusan.com.my.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.