VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Oktober 2014 / 7 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 13/02/2002

Baja ammonium nitrat boleh jadi alat pengganas

Oleh TEON EG
(WARTAWAN UTUSAN)
AMMONIUM nitrat hanyalah sejenis baja, tetapi ia bukan sekadar boleh menyuburkan tanaman kerana bahan itu juga boleh digunakan untuk membuat bom dengan cara yang paling mudah.

Di Malaysia bahan kimia itu amat popular, terutama di kalangan pengusaha ladang kelapa sawit.

Mereka membeli bahan itu dalam jumlah yang banyak kerana ia amat berkesan jika dibandingkan dengan baja ammonium klorida, ammonium sulfat mahupun baja urea.

Pada tahun lalu, Malaysia telah mengimport sebanyak 142,230 tan ammonium nitrat dan sehingga Januari tahun ini sebanyak 8,000 tan ammonium nitrat telah dibeli.

Pada tahun 2000 sejumlah 219,620 tan ammonium nitrat diimport iaitu hampir sekali ganda lebih banyak jika dibandingkan pada tahun lalu.

Baja ini menjadi pilihan utama kerana ia bertindak balas serta- merta apabila ia ditaburkan ke pokok berbanding dengan baja lain yang mengambil masa kira-kira dua minggu.

Bagaimanapun, negara-negara Eropah, Australia dan New Zealand telah lama mengharamkan penggunaan baja ammonium nitrat kerana menyedari bahaya bahan itu lebih daripada kebaikan yang dihasilkannya.

Di negara ini, kebimbangan mengenai penggunaan bahan tersebut hanya bermula apabila akhbar mendedahkan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) membeli empat tan ammonium nitrat untuk dijadikan bom.

Beberapa pihak ketika itu mula melahirkan kebimbangan sehingga mereka meminta kerajaan mengharamkan penggunaan baja yang banyak dibawa masuk dari Rusia dan Finland.

Bagaimanapun, sehingga kini kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Sesiapa sahaja boleh membeli ammonium nitrat. Tidak kira sama ada mereka memerlukannya untuk menyuburkan kelapa sawit yang ditanam ataupun untuk tujuan-tujuan lain yang tidak diketahui.

Yang pentingnya, tidak ada undang-undang yang boleh menyekat sesiapa sahaja yang mahu membeli ammonium nitrat.

Bahan kimia itu amat mudah diperoleh. Pergi sahaja ke kedai-kedai perkakasan (hardware). Baja itu akan dijual dalam setiap satu beg seberat 50 kilogram (kg) dengan harga sekitar RM25.

Bagaimanapun, sekiranya bahan itu dibeli dengan niat yang baik ia tidak membahayakan, tetapi apa akan berlaku sekiranya orang yang membelinya mempunyai niat seperti ahli KMM.

Dikatakan Menara Berkembar Petronas (KLCC) boleh dimusnahkan hanya dengan menggunakan dua tan ammonium nitrat yang dicampurkan dengan diesel dan kemudiannya disambungkan dengan arus elektrik.

Ammonium nitrat amat mudah terbakar kerana ia mempunyai 34 peratus kandungan nitrogen (bahan mudah terbakar). Ammonium sulfat hanya mempunyai 21 peratus nitrogen.

Berdasarkan asas kandungan dalam bahan kimia tersebut, pihak-pihak yang berniat jahat tidak perlu bersusah payah untuk menyeludup masuk bom atau mencari pakar membuat bom.

Mereka boleh pada bila-bila masa membeli ammonium nitrat. Cara membuat bom daripada baja itu juga tidak terlalu teknikal dan ia ternyata tidak memerlukan perbelanjaan yang besar.

Di Indonesia, bom yang dihasilkan melalui ammonium nitrat agak popular selain bom yang dihasilkan menggunakan bahan kimia lain.

Mengikut laporan di negara jiran itu, kebanyakan kejadian letupan yang berlaku, sebahagiannya melibatkan bom yang dibuat daripada ammonium nitrat.

Ekoran ammonium nitrat yang mudah ditemui dan mampu menghasilkan letupan yang kuat menyebabkan kebanyakan kuari di negara ini memilih untuk menggunakan bahan itu bagi tujuan pemecahan batu.

Bayangkan bagaimana hebatnya baja daripada jenis ammonium nitrat yang boleh memusnahkan sesuatu kawasan yang agak luas.

Selain ia biasa digunakan untuk meletupkan batu, ammonium nitrat juga dikatakan amat popular di kalangan nelayan yang melakukan aktiviti penangkapan ikan menggunakan bom.

Akibat daripada penyalahgunaan bahan kimia itu, perairan negara mengalami masalah kekurangan ikan.

Sebelum terdedahnya rancangan KMM yang mahu menggunakan ammonium nitrat sebagai bom, mungkin tidak ramai yang tahu betapa baja ini boleh dibuat bom.

Orang ramai langsung tidak terlintas bahawa ammonium nitrat yang digunakan untuk menyuburkan tanaman boleh digunakan untuk tujuan yang memudaratkan keselamatan negara.

Sebenarnya, bahaya ammonium nitrat ini juga boleh dibuktikan ketika baja itu dibawa dengan kapal dan tiba di pelabuhan.

Ketika itu sepasukan bomba dan penyelamat diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Ini merupakan perkara biasa kerana bahan kimia itu amat berbahaya dan sehingga ke hari ini ia masih memerlukan bomba dan penyelamat berada di pelabuhan sehinggalah proses pemindahan baja itu selesai dilakukan.

Berdasarkan bahaya yang boleh diakibatkan oleh bahan kimia itu, sudah tiba masanya kerajaan meneliti semula keperluan baja itu diimport masuk.

Apa yang diketahui, sektor pertanian boleh menggunakan baja alternatif lain seperti baja ammonium sulfat, ammonium klorida dan juga baja urea.

Harga baja-baja alternatif itu tidak jauh beza, malah lebih murah iaitu seperti baja ammonium sulfat RM280 setan, ammonium klorida kira-kira RM450 setan, tetapi baja urea produk tempatan agak mahal iaitu RM580 setan.

Ammonium sulfat boleh diperoleh dari Korea, Jepun, Taiwan dan negara-negara Eropah. Baja daripada jenis ini dipercayai mampu menggantikan ammonium nitrat yang harganya RM480 setan sekiranya ia betul-betul diharamkan.

Petani juga boleh menggunakan ammonium klorida yang banyak diimport dari negara China.

Sebanyak lima buah kilang di Lembah Klang dikenal pasti menjadi pengedar utama baja, termasuk baja ammonium nitrat.

Bagaimanapun, berdasarkan asas kandungan ammonium nitrat yang boleh menjadi alat yang mengancam keselamatan awam, kerajaan sepatutnya mengambil langkah sewajarnya untuk menangani perkara ini.

Kalau baja tersebut tidak boleh diharamkan, seharusnya terdapat langkah-langkah keselamatan lain yang memperketatkan kemungkinan salah guna bahan kimia tersebut.

Diyakini tindakan berhati-hati kerajaan itu tidak akan menjejaskan sektor pertanian negara ini ataupun merugikan mana-mana pihak.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:05
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.