VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 24/02/2002

Punca penyakit Arteri Periferal

DOPPLER, alat yang digunakan untuk memeriksa sebarang masalah pada nadi.


Oleh NAJIBAH HASSAN
SERING kali apabila membincangkan masalah aterosklerosis iaitu pembentukan plak-plak berlemak pada dinding-dinding arteri yang menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan aliran darah terganggu, ia begitu sinonim dengan penyakit jantung.

Pun begitu, aterosklerosis yang menyebabkan kerosakan pada dinding saluran darah arteri sekali gus mengganggu kelancaran aliran darah juga sebenarnya boleh berlaku pada tangan dan kaki.

Masalah ini, yang dikenali sebagai peripheral arterial disease (PAD), berlaku apabila bekalan darah ke bahagian-bahagian tersebut tidak mencukupi.

Pakar bedah vaskular sebuah hospital swasta, Dr. Suib Ismail berkata, sekiranya keadaan ini berlaku pada kaki ia menyebabkan kaki mengalami gangrene.

Menurut beliau, kaki gangrene ialah satu keadaan di mana otot-otot dan kulit pada kaki mati akibat kehilangan, kemerosotan atau terhentinya bekalan darah pada bahagian tersebut.

``Biasanya kaki gangrene lebih sinonim dengan mereka yang menghidap diabetes.

``Bagaimanapun, sekiranya kaki anda menjadi gangrene secara tiba-tiba tanpa sebarang gejala, ini menandakan pengaliran pada pembuluh darah arteri anda bermasalah,'' katanya.

Dr. Suib memberitahu, secara umum aterosklerosis menjadi punca berlakunya PAD yang menyebabkan dinding saluran darah menebal dan kurang elastik.

Bahagian yang tebal dengan pemendakan lemak ini dikenali sebagai plak.

Jika pemendakan terlalu tebal atau pecah, serpihan ini boleh menyumbat kelancaran darah dalam saluran darah arteri.

``Kesannya, bahagian tubuh yang tidak dapat menerima oksigen ini akan mula rosak dan boleh mati,'' jelasnya.

Aterosklerosis tidak hanya berlaku pada saluran darah kaki dan tangan, malah saluran darah jantung, otak dan buah pinggang.

Menurut Dr. Suib, PAD biasanya berlaku di kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas di mana sebahagian besar pesakit terdiri daripada lelaki.

``Dianggarkan antara 10 hingga 15 peratus daripada mereka yang dalam lingkungan umur ini menghidap PAD. Kira-kira 80 peratus daripada mereka adalah lelaki,'' katanya.

PAD merupakan masalah yang biasanya berlaku pada bahagian pembuluh darah arteri.

Punca
Selain aterosklerosis punca-punca lain PAD ialah:

- Vasculitis. Masalah radang saluran darah seperti Buerger's Disease biasanya berlaku pada individu di peringkat umur 30-40 tahun yang banyak merokok.

- Popliteal artery entrapment. Penyakit ini adalah keadaan di mana arteri popliteal (di bahagian sendi lutut) tersepit. Ia biasanya berlaku pada individu muda yang aktif.

- Trauma arteri. Arteri trauma selalunya menyebabkan gangguan darah akut. Kesannya hanya dapat dialami apabila pesakit mula aktif.

Faktor risiko utama
Risiko seseorang mendapat PAD meningkat sekiranya mereka mempunyai faktor-faktor risiko utama dan sampingan seperti:

- Merokok. Meskipun mekanisme sebenar tabiat merokok dan PAD ini tidak begitu jelas, kajian mendapati perokok mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat PAD.

- Hipertensi. Kajian mendapati bahawa hipertensi mempunyai kaitan rapat dengan insiden koronari ateriosklerosis yang tinggi.

Ia juga menyebabkan individu lebih mudah menghidap PAD dan saluran darah ke otak.

- Diabetes. Pesakit diabetes yang menghidap penyakit PAD pada usia yang lebih muda boleh menjadi serius dengan kadar yang cepat.

Dua arteri yang biasanya terlibat iaitu arteri popliteal dan arteri tibia menjadi terlalu sempit dan tersumbat.

Diabetes juga menyebabkan deria sentuhan dan sakit individu terbabit berkurangan.

Kombinasi PAD dan neuropati mendedahkan kaki pesakit diabetes kepada kecederaan. Apabila kaki terluka, pesakit akan mendapati luka sukar sembuh dan mudah mendapat jangkitan kuman

- Hiperkolesterolemia. Kolesterol pesakit khususnya low-density lipoprotein tinggi di dalam darah.

Faktor risiko sampingan
- Obesiti dan gaya hidup sedentari

- Individu yang obes cenderung untuk menghidap penyakit hiperkolesterol, hipertensi, diabetes dan mempunyai gaya hidup yang tidak aktif

- Sejarah keluarga hiperkolesterol dan hipertrigliceridemia.

Gejala
Dalam sebahagian besar kes, PAD tidak menunjukkan sebarang gejala. Hanya 10 hingga 15 peratus pesakit yang mengalami gejala-gejala tertentu.

Pada peringkat awal, pesakit akan mengalami kekejangan pada betis dan rasa sakit ketika berjalan jauh. Rasa sakit akan hilang apabila pesakit berehat.

Keadaan ini dikenali sebagai intermittent claudication.

Gejala intermittent claudication boleh berlarutan selama beberapa hari, minggu atau bulan.

Selain itu, pesakit juga akan mengalami rasa sakit, lenguh dan sengal pada pinggul.

Keadaan ini berlaku kerana otot-otot pada betis dan pinggul tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi kerana saluran darah yang sempit.

Ketika berjalan, otot-otot memerlukan oksigen dan makanan. Apabila saluran darah arteri menjadi sempit, otot-otot tidak mendapat bekalan oksigen dan makanan yang mencukupi.

Ini menyebabkan otot menjadi sengal dan sakit.

- Peringkat lewat. Apabila saluran darah menjadi bertambah sempit, otot dan bahagian kulit tidak menerima oksigen dan makanan yang mencukupi untuk proses baik pulih selepas luka.

Ini menyebabkan luka pada kaki menjadi ulser yang sukar sembuh.

- Peringkat serius. Saluran darah yang sempit akhirnya akan tersumbat.

Keadaan ini akan menyebabkan otot kaki tidak mendapat oksigen dan makanan. Pesakit akan mengadu sakit yang berterusan pada kaki.

Pada peringkat ini kaki akan mati jika tidak mendapat rawatan segera.

Jenis-jenis PAD
- Acute Limb Ischemia (ALI). ALI ialah keadaan di mana saluran darah tersumbat dengan serta-merta.

Keadaan ini selalunya terjadi pada kaki atau tangan yang mempunyai pengaliran darah yang normal.

Bagaimanapun, fenomena ini boleh juga terjadi pada saluran darah ateriosklerosis. Ia disebabkan oleh pembekuan darah yang dipanggil embolism atau thrombosis.

Keadaan ini memerlukan rawatan serta-merta kerana kaki hanya mampu bertahan tanpa bekalan darah selama lebih kurang enam jam sahaja kerana tanpa rawatan otot-otot kaki akan mati.

- Chronic Limb Ischemia (CLI). Pesakit dalam kategori ini selalunya mengadu sakit yang keterlaluan dan berterusan pada kaki yang terlibat, ulser dan gangrene.

Pesakit CLI memerlukan rawatan segera untuk mengelakkan kaki daripada dipotong.

Diagnosis
- Pemeriksaan nadi. Pakar perubatan akan memeriksa denyutan nadi di bahagian kaki seperti melakukan pemeriksaan nadi femural, popliteal dan buku lali.

Apabila salah satu daripada nadi lemah atau hilang, ini menandakan bahawa pesakit menghadapi masalah PAD.

- Angiogram dan magnetic resonance angiografi. Setelah melakukan diagnosis PAD, doktor akan melakukan pemeriksaan angiogram untuk memastikan bahagian saluran darah yang sempit atau tersumbat.

Selain angiogram, Magnetic Resonance Angiografi (MRA) juga dapat membantu mencari bahagian yang tersumbat.

Rawatan
Rawatan PAD bergantung kepada keadaan umum pesakit, tahap dan bahagian saluran darah yang terlibat.

Secara umumnya, rawatan pesakit PAD terbahagi kepada dua kaedah iaitu:

- Pembedahan pintasan (bypass surgery). Penggunaan kaedah ini lebih sesuai bagi sebahagian besar penyempitan atau penyumbatan saluran darah.

Malah, kadar kejayaannya juga adalah lebih baik berbanding angioplasty, terutama sekali pada bahagian saluran darah di paras lutut dan ke bawah.

Bagaimanapun, kaedah ini lebih berisiko tinggi berbanding angioplasty

- Rawatan angioplasty. Kaedah ini hanya sesuai untuk saluran darah yang besar iaitu saluran darah di pangkal paha seperti illiac arteri.

Malah, penggunaannya juga tidak sesuai jika terdapat banyak pembuluh darah arteri yang tersumbat atau sempit atau jika penyumbatan tersebut terlalu panjang.

Angioplasty merupakan kaedah yang menggunakan kateter dengan belon pada hujungnya.

Ia kemudian dimasukkan ke bahagian saluran darah yang sempit dan belon tersebut akan mengembang pada bahagian tersebut.

Rawatan akut
Dalam keadaan PAD akut (secara tiba-tiba), pesakit akan dinasihatkan supaya menjalani rawatan serta- merta.

Ia melibatkan salah satu daripada dua kaedah iaitu trombolisis atau pembedahan pintasan.

Melalui rawatan trombolisis, satu prosedur akan dilakukan dengan menghancurkan darah beku yang terdapat dalam pembuluh darah arteri.

Setelah penilaian dilakukan, pesakit mungkin memerlukan rawatan sama ada angioplasty atau pembedahan pintasan.

Rawatan-rawatan lain
- Merendahkan paras kolesterol. Rawatan perubatan menggunakan pil antilipid bagi pesakit yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi.

Pakar pemakanan akan membantu pesakit memilih makanan yang mempunyai paras kolesterol yang rendah.

- Berhenti merokok. Khidmat kaunseling untuk membantu pesakit berhenti merokok akan diberikan pada masa yang sama.

- Ubat-ubatan. Ubat untuk mengawal diabetes, hipertensi dan antiplatelet (mencairkan darah) akan diberikan pada waktu yang sama.

Pada peringkat apabila pesakit menghadapi masalah kekejangan pada betis dan kaki ketika berjalan (intermittent claudication), pesakit dinasihatkan supaya mengambil pil antiplatelet dan melakukan senaman seperti berjalan pada waktu pagi dan petang.

Secara umum, pesakit PAD perlu berjalan sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

Komplikasi
Serangan jantung sekiranya ia melibatkan seluruh pembuluh darah arteri.

Mereka yang disahkan menghidap PAD akan menjalani pemeriksaan jantung kerana dianggarkan 50 hingga 60 peratus daripada pesakit menghidap sakit jantung.

- Pendarahan. Pendarahan kecil mungkin berlaku selepas angioplasty atau pembedahan pintasan. Pendarahan kecil ini selalunya akan berhenti dengan sendiri.

- Amputasi. Kaki yang menjadi gangrene terpaksa menjalani amputasi sama ada di bawah atau atas lutut.

- Jangkitan kuman dalam darah. Kaki gangrene dan menjadi ulser yang tidak sembuh boleh menyebabkan kuman masuk dalam darah dan seseorang itu boleh meninggal dunia kerana septicemia.

- Alamat e-mel Kesihatan Mingguan ialah kesihatan@utusan.com.my

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.